Pertama sekali saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menyertai WYD tahun ini biarpun secara virtual sahaja. Melalui WYD yang ke 36 ini saya dapat bertemu dengan kawan-kawan dari tempat lain seperti dari Ranau,Tawau, Lahad Datu dan sebagainya. Saya juga dapat berpeluang mendengar dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan belia lain melalui sesi “breakout room” dan sememangnya banyak perkara baru yang saya pelajari melalui WYD pada tahun ini.
Pertama sekali saya sangat bersyukur sebab berpeluang merayakan hari belia sedunia meskipun hanya melalui alam maya/virtual. Dan program ini sangat menyentuh hati saya, terutamanya pesan dari Bapa Suci yangg disampaikan oleh Bapa Uskup Julius. Apabila mendengar pesan Bapa Suci kepada para belia, saya rasa sangat tersentuh, rasa sangat dihargai dan disayangi oleh gereja. Pesannya itu berulang kali memberi semangat dan amanat untuk anak muda bangkit dan mewartakan injil. Pesan itu juga sangat membantu saya untuk mahu berjuang lagi, terutama ketika mendengar seruan “Bangkitlah kerana semua kegagalan masih boleh diperbaiki” pesan ini sangat menguatkan saya untuk terus berusaha menjadi belia yg lebih baik lagi.
Perkara yang ingin saya kongsikan setelah menyertai Virtual WYD 36 ini, pertama sekali,di dalam percobaan, Yesus tidak pernah meninggalkan kita, malahan memberikan kekuatan untuk menghadapi cobaan itu. Kedua, perkumpulan seperti ini dapat mengubati rindu perkumpulan secara fizikal seperti sebelum ini contohnya, Tawau Youth Monthly Gathering dll. Ketiga, penyertaan Bapa Uskup dalam virtual WYD ini sangat menyentuh hati, rasa gembira dan penuh sukacita kerana ini menunjukan bahawa beliau sangat mencintai belia.
Saya rasa sangat bersyukur kerana dipanggil untuk mengikuti V-WYD ke-36 ini. Walaupun secara maya dan untuk satu malam sahaja, saya tetap berasa gembira kerana berpeluang untuk mengetahui lebih mendalam tentang World Youth Day dan juga mengenali belia-belia dari paroki lain.
Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada “Organising Team” kerana sudi mengadakan acara ini. Disebabkan program virtual ini, semangat kebeliaan dan pelayanan saya pun mula membara. Akhir sekali, saya berharap, saya boleh menjadi lebih aktif dalam pelayanan di gereja dan juga mempunyai peluang untuk melibatkan diri dalam acara World Youth Day yang akan datang.
“Bangunlah. Aku menetapkan engkau menjadi saksi tentang apa yang akan Kuperlihatkan kepadamu” (Kis. 26:16). Demikian tema World Youth Day (WYD) ke-36 yang baru diraikan pada 21/11/2021. Jemputan menyertai WYD daripada Sr. Rusiah Garuk, FSIC hadir kepada saya ketika saya dan keluarga berdepan dengan ujian yang amat berat. Kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian adik bongsu kami secara tiba-tiba pada bulan September 2021. Walaupun berjanji untuk menyertai namun saya tidak mendaftarkan diri sehinggalah Sr. mengingatkan saya sekali lagi dan saya mendaftarkan diri untuk menyertai WYD untuk kali pertama dan kali terakhir kerana faktor umur. Sememangnya saya terharu dan amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan oleh Sr Rusiah. Penyertaan secara maya sememangnya mempunyai keistimewaan sendiri. Saya berasa kagum melihat kesungguhan para belia untuk mengembangkan potensi dalam diri masing-masing, sebagai contoh menganjurkan perjumpaan secara maya. Melalui perkongsian-perkongsian yang disampaikan, saya menyedari bahawa setiap individu ‘dipanggil’ dengan cara yang berlainan. Walaupun belia sering kali dikaitkan dengan golongan remaja dan muda-mudi namun dari segi sumbangan yang boleh diberikan, hal ini tiada beza di antara golongan belia mahupun golongan ‘elders’. Justeru, saya menyedari bahawa setiap individu berupaya untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada gereja tidak kira besar atau sekecil biji sesawi kerana apa yang perlu ialah niat murni kita untuk memberikan sumbangan kepada gereja. Semoga semangat untuk memberikan pelayanan kepada gereja dapat terus dipupuk dalam kalangan belia agar belia terus menjadi SAKSI kepada kemuliaan Tuhan.
Tuhan memberkati.