Soccom

TELUPID – Sebagai kesinambungan kepada Taklimat Sinod Para Uskup 2021-2023 fasa pertama berlangsung pada tahun lepas, Majlis Pastoral Paroki St. Martin, Telupid telah mengadakan siri Jelajah Sinod ke 5 buah zon pada 12 Februari 2022. Sebelum ini, kumpulan sasaran bagi pelaksanaan fasa pertama adalah katekis, pengerusi komiti dan pengerusi zon manakala bagi fasa kedua ini pula, sasarannya adalah umat yang berada di luar stasi.

Sebanyak 5 buah kumpulan yang terdiri daripada ahli MPP sendiri telah bergerak serentak ke 5 buah zon iaitu Zon St. Padre Pio, Zon St. Nicholas, Zon St. Susanna, Zon St. Roderick dan Zon St. Thomas untuk menyampaikan taklimat mengenai Proses Sinod Para Uskup ini. Seramai 79 orang hadir mengikut zon masing-masing untuk mendengar sesi taklimat ini. Apa yang diharapkan melalui jelajah ini ialah umat mendapat pemahaman yang lebih jelas mengenai Proses Sinod ini seterusnya memberikan peluang kepada mereka untuk “bersuara” dan berpartisipasi dalam program yang dianjurkan oleh gereja.

Para peserta Jelajah Sinod yang dijalankan serentak di 5 buah zon iaitu Zon St. Nicholas, Zon St. Roderick, Zon St. Thomas, Zon St. Padre Pio, Zon St. Susanna.

Sama seperti fasa pertama, sesi-sesi yang disampaikan ialah latar belakang Sinod, tujuan proses Sinod, tema, pengalaman di peringkat tempatan, siapa yang terlibat, sikap untuk berpartisipasi, cabaran dalam perjalanan proses Sinod, garis masa pelaksanaan serta The Listening Questionnaires. Seterusnya, umat yang hadir berpeluang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman iman mereka melalui soal selidik yang diedarkan.