SANDAKAN: Caritas Diosis Sandakan (CDS) dahulunya dikenali sebagai Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan (KPIK) telah dibentuk secara rasmi pada 18 Januari 2014. Selepas Caritas Malaysia ditubuhkan dalam tahun 2020, Diosis Sandakan pun mengambil keputusan menggantikan KPIK dengan CDS, tahun yang sama.
Mesyuarat Pembubaran CDS Sesi 2019-2021 dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Baharu CDS Sesi 2022-2025 telah diadakan pada 21 April 2022 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom. Seramai 20 orang telah menghadiri sesi mesyuarat tersebut. Mereka terdiri daripada para perwakilan dari paroki-paroki di Diosis Sandakan.
Fr. Phillip Muji sebagai Pembimbing Rohani CDS memimpin perkongsian Injil dan doa pembukaan untuk memulakan perjalanan mesyuarat. Seterusnya, Pengerusi CDS Sesi 2019-2021 iaitu saudara Kletus Muyuk memberikan ucapan alu-aluan dan memberikan kata-kata semangat kepada para ahli untuk meneruskan misi pelayanan.
Sesi pengenalan semua ahli, penerangan ringkas mengenai draf garis panduan CDS serta laporan ringkas mengenai aktiviti-aktiviti lalu adalah antara agenda mesyuarat tersebut.
Agenda utama pada mesyuarat itu ialah sesi pemilihan bagi barisan Ahli Jawatankuasa baharu CDS Sesi 2022-2025. Sebelum sesi pemilihan berjalan, Fr. Phillip dengan mandat daripada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom iaitu Uskup bagi Diosis Sandakan, telah menyampaikan beberapa pengumuman rasmi iaitu, perlantikan Sr. Julita Joseph, FSIC yang melayani di Paroki Holy Trinity, Tawau sebagai Ex- Officio dan saudari Anna Teresa Peter Amandus sebagai Pengerusi baharu.
Selain itu, turut diumumkan ialah penubuhan satu komisi baharu iaitu Komisi Pelayanan Pastoral kepada Migran dan Perantau (KPPMP) Diosis Sandakan di mana komisi ini akan memberi tumpuan khusus kepada hal-hal pelayanan bagi migran dan perantau terutamanya mereka yang berada di kawasan Diosis Sandakan. Saudara Kletus Muyuk telah dilantik oleh Bapa Uskup Julius sebagai Pengerusi KPPMP dan saudari Shirley Joseph pula Setiausahanya. Fr. Phillip kekal dalam perlantikan sebagai Pembimbing Rohani bagi CDS dan KPPMP, sehinggalah ada keputusan lain melalui mesyuarat para paderi Diosis Sandakan akan datang.
Penubuhan KPPMP bagi Diosis Sandakan merupakan inisiatif Bapa Uskup Julius setelah berbincang secara teliti dan terperinci bersama semua ahli Tim Pelayanan Migran Katolik Sabah (TPMKS) (dahulunya dikenali sebagai Tim Penggerak Pelayanan Migran Sabah atau singkatannya, TPPMS) yang terdiri daripada perwakilan-perwakilan rasmi dari ketiga-tiga keuskupan di Sabah semasa mesyuarat mereka pada 18-19 April 2022 lalu.
Oleh itu, Caritas Diosis Sandakan selepas ini akan dapat menumpukan pelayanan terhadap hal-hal berkaitan misi bantuan secara amal kasih dan mempromosikan semangat solidariti secara lebih meluas lagi. Namun demikian, CDS pasti, dan akan tetap berjalan bersama dalam pelayanan dengan KPPMP, juga komisi-komisi lain di Diosis Sandakan.
Seterusnya, sesi pemilihan untuk tiga jawatan tertinggi CDS secara pengundian telah dijalankan. Sebelum itu, Fr. Phillip turut mengumumkan bahawa Bapa Uskup meluluskan kewujudan enam bahagian pelayanan khusus di bawah CDS. Berikut merupakan senarai penuh ahli jawatankuasa baharu bagi sesi 2022-2025:
Ahli Jawatankuasa Caritas Diosis Sandakan Sesi 2022-2025 (3 tahun)
Penaung: Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, DD
Pembimbing Rohani: Fr. Phillip A. Muji
Ex-Officio: Sr. Julita Joseph, FSIC
Pengerusi: Anna Teresa Peter Amandus
Timbalan Pengerusi: Sinoh Kulipang (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Setiausaha: Anathasia Thomas (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Timbalan Setiausaha: Juliana Kimin (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Penyelaras Bahagian Khusus:
Pelayanan Pastoral kepada yang Miskin dan Terpinggir (CDS-PPMT):
Patrick Michael (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana dan Kecemasan (CDS-KMBK):
Gerald Salipa Siringan (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Advokasi:
(Belum ada)
Pengurusan Sukarelawan (CDS-PS):
Franco Amigo (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Pengurusan Dana dan Kewangan (CDS-PDK):
Clarence Chin (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Program dan Aktiviti Komisi (CDS-PAK)
Elaine V. Alejandro (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Ahli-ahli Komiti:
Rayner Guntingan (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Rachel Antak (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Nicholas Ponilau (Paroki St. Martin, Telupid)
Mullin Yadim (Paroki St. Martin, Telupid)
Martinus Hera (Paroki St. Martin, Telupid)
Dorney Yeo Kiandee (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Setelah pemilihan ahli jawatankuasa itu selesai, saudari Anna Teresa telah memberikan ucapannya sebagai Pengerusi CDS yang baharu. Seterusnya Saudara Kletus menangguhkan mesyuarat sebagai pengerusi sebelumnya dan memberikan sedikit perkongsian mengenai pelayanan beliau sepanjang berada dalam CDS. Fr. Phillip turut mengambil kesempatan untuk memberikan ucapan tahniah kepada para lantikan baharu dan seterusnya memimpin doa pengutusan. Sesi mesyuarat tersebut diakhiri dengan berkat penutup oleh Fr. Phillip.
Laporan oleh:
Anathasia Thomas
Setiausaha, CDS (2022-2025)
—————————————————–
SEJARAH CARITAS MALAYSIA (sumber: https://www.caritasmalaysia.net/who-we-are/our-history/)
Semasa Persidangan Para Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB) pada 8 Julai 2019, para Uskup bertemu dengan kakitangan Caritas dari Vatican dan Asia untuk dialog. Uskup-uskup Malaysia kemudiannya memutuskan untuk memperbaharui semula keahlian yang telah luput dengan persekutuan Caritas.
Pada 9 Januari 2020, pada Persidangan Uskup berikut mereka sebulat suara memutuskan untuk menubuhkan Caritas Malaysia sebagai badan menyeluruh untuk semua organisasi yang terlibat dalam kerja amal dan pembangunan. Mereka kemudiannya melantik Bapa Uskup Bernard Paul sebagai Pengerusi Caritas Malaysia dan Charles Bertille sebagai Setiausaha Eksekutif pejabat nasional.
Satu mesyuarat pelancaran telah diadakan bersama semua delegasi keuskupan dan Uskup Pengerusi pada 25 Februari 2020 di APC, KL. Mereka membincangkan situasi dan keperluan untuk membina kapasiti, sistematik dan berasaskan penyelidikan dalam kerja pelayanan. Terdapat kata sepakat untuk bekerjasama di peringkat kebangsaan di bawah Caritas. Komiti Eksekutif sementara telah ditubuhkan pada mesyuarat ini dan telah bermesyuarat secara berkala. Mereka terdiri daripada Bapa Uskup Bernard Paul, Charles Bertille, Dominic Lim dari Kota Kinabalu, Sabah, Fr. Galvin Richard Ngumbang & Fr. Alvin Ng dari Kuching, Sarawak, dan Fr. Alvin Santhanam dari KL. Pejabat Nasional Caritas Malaysia telah ditubuhkan di Pusat Pastoral Keuskupan Agung (APC), Kuala Lumpur.
Hubungan kerja telah dijalin semula dengan Caritas Asia dan Caritas Internationalis. Para Uskup bermesyuarat pada 23 Jun 2020 dan meluluskan organigram Caritas dan urusan operasi lain untuk menubuhkan atau mengukuhkan pejabat Caritas keuskupan sedia ada. Caritas Malaysia telah dilancarkan pada 6 November 2020.