“Marilah kita menjadi pelindung ciptaan, pelindung rencana Tuhan, tertulis pada alam, pelindung kepada satu sama lain dan alam sekitar.” – Bapa Suci Fransiskus


SANDAKAN: 
Pelayanan mengenai hal-hal keadilan terhadap Ciptaan Tuhan telah diwujudkan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom di Keuskupan Sandakan lebih kurang tiga tahun lalu di bawah Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan (KKCT). Kemudian, dua tahun lalu, Bapa Uskup Julius telah memberi mandat kepada Rev. Fr. Stephen Esguerra dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan sebagai Pengarah dan Msgr. Nicholas Ong dari Paroki Holy Trinity, Tawau pula sebagai Penasihat rasmi komisi ini.

Sepanjang dua tahun berlalu, Fr. Stephen bersama para paderi dan Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan bertungkus lumus dan giat berusaha untuk mencari dan menambah ahli-ahli yang melayani dalam pelayanan yang dikira baharu di keuskupan ini dan akhirnya Komisi dengan barisan AJK rasminya berjaya juga dibentuk pada 05 April 2022.

Mesyuarat pembentukan diadakan secara maya pada tarikh tersebut menggunakan Aplikasi Zoom dan telah dihadiri 16 orang iaitu Bapa Uskup Julius, Fr. Stephen, Sdri. Anna Teresa Peter Amandus (Pentadbir, Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan), Sdri. Shirley Joseph (Kerani untuk Semua Komisi di Keuskupan Sandakan) dan perwakilan-perwakilan yang telah dicalonkan oleh paderi paroki. Msgr. Nicholas dan tiga lagi perwakilan tidak dapat menyertai atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mesyuarat tersebut telah dimulakan oleh Fr. Stephen dan diteruskan dengan doa pembukaan dan ucapan alu-aluan oleh Bapa Uskup Julius. Beliau berkata, “Saya berterima kasih kepada kamu kerana sudi menjadi ahli komisi ini. Saya percaya dengan terbentuknya Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan di Keuskupan Sandakan, maka banyak kegiatan dapat kita rancang dan kita jalankan bersama demi penjagaan dan pemeliharaan ciptaan Tuhan. Kita tahu bahawa komisi ini bukan sahaja untuk keadilan sosial tetapi juga untuk keadilan ciptaan Tuhan sebagaimana nama komisi ini. Saya percaya bahawa di bawah bimbingan Fr. Stephen sebagai pengarah komisi, maka kita dapat lebih mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti berkenaan penjagaan dan pemeliharaan ciptaan Tuhan.”

Kemudian, Fr. Stephen memberi ruang dan menjemput pula semua perwakilan yang hadir untuk memperkenalkan diri masing-masing secara secara ringkas bagi tujuan beramah-mesra serta memudahkan pencalonan dan pemilihan empat jawatan tertinggi dalam AJK KKCT Sesi 2022-2025.

Selepas itu, Sdri. Magdalind Gabriel dari Paroki Holy Trinity, Tawau yang juga merupakan anggota AJK Sementara bagi komisi sebelum pembentukan ini, telah memberi penerangan beserta laporan ringkas mengenai hal-hal dan aktiviti berkaitan pelayanan terhadap keadilan ciptaan Tuhan untuk tempoh tiga tahun yang lalu.

Menurut beliau, pelayanan ini telah bermula di Paroki Tawau yang telah menjalankan program pertama dan juga merupakan paroki pertama yang membentuk komiti rasminya. Sejak itu, pelayanan ini perlahan-lahan mulai dikenali di seluruh Keuskupan Sandakan. Antara aktiviti-aktiviti dan program yang sudah dan sedang berjalan di peringkat paroki juga keuskupan untuk tempoh tiga tahun yang lalu adalah, seminar kesedaran, gotong-royong muhibbah, penjualan T-Shirt dan senaman yoga secara maya. Keuskupan Sandakan pernah menjadi tuan rumah bagi Regional Meeting of Creation Justice Commission, Malaysia, Singapura dan Brunei pada 26-27 Februari 2019. Mesyuarat tersebut dijalankan di Paroki Tawau.

Selain itu, Keuskupan Sandakan menyokong dan menyertai Kempen PROTEC 5 Tahun (1 September 2020-31 Ogos 2025) yang telah dilancarkan di peringkat Keuskupan Sandakan pada 4 Oktober 2020. https://newsupdatedospo.blogspot.com/2020/10/pelancaran-kempen-protec-keuskupan.html 

 

Facebook Page Rasmi komisi juga telah diwujudkan. https://www.facebook.com/sandakancreationjusticecommission/

Sdri. Magdalind di penghujung sesinya, mengalu-alukan semua untuk mengetahui maklumat lanjut dan melihat bahan-bahan Laudato Si’ Action Platform seperti infografik dan sebagainya, yang boleh digunapakai oleh pelayanan Komisi / Komiti Keadilan Ciptaan Tuhan, di laman sesawang ini: https://laudatosiactionplatform.org/ 

Seterusnya, pemilihan rasmi bagi mengisi empat jawatan tertinggi AJK KKCT untuk tempoh 3 tahun iaitu Sesi 2022-2025 telah dijalankan. Maka, terbentuklah barisan penuh seperti berikut:


KOMISI KEADILAN CIPTAAN TUHAN (KKCT) SESI 2022-2025

 

Penaung: Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, DD (Uskup bagi Keuskupan Sandakan)

Penasihat: Msgr. Nicholas Ong (Paroki Holy Trinity, Tawau)

Pengarah: Rev. Fr. Stephen Esguerra (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)

 

Pengerusi: Sdra. Hillary Anak Henry Ripan (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)

Timbalan Pengerusi: Sdri. Irene Lim (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)

Setiausaha: Sdri. Fettwinda Sipaan (Paroki St. Martin, Telupid)

Pembantu Setiausaha: Sdri. Salva. Sibaton (Paroki Holy Trinity, Tawau)

 

Ahli-ahli Komiti:

Sdri. Euthalia Chong (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)

Sdra. Joven Junip (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)

Sdri. Magdalind Gabriel (Paroki Holy Trinity, Tawau)

Sdra. Edward Savio Lansing (Paroki Holy Trinity, Tawau)

Sdra. Jaymar Amarille (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)

Sdri. Angelika Lemin Luna (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)

Sdri. Sheena Saiban (Paroki St. Martin, Telupid)

Sdra. Jainusbon Stephens (Paroki St. Martin, Telupid)

Sdri. Engkiu @ Irene Palisa (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)

Sdri. Lydia Andillah (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)

Sdri. Juliana Primus Gadawat (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)

Sebaik sahaja selesai pemilihan, pengerusi baharu diberi ruang untuk menyampaikan ucapan ringkas beliau. Sdra. Hillary menyatakan bahawa beliau amat menghargai kepercayaan yang ahli-ahli KKCT berikan kepadanya untuk memegang jawatan sebagai pengerusi. “Saya pasti ini merupakan tanggungjawab besar untuk saya pikul, tetapi dengan adanya pembantu-pembantu dan juga ahli-ahli, saya mendapat bantuan untuk menggerakkan komisi, menjalankan program-program, mempromosikan aktiviti-aktiviti berpusatkan penjagaan alam sekitar dan keadilan ciptaan Tuhan. Saya turut memohon bantuan dari segi sokongan, pertolongan dan doa daripada semua agar komisi ini terus bergerak, maju dan lebih berjaya, berjalan seiring dengan komisi-komisi di keuskupan lain.

Mesyuarat komisi yang seterusnya akan ditentukan kemudian dan antara agenda utama yang akan dibincangkan nanti adalah Perancangan KKCT bagi tahun 2022.

Sebelum menunda mesyuarat, Fr. Stephen telah menjemput Sdri. Anna Teresa Peter Amandus bagi pihak Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan untuk memberikan sedikit komen beliau. Beliau berkata, “Tahniah kepada semua yang telah dipilih sebagai pemegang jawatan tertinggi dalam pelayanan di KKCT Sesi 2022-2025 tadi. Terima kasih kerana menyahut panggilan untuk menjadi sebahagian daripada komisi ini. Saya amat gembira melihat ada perwakilan daripada kalangan belia (orang muda) untuk berjalan bersama melayani dengan golongan dewasa, dan juga, ramai perwakilan yang saya kenali berada dalam komisi ini.”

Bapa Uskup Julius pula berkata, “Terima kasih sekali lagi kerana sudi menjadi ahli jawatankuasa KKCT di peringkat Keuskupan Sandakan. Saya turut ingin berterima kasih kepada Sdri. Magdalind kerana banyak aktiviti telah dijalankan sejak terbentuknya AJK Sementara komisi ini lagi. Sudah tentu kita menghargai segala yang telah dilakukan selama ini. Saya ucapkan tahniah kepada barisan AJK komisi yang baharu yang diketuai oleh Sdra. Hillary. Saya percaya bahawa bagi  mereka yang tidak diundi sebagai pemegang jawatan tertinggi, seperti yang telah dikatakan oleh Sdra. Hillary, akan berjalan bersama untuk memastikan Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan di Keuskupan Sandakan ini akan bergerak maju untuk bukan sahaja menjalankan aktiviti yang akan dirancang, tetapi juga sebagai peneraju dan penggerak utama bagi segala aktiviti yang akan dijalankan nanti. Saya ucapkan selamat menjalankan tugas pelayanan selama tempoh 3 tahun, bermula tahun ini sehingga tahun 2025.”

Selesai perjalanan mesyuarat, semua ahli komisi telah menjalani Upacara Pengutusan yang telah disempurnakan oleh Bapa Uskup Julius, dan selanjutnya mengakhiri aturcara dengan doa penutup.

 

Laporan oleh:
Shirley Joseph
Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan