“Pandemik dan Iman”
Oleh: Helena Salati
St. Martin, Telupid
Pekerjaan saya seharian semasa tempoh pandemik merupakan pekerjaan yang sangat mencabar mental dan fizikal. Saya akui ajakan Yesus dalam perjalanan iman saya untuk mengikutiNya bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi pada masa pandemik seperti ini. Tugas hakiki terutama tugasan sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) membuat saya sibuk setiap hari. Kesibukan ini saya akui telah mengekang masa untuk bersama keluarga dan relasi saya dengan Tuhan. Tapi Tuhan itu baik. Dia pasti akan ada cara untuk mendekati kita. Walaupun saya tidak dapat hadir secara fizikal ke gereja untuk beribadah, saya masih mendapat peluang untuk menyegarkan kehidupan rohani saya dengan mengikuti Misa Kudus secara talian, walaupun sedang bertugas. Setidak-tidaknya, saya masih dapat merasai kehadiran Tuhan melalui FirmanNya dalam peribadi saya dengan cara yang berbeza.
Berdepan dengan musuh yang tidak dilihat oleh mata kasar memang sesuatu yang sangat menakutkan. Walaupun dengan peralatan diri yang lengkap dan latihan yang berterusan, saya tewas juga apabila baru-baru ini saya disahkan mendapat jangkitan Covid-19. Namun, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.
Syukur dan puji Tuhan, masa kuarantin bersama keluarga ini juga telah merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga dan relasi saya dengan Tuhan. Tempoh dikuarantin membolehkan kami untuk berdoa rosari lebih kerap bersama-sama. Selain itu, saya dan keluarga dapat mendalami Firman Tuhan kerana mempunyai masa rehat yang cukup untuk membaca dan merenungnya. Berkat Tuhan juga telah membantu kami sekeluarga melalui proses penyembuhan dengan lebih cepat tanpa sebarang komplikasi.
Masa Prapaskah merupakan masa rahmat yang membolehkan saya untuk merenung kehidupan saya secara peribadi. Ini menjadi lebih jelas apabila saya melihat kembali pengalaman saya sebagai frontliner. Covid-19 tidak memilih usia. Ada pesakit yang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19 walaupun dengan usia yang masih muda. Pengalaman seperti ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada saya bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara. Apa yang kekal dan sejati adalah, hidup bersama Tuhan di alam keabadian. Kesempatan yang ada ini saya perlu gunakan sebaik-baiknya untuk melakukan sesuatu yang berharga bersama keluarga dan meneruskan karya pelayanan saya kepada gereja.
Saya masih teringat homili Fr. Christopher Ireneus yang menyentuh peribadi saya. Ia menjemput saya untuk merenung kesempatan hidup yang diberikan Tuhan. Persoalan tentang adakah kita sudah menghargai apa yang kita perolehi dalam hidup di dunia ini. Adakah kita lalai dan lupa akan peluang sehari-hari sebelum kita dipanggil olehNya? Adakah kita mengambil kesempatan untuk merenung adanya penyelamatan dan kehidupan yang kekal setelah kita meninggal dunia? Perkara ini sekali lagi membawa saya untuk lebih meletakkan kepercayaan saya bahawa Yesus adalah Juruselamat saya. Melalui kepercayaan inilah saya mendapat kekuatan untuk terus bertahan menghadapi pandemik ini.
Sehingga kini saya masih meneruskan tugasan saya sebagai barisan hadapan untuk membantu semua golongan masyarakat dengan hati yang gembira. Ketakutan terhadap penyakit ini semakin hilang kerana saya percaya Tuhan pasti memberkati saya dalam perkhidmatan. Dia menggunakan tangan saya sebaik-baiknya untuk berkerja bagi membantu mereka yang memerlukan. Saya juga percaya dan yakin, KuasaNya akan dapat memulihkan bumi ini.
Paskah ini sangat bererti dan memulihkan. Kebangkitan Tuhan menyegarkan kembali pengharapan saya kepadaNya. Ia mengingatkan bahawa Tuhan tetap berkuasa terhadap segala sesuatu.
“Persahabatan dan Realiti Kehidupan”
Oleh: Delsie Ivy Didacius
St. Martin, Telupid
“Apa? Betul-betul bah boy…” Air mata mengalir. Saya seakan-akan tidak percaya akan berita yang saya dengar. Waktu itu pukul 7 pagi, hari Isnin. Saya baru saja hendak melangkah keluar untuk ke tempat kerja. Saya seperti bermimpi.
Setelah dua minggu memasuki musim Prapaskah, saya dikejutkan dengan berita bahawa seorang kawan rapat saya telah pun meninggal dunia. Kawan seumur saya yang saya kenal semasa melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan. Dia jugalah kawan yang sentiasa aktif dalam mengikuti aktiviti gereja. Orangnya riang, sentiasa menjadi penghibur. Tidak sah kalau tidak ketawa dengan kehadirannya. Namun begitu, orangnya perahsia. Sehinggakan ketika dia sakit dan dimasukkan ke hospital pun, dia tidak memaklumkan kepada kami. Sehinggalah dua minggu sebelum dia meninggal dunia.
Mungkin, inilah yang terbaik baginya. No more pain.
Sudah tentu, semua orang pernah merasakan kehilangan kerana kematian. Keluarga mahupun kawan-kawan. Sudah tentulah, perasaan sedih itu akan kita alami. Mengetahui kenyataan bahawa saya tidak akan berjumpa dengannya lagi secara nyata. Mengetahui kenyataan bahawa saya tidak lagi mendengar suaranya. Sudah pasti menyedihkan.
Musim Prapaskah pada tahun ini benar-benar memberikan saya ruang untuk menyelami erti ‘kematian’. Ditambah lagi dengan adanya Facebook, saya boleh katakan, setiap minggu saya akan melihat info bahawa seseorang telah pun meninggalkan dunia ini. Saya masih ingat renungan oleh paderi paroki pada hari minggu Prapaskah yang kelima. “Manusia tidak akan lari dari realiti hidup bahawa suatu hari nanti kita juga akan meninggal dunia”.
Bercakap mengenai kematian, terlalu banyak cerita akan apa yang akan terjadi setelah kita meninggal dunia. Namun sebagai seorang Katolik, saya mempercayai bahawa kematian adalah satu permulaan ke arah kehidupan kekal. Kematian Kristus membuka pintu perdamaian antara kita dengan Allah dan oleh korban Kristus kita dapat memperoleh keselamatan dan hidup yang kekal. Seperti Yesus yang telah bangkit dari kematian, sudah pasti dia juga akan dibangkitkan untuk kembali kepada Allah Bapa.
Seminggu setelah pemergiannya, saya banyak merenung akan kehidupan persahabatan saya. Saya mula menjadi prihatin dan saya pasti kawan-kawan saya yang lain juga seperti itu. Setiap minggu, pasti ada di antara kami yang mengajukan soalan seperti, “Kamu sihat juga?” di group WhatsApp. Soalan yang ringkas, tetapi saya percaya dengan cara ini, secara tidak langsung kami mengambil berat akan perihal sesama. Ditambah lagi dengan sesetengah mereka ini sedang melanjutkan pelajaran di tanah seberang, pastinya ada yang sebenarnya mahu didengarkan.
Puji Tuhan saya dikurniakan dengan kawan-kawan seperti mereka. Pada hari pemergiannya, kami mengadakan Doa Rosari untuk memperingati mendiang selama tujuh hari. Walaupun hanya melalui Google Meet, syukur kerana Doa Rosari pada waktu itu dihadiri oleh bukan sahaja kami berlima, tetapi juga kawan-kawan Catholic Student Group (CSG), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa orang yang mengenali mendiang.
Pemergiannya seakan-akan menyedarkan kami untuk kembali berdoa bersama seperti yang selalu kami lakukan sewaktu di Kolej Matrikulasi. Saya akui, sebelum ini kami sentiasa sibuk dengan pekerjaan duniawi. Doa Rosari yang kami jalankan seakan-akan mengembalikan zaman itu.
Hidup saya adalah karunia daripada Tuhan. Tuhanlah yang membentuk manusia dan memberikan nafas kehidupan kepada saya dan kepada Dia jugalah saya akan kembali. Pada akhirnya, kehidupan di dunia ini haruslah diteruskan sehinggalah tiba masanya, giliran kita pula yang akan dipanggil Tuhan. Namun, satu perkara yang perlu dipegang adalah kepercayaan akan kebangkitan dan kehidupan kekal.
Kebangkitan Kristus yang saya rayakan ini merupakan tanda jelas kepada saya dan kita semua. Kita sedar hidup di dunia adalah sementara. Kristus yang menghapus dosa akan membawa saya dan kita semua kepada kebangkitan kelak. Ia mengalahkan maut. Sungguh indah mempunyai penyelamat seperti Dia. Saya percaya janji Kristus kepada sahabat kami tentang penyelamatan akan terlaksana. Semoga keluarga dan setiap orang yang mengenali mendiang, diberikan penghiburan. Rest in peace, Nolly!