“Menabur Benih Kebaikan”
SANDAKAN: 41 Ahli Kerasulan Wanita Katolik (KWK), Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah menyertai satu Program Rekoleksi Musim Prapaskah 2022 anjuran Komiti KWK, pada 26 Mac 2022 bertempat di Dewan Gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan.
Program telah dimulakan dengan Upacara Pentakhtaan Alkitab, dipimpin oleh Sr. Regina Kimung, FSIC selaku Ahli Kehormat KWK. Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan alu-aluan kepada hadirin. Sr. Regina menyatakan rasa gembira beliau kerana dapat bersama lagi setelah hampir lebih dari 2 tahun tanpa sebarang aktiviti akibat pandemik yang melanda negara dan dunia. Beliau juga menyatakan harapannya terhadap semua ahli agar dapat terus berjalan bersama dalam pelayanan di gereja khususnya dalam KWK.
Selepas itu, Ketua Penyelaras KWK Paroki, Puan Cecelia D’ Souza pula mengucapkan terima kasih kepada semua ahli baharu juga yang lama kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke rekoleksi ini.
Beliau memperkenalkan diri dan menceritakan pengalaman dalam pelayanan terutamanya di KWK dan seterusnya mengajak semua memperkenalkan diri masing-masing serta berkongsi pengalaman mereka dalam pelayanan. Semua peserta bersemangat dan teruja kerana rindu untuk kebersamaan dan menjalani program secara bersemuka. Ada juga antara ahli yang sudah lebih dari 40 tahun dalam pelayanan KWK turut mengongsikan pengalaman mereka.
Kemudian, sesi utama rekoleksi yang bertemakan ‘Menabur Benih Kebaikan’ telah disampaikan oleh Sr. Regina yang bermaksud, “Jangan kita jemu-jemu berbuat baik, kerana apabila sudah datang waktunya, kita akan menuai, jika kita tidak menjadi lemah.” (Gal 6:9). “Kita adalah kaki dan tangan Tuhan dalam menabur benih kebaikan, berkongsi antara sesama dalam melayani di ladang Tuhan”, kata Sr. Regina.
Setelah mendengar sesi renungan tersebut, perkongsian kumpulan diadakan mengikuti tema yang diberikan dalam aspek KWK itu sendiri :-
1) Apa yang harus saya lakukan dalam pelayanan untuk menabur benih dalam KWK?
2) Apakah aspek hidup yang harus saya perbaharui?
Selesai perbincangan, setiap kumpulan membuat pembentangan hasil perkongsian mereka tentang soalan yang diberikan. Rata-rata memberikan perkongsian yang positif walaupun ada suka dan duka dalam kehidupan. Rumusan untuk semua perkongsian adalah:-
- Setia melayani di ladang Tuhan dalam apa juga aktiviti gereja.
- Sentiasa berdoa dan mendoakan sesama kerana doa adalah kunci untuk segala apa yang kita lakukan dan sentiasa bersyukur.
- Utamakan pelayanan terhadap keluarga sebelum membuat sesuatu pekerjaan atau pelayanan lain.
- Keteguhan iman dan kerendahan hati.
Sebagai sesi rumusan dan kesimpulan keseluruhan program tesebut, Puan Cecelia telah menerangkan tentang perkara-perkara yang termaktub dalam Garis Panduan KWK. Para hadirin disoal sebagai renungan peribadi, “Mengapakah saya berada di sini dan masih di sini?”
Program rekoleksi diakhiri dengan doa penutup dipimpin sekali lagi oleh Sr. Regina, kemudian, makan tengah hari dan bersurai.
Pn. Cecelia menyerahkan sumbangan kasih kepada Sr. Regina.
Barisan AJK Komiti KWK Paroki Katedral St. Mary, Sandakan 2022-2025
Dilaporkan oleh,
BABYLYN BACO
(SETIAUSAHA KWK PAROKI 2022-2025)