Oleh Lucy Jamini Francis, Gambar oleh Thien Tet Yun
SANDAKAN: 22 April 2022, (Jumaat) – Persatuan Agama Kristian SMK Konven St. Cecilia telah mengadakan Sambutan Hari Paskah (Easter Day Celebration). Semua guru serta murid beragama Kristian telah menyelaras bersama program ini, bertempat di Dewan St. Joseph sekolah tersebut.
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/photo_2022-05-05_16-19-18-1024x683.jpg)
Doa Pembukaan oleh Adik Patricia Ally Johnny
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/photo_2022-05-05_16-19-20-1024x683.jpg)
Ucapan daripada Tuan Pengetua SMK Konven St. Cecilia, En. Chung Su Kiong
Program yang bermula jam 11 pagi telah dihadiri oleh seramai 116 murid dan 19 guru. Acara dimulai dengan doa pembukaan oleh murid dari Kelas 4B, Patricia Ally Johnny, seterusnya ucapan alu-aluan sambutan ‘Easter Day Celebration’ oleh Tuan Pengetua, Encik Chung Su Kiong.
Dalam ucapannya, beliau mengaitkan tentang petikan daripada Yohanes 11:25, “Akulah Kebangkitan dan Kehidupan”. En. Chung menyeru agar warga sekolah bersama-sama terus berusaha untuk memperbaiki diri dan bangkit untuk memulai kehidupan baru sesuai ajaran Tuhan demi kecemerlangan diri, keluarga serta sekolah.
Khasnya ditujukan kepada semua murid CSM (Christian Student Movement), mereka diharapkan agar terus memupuk komitmen untuk berjaya ke arah kecemerlangan walaupun penuh cabaran serta halangan. Mereka juga diseru untuk menanam sikap tidak mudah menyerah atau berputus asa, mengukuhkan iman yang teguh iaitu iman kristiani serta bergiat aktif dalam aktiviti CSM juga dalam penyertaan di Kelas Bible Knowledge.
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/WhatsApp-Image-2022-05-07-at-10.03.22-AM-1024x683.jpeg)
Cikgu Lai Wai Tung dalam perkongsian beliau
Perkongsian daripada Cikgu Lai Wai Tung yang bertajuk, “Kita ialah Barabas” turut memberi inspirasi kepada guru dan murid yang hadir. Dalam perkongsian tersebut secara ringkasnya, Barabas adalah seorang penjenayah yang telah melakukan banyak dosa, telah ditangkap oleh Kerajaan Roman dan bakal dijatuhkan hukuman mati di kayu salib. Namun, saat menjelang dia dijatuhi hukuman, askar Roman telah membebaskannya. Yesus telah menggantikannya untuk disalibkan.
“Barabas dibebaskan, Yesus pula yang telah disalibkan. Sebagai iktibar daripada perkongsian, kita adalah Barabas. Kita telah melakukan banyak dosa dalam hidup kita. Kebenarannya daripada perkongsian ini adalah ‘Percayalah Yesus adalah hidup kita, Yesus telah menggantikan kita untuk mati di atas salib.’ Amen ! Alleluia !,” katanya.
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/photo_2022-05-05_16-20-13-1024x768.jpg)
Aktiviti Pertandingan Mendekorasi Telur Easter
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/WhatsApp-Image-2022-05-07-at-11.36.20-AM-1024x683.jpeg)
Pengetua Sekolah Encik Chung Su Kiong menyampaikan Piala dan Sijil kepada pemenang
Penyampaian sijil dan piala telah disampaikan kepada para murid yang telah memenangi beberapa pertandingan sempena Easter Day Celebration ini iaitu ‘Kuiz Easter’, ‘Pertandingan Mewarna Poster’, Pertandingan Rekaan Bookmark Easter’ dan ‘Pertandingan Mendekorasi Telur Easter’. Semua aktiviti tersebut telah berlangsung awal pada dua minggu lalu, sejak 8 April 2022 lagi.
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/photo_2022-05-05_16-20-11-1024x683.jpg)
Doa Penutup oleh Adik Grace Thien Pei Yee
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2022/05/photo_2022-05-05_16-19-33-1024x683.jpg)
Pengagihan Telur Easter kepada semua murid
Pemberian “Telur Easter” kepada semua murid dan guru telah dijalankan di akhir program sambutan ini. Doa penutup dipimpin oleh murid dari Kelas 4A, Grace Thien Pei Yee, disusuli dengan sesi bergambar bersama serta jamuan kesyukuran. Acara selesai pada jam 1.30 petang.
Para penganjur bersyukur atas berkat Tuhan kerana ‘Easter Day Celebration’ tersebut telah dijalankan dengan jayanya. Mereka menyampaikan ucapan penghargaan kepada PIBG SMK Konven St. Cecilia, pihak pentadbir dan guru-guru yang telah menyumbang dana serta tenaga. Mereka turut berharap agar lebih banyak lagi aktiviti kristiani dapat dijalankan pada masa akan datang.