Oleh : Jaymar (SOCCOM)

Lahad Datu : Pada 24hb April 2022, Koordinator Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (KBK), Sr. Noemi Mejia, fsic telah melawat paroki St.Dominic, Lahad Datu dengan tujuan untuk mengenali setiap Tim kerasulan belia paroki tersebut. Lawatan ini juga dihadiri oleh mantan Koordinator Belia Keuskupan Sandakan iaitu Puan Anna Teresa Peter Amandus sebagai pemerhati.

Paroki St.Dominic ini merupakan tempat persinggahan yang kedua dalam Keuskupan Sandakan selepas Paroki Holy Trinity, Tawau dalam program penjelajahan beliau.

Ketibaan mereka disambut oleh Kerasulan Belia Paroki St. Dominic dan juga penasihat rohani iaitu Sr. Jadine Guiterrez, fsic bertempat di St. Augustine Convent.

Sesudah semua berkumpul, sesi dimulakan pada jam 9:30 pagi dengan lagu Pujian dan Penyembahan disusuli doa pembukaan yang dipimpin oleh saudari Nofie Tokan.

Sejurus itu, program lawatan diteruskan dengan sesi ‘ice breaking’ yang berunsurkan permainan indoor, untuk lebih menghidupkan suasana kasih di antara sesama yang dikendalikan oleh saudara Martinus Simon.

Dialog santai ini pun dilanjutkan dengan sesi pengenalan diri dan perkongsian pelayanan sebagai Tim Kerasulan Belia Paroki, bermula dari Sr.Noemi Mejia, fsic seterusnya setiap ahli tim kerasulan belia paroki St Dominic.

Antara suntikan semangat yang sangat memberi impak kepada Tim Kerasulan Belia Paroki adalah apabila Sr. Noemi berkata kepada Tim Kerasulan Belia Paroki, “Bukan kerana kamu berpendidikan, hebat ataupun berkebolehan, tetapi kamu dipanggil kerana kamu berkekurangan.”

Perkenalan dan dialog santai ini diakhiri doa penutup dan gambar bersama disusuli dengan makan tengah hari.