Tetapi Tuhan berfirman kepadaku: “Janganlah katakan: Aku ini masih muda, tetapi kepada siapa pun engkau Kuutus, haruslah engkau pergi, dan apa pun yang Kuperintahkan kepadamu, haruslah kausampaikan.” (Yeremia 1:7)

Artikel disediakan oleh: SOCCOM St. Martin, Telupid

TELUPID – Pada 3 Mei yang lalu, seorang lagi anak jati Telupid telah ditahbis menjadi paderi. Diakon Arthur John merupakan diakon kedua di Telupid yang ditahbis menjadi paderi selepas Rev. Fr. Christopher Ireneus. Diakon Arthur telah menjalani pembentukan kepaderian selama 8 tahun di Pusat Katolik Keuskupan Agung, Kota Kinabalu dan Kolej St. Peter, Kuching, Sarawak. Semasa menjalani latihan kepaderian, beliau telah melakukan tugas pastoral di beberapa paroki di Sabah dan Sarawak sejak tahun 2014 hingga 2020. Atas panggilan dan penyertaan Tuhan Yesus dalam perjalanan hidupnya, akhirnya beliau telah menerima pentahbisan sebagai paderi.

Mengimbas kembali akan latihan dan pendedahan terhadap tugas dan pelayanan harian pastoral Rev. Fr. Arthur John, beliau pernah melayani di beberapa paroki di Sabah dan Sarawak dalam tahun 2014 hingga 2020. Latihan pastoral ini telah membantu beliau menyedari dengan lebih mendalam akan semua isu-isu berkaitan kerja harian pastoral. Sepanjang tempoh tersebut juga, antara komuniti-komuniti yang pernah beliau layani dan program yang telah disertainya ialah, Gerakan Pembaharuan Karismatik, Legion of Mary, RCIA, Rumah Mental Sarawak, Chesire Home for the Disabled, Rumah Orang Tua, Youth Apostolate Ministry dan Migran. Rev. Fr. Arthur juga pernah menjalani latihan pastoralnya di kawasan Misi Paitan, Keuskupan Sandakan.

Misa Kudus Pentahbisan Imamat Diakon Arthur John telah diselebrankan oleh Uskup Datuk Julius Dusin Gitom bertempat di Gereja St. Martin, Telupid pada jam 10 pagi, 3 Mei 2022.

Dalam upacara pentahbisan imamat ini, Rev. Fr. Simon Kontou, Paderi Paroki St. Dominic, Lahad Datu telah menjemput Diakon Arthur yang telah menjalankan tanggungjawab pastoralnya di Gereja Holy Trinity,  Tawau sejak ditahbis menjadi diakon sebagai layak dan bersedia untuk pentahbisan imamat.

Upacara Pentahbisan Imamat Diakon Arthur

“Tahniah kepada yang diraihkan, Fr. Arthur John, kerana niat untuk mempunyai seorang lagi umat dari Telupid terlaksana. Saya percaya bahawa lepas ini pasti ada lagi umat dari Telupid yang terpanggil untuk menjadi seorang paderi atau religius”. Begitulah kata-kata Pengerusi Penganjur Encik Albert Andau. Beliau juga menyeru bagi para belia di Keuskupan Sandakan supaya tidak takut mencari tujuan hidup dan menyahut panggilan Tuhan. Beliau mengucapkan penghargaan kepada Bapa Uskup serta para paderi kerana memberikan kepercayaan penuh kepada pihak penganjur untuk mengatur persiapan serta pelaksanaan Pentahbisan Imamat Diakon Arthur John ini.

Paderi Paroki St. Martin, Telupid, Rev. Fr. Christopher Ireneus, dalam ucapannya, mengajak paderi yang baharu ditahbis itu untuk menghidupi kesetiaan kepada gereja sebagaimana yang tertulis, “Ia yang memanggil kamu adalah setia, Ia juga akan menggenapinya” (1 Tes 5:24). “Menghayati bahawa panggilan ini bukan semata-mata sebagai seorang yang hanya mengenakan jubah putih, berdiri kejauhan dan mengucapkan kata-kata arahan, tetapi belajar untuk mengenakan ‘pakaian biasa’, berjalan bersama, mendengar dan mendahului umat, ‘mengotorkan kaki dan tangan’ terlebih dahulu”, katanya.

Paderi yang baharu ditahbis, Rev. Fr. Arthur John, mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya kerana telah membesarkannya selama ini dan memahami pilihan hidupnya sebagai satu gambaran akan kasih sayang yang agung, dan beliau mendoakan agar berkat Tuhan sentiasa bersama mereka. Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih atas semua sokongan dan doa-doa oleh para umat, yang menjadi pembakar semangat beliau untuk terus melangkah sehingga memasuki martabat kepaderian ini.

Dalam ucapan Bapa Uskup Julius Dusin Gitom pula, beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa paderi yang baharu ditahbis kerana mereka rela dan bermurah hati untuk menyerahkan seorang daripada anak-anak mereka untuk menjadi seorang paderi bagi Keuskupan Sandakan. “Panggilan itu bermula daripada Keluarga, keluarga yang beriman, mempunyai cinta kasih, serta mengasihi Kristus. Di situlah terwujudnya panggilan menjadi paderi, religius atau umat yang setia kepada Tuhan. Teruskan usaha kita untuk menjadi umat yang setia dan cinta kepada Tuhan. Kalau kita dapat melakukannya, sudah tentu ramai lagi paderi yang dapat kita lahirkan daripada komuniti kita”, demikian kata-kata Uskup Julius. Di akhir ucapan, prelatus itu sempat berpesan kepada umat agar sentiasa membantu para paderi apabila mereka memerlukan bantuan dan sokongan.

Setelah berkat penutup, upacara pemberkatan oleh paderi baharu, Rev. Fr. Arthur kepada Bapa Uskup, para paderi dan juga ahli keluarganya, disusuli sesi bergambar. Setelah itu, sebagai kesyukuran, acara makan tengah hari dijalankan dengan kehadiran para paderi, religius, ahli keluarga Rev. Fr. Arthur dan ahli jawatankuasa pihak penganjur sahaja.