SANDAKAN: Satu lagi komisi di Keuskupan Sandakan telah menjalankan mesyuarat pertamanya pada tahun ini iaitu, Tim Pelayanan Karismatik Katolik Keuskupan Sandakan (TPKKK). Mesyuarat tersebut dijalankan secara maya menggunakan Aplikasi Zoom pada waktu malam, 1hb-2hb Ogos 2022.
ISNIN, 1HB OGOS 2022
Pada malam 1hb Ogos, hanya 10 ahli KPKK dari 5 paroki yang dapat hadir termasuk juga Rev. Fr. Arthur John yang baru sahaja dilantik oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom sebagai Pembimbing Rohani yang baharu. Selain itu, turut hadir adalah dua Staf Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan iaitu Sdri. Anna Teresa Peter Amandus (Pentadbir, Pejabat Pastoral) dan Sdri. Shirley Joseph (Kerani untuk Semua Komisi di Keuskupan Sandakan). Pengerusi TPKKK yang telah dilantik oleh Bapa Uskup Julius, Sdra. Adaris Moses Sintan telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Kita menanti-nantikan mesyuarat ini. Ini adalah kali pertama saya menjadi pembimbing rohani bagi pelayanan karismatik. Maka, saya sendiri pun perlu belajar dan bimbingan daripada kamu adalah berguna kepada saya. Marilah kita bekerjasama dalam pelayanan ini demi pembangunan rohani peribadi kita serta umat-umat Katolik yang lain. Sesiapapun yang terpilih sebagai pemegang jawatan tertinggi dalam AJK tim ini, sebagai satu tim, kita harus bersatu dalam usaha-usaha kita dan saling bekerjasama demi memuliakan Tuhan di Keuskupan Sandakan,” kata Fr. Arthur semasa ucapan alu-aluan beliau.
Selepas itu, perjalanan mesyuarat diteruskan dengan sesi memperkenalkan diri serta perkongsian sepanjang dalam pelayanan karismatik. Mereka berasal dari tempat-tempat yang berbeza-beza di seluruh Negeri Sabah dan ada juga yang bukan berasal dari kawasan di bawah naungan Keuskupan Sandakan. Mereka juga bekerja dalam pelbagai bidang yang berlainan. Mereka telah menceritakan pengalaman-pengalaman yang dialami sama ada yang pahit atau yang manis. Namun, terdapat juga persamaan iaitu cara mereka menemui Tuhan dan serta mengalami perubahan cara hidup setelah melayani atau terlibat dalam pelayanan pembaharuan karismatik Katolik.
Sejurus selesai sesi perkongsian tersebut, pembentangan laporan dari setiap paroki pula dijalankan. Mereka melaporkan banyak program dan aktiviti yang telah dijalankan, ada juga masih dalam perancangan dan bakal dijalankan. Terdapat paroki yang sudah mempunyai komiti pelayanan karismatik mengikut kumpulan-kumpulan bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina. Ada juga paroki yang baru sahaja mulai membentuk atau mengaktifkan kembali komitinya. Mereka semua mengatakan bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelayanan ini tidak begitu aktif.
Semasa penghujung mesyuarat, Sdra. Adaris telah mengumumkan bahawa pada mesyuarat seterusnya, salah satu agenda utama adalah menetapkan draf akhir garis panduan komisi ini dan upacara pengutusan bagi ahli-ahli TPKKK 2022-2025.
Sebelum doa penutup, Fr. Arthur menyampaikan pesanan serta membuat kesimpulan sesi pertemuan pertama itu. Beliau sempat mengongsikan bahawa sedikit sebanyak imannya sebagai belia dibentuk dan berkembang adalah hasil daripada penglibatannya dalam pelayanan karismatik. Fr. Arthur juga berkata, “Apa yang saya dapati daripada perkongsian kamu ialah kita diminta untuk bersatu dan berjalan bersama di paroki masing-masing, sesuai dan menurut tatacara dan garis panduan yang telah gereja kita sediakan. Sentiasalah berkomunikasi dengan paderi di paroki masing-masing sebelum membuat sesuatu program atau pelayanan di sekitar paroki.”
Beliau menyambung dengan memberi nasihat bahawa dalam melayani secara karismatik, haruslah sentiasa berhati-hati agar pelayanan yang diterima umat tidak disalah erti atau disalah anggap sehingga menimbulkan pelbagai masalah. “Sekiranya terjadi hal seperti itu, disalah tafsir dan sebagainya, pergilah kepada paderi paroki atau paderi yang dipertanggungjawabkan menjaga pelayanan karismatik untuk mendapatkan bantuan. Janganlah berdiam diri atau mengendahkan jika terdapat sebarang kepincangan dalam pelayanan kita. Sentiasa belajar sesuatu yang baharu, belajar daripada kesilapan dan terus berkembang dalam pelayanan,” katanya lagi.
“Saya berasa gembira dan berterima kasih atas perkongsian-perkongsian kamu tadi dan selepas ini, saya berharap agar AJK yang dibentuk nanti akan lebih bersatu padu lagi untuk melaksanakan tugas-tugas pelayanan karismatik di Keuskupan Sandakan,” kata Fr. Arthur, mengakhiri pesanannya.
SELASA, 2HB OGOS 2022
Pada malam 2hb Ogos pula, beberapa lagi ahli KPKK tidak dapat menyertai atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, menjadikan jumlah kehadiran hanyalah 12 orang. Walaupun demikian, kelima-lima paroki di Keuskupan Sandakan semuanya diwakili. Misi Paitan buat masa ini belum ada komiti pelayanan karismatik.
Selepas pewartaan iniil dan doa pembukaan, Fr. Arthur diberi ruang untuk menyampaikan amanat daripada Bapa Uskup sebelum proses pengundian dimulakan. “Bapa Uskup Julius Dusin Gitom berharap agar para pemegang jawatan tertinggi AJK nanti akan dapat mewakili Keuskupan Sandakan untuk menghadiri mesyuarat dan sebagainya di peringkat lebih tinggi, apabila diperlukan. Maka, kriteria yang bersesuaian adalah perlu,” katanya.
Selepas taklimat ringkas, proses pemilihan telah dijalankan di mana pengundian dilakukan menggunakan Google Form. Kemudian, Keputusan lengkap diperolehi seperti berikut:
BARISAN AJK BAHARU TIM PELAYANAN KARISMATIK KATOLIK KEUSKUPAN SANDAKAN (TPKKK) SESI 2022-2025
PEMBIMBING ROHANI:
Rev. Fr. Arthur John
PENGERUSI:
Sdra. Adaris Moses Sintan (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
TIMBALAN PENGERUSI:
Sdra. Victor Nasir (Paroki Holy Trinity, Tawau)
SETIAUSAHA:
Sdra. Michael Lai (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
PEMBANTU SETIAUSAHA:
Sdra. Gilbert Ondoi (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
AHLI KOMITI:
Sdra. Edward Masigi (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Sdra. Richard Eddie (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Sdra. William Vun (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Sdra. Fredolin Karim (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Sdra. Henry DM Amboh (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Sdri. Jane David G (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Sdra. Raynold Thomas (Paroki St. Martin, Telupid)
Sdri. Marlyna Jeffery (Paroki St. Martin, Telupid)
Sdri. Madeline Bunyau (Paroki St. Martin, Telupid)
Sdri. Merynah Kaong (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Sdri. Stella Gunsalam (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Sebaik selesai pemilihan tersebut, Sdra. Adaris selaku Pengerusi TPKKK Sesi 2022-2025 mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Bapa Uskup Julius kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin Tim Pelayanan Karismatik Katolik Keuskupan Sandakan. Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Pembantu Setiausaha yang baharu turut menyampaikan sepatah dua kata. Mereka bertiga menyatakan rasa bersyukur kerana telah dipilih dan diberi kepercayaan memegang jawatan tersebut. Mereka juga memohon doa agar diberikan kekuatan serta bimbingan bagi memikul tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan.
Selepas itu, Sdra. Adaris telah membentangkan draf carta organisasi pelayanan, Pesan Bapa Suci Fransiskus kepada CHARIS (tahun 2019), program-program yang dirancang pada tahun 2019-2022 tetapi belum terlaksana kerana pandemik Covid-19, dan program-program yang masih dalam perancangan TPKKK bagi tahun 2022-2025. TPKKK akan cuba menjangkau kepada semua umat agar lebih ramai yang akan memahami apakah sebenarnya pelayanan karismatik ini.
AJK Tertinggi TPKKK bercadang untuk bertemu secara maya lagi pada 1 September 2022 bagi membincangkan dan memperhalusi kertas kerja dan perancangan-perancangan TPKKK sebelum bermesyuarat lagi secara rasmi dengan Fr. Arthur serta semua ahli lain.
Mesyuarat telah ditangguhkan selepas doa penutup dan bergambar bersama pada jam 9:49 malam.
(Ketahui lebih lanjut mengenai pelayanan karismatik Katolik)
__________________________________________________________________
CHARIS
Catholic Charismatic Renewal International Service
“I am particularly grateful that my request to you, two years ago, to give the worldwide Charismatic Renewal a single international service based here, has begun to take concrete shape in the acts of incorporation of this new single service. It is the first step, and others will follow, but soon the unity, the work of the Holy Spirit, will be a reality. “I make all things new”, says the Lord (Rev 21:5).”
Pope Francis, Vigil of Pentecost
Golden Jubilee of the Catholic Charismatic Renewal, 3 June 2017