Oleh Rogena Roger Sining

Sandakan: Romo Lukas Laba Erap dari Keuskupan Larantuka, Indonesia telah tiba di Keuskupan Sandakan pada pertengahan bulan Ogos 2022. Beliau telah dijadualkan untuk melawat tiga paroki di keuskupan ini iaitu, Paroki St. Dominic Lahad Datu, Paroki Holy Trinity Tawau dan Paroki Katedral St. Mary, Sandakan.

Sempena lawatan beliau ke Paroki Sandakan, Komiti Pastoral Gereja St. Mark (KPSM) bersama Komiti Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) telah menganjurkan satu program di Gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan pada 24 Ogos 2022. Lebih kurang 200 umat migran Katolik dari Indonesia dan umat-umat setempat hadir.

Program tersebut telah dimulai dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Romo Lukas. Dalam homili, beliau menyatakan rasa bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan semua umatNya kesihatan yang baik walaupun dilanda Pandemik Covid 19. Beliau turut mengatakan bahawa iman yang dimiliki yang menjadi kekuatan kerana tanpa iman, manusia mudah menjadi korban dunia pada masa kini. Beliau menegaskan untuk terus berjalan bersama sebagai satu gereja sinodal diselarikan dengan Tema Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-77 iaitu “Pulih Lebih Cepat, Bangkit Lebih Kuat”, Beliau menambah bahawa komuniti migran Katolik Indonesia mengalami banyak masalah, namun perjuangan serta pengorbanan yang tinggi  adalah diperlukan dan setiap perjuangan itu harus terus fokus kepada Tuhan.

Di akhir homilinya, Romo Lukas mengucapkan terima kasih kepada Uskup Sandakan, Julius Dusin Gitom kerana memberi peluang kepadanya melayani di Keuskupan Sandakan pada kali ini, dan juga kepada Rektor, Rev. Fr. David A. Garaman untuk program lawatan ke Paroki Sandakan.

Selesai Misa Kudus, acara diteruskan di Dewan Serbaguna Gereja St. Mark. Acara dimulakan dengan makan malam disusuli dengan sesi ucapan. Dalam ucapan Sdra. Dimeh Koyopo selaku Penasihat Komiti Pastoral Gereja St. Mark (KPSM), beliau berterima kasih kepada Romo Lukas kerana dapat bersama-sama merayakan Misa Kudus itu. Beliau turut mengongsikan bahawa tanpa iman kehidupan akan mati seperti pada petikan alkitab, YAKOBUS 2:14-26, “iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia!”. Beliau mengajak semua umat untuk membuka hati dan fikiran bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Seterusnya, dalam ucapan Romo Lukas pula, beliau meluahkan rasa gembira kerana dijemput kembali untuk melayani umat KBKI. Beliau berharap agar peluang ini berterusan dan lebih ramai Romo pelawat dari keuskupan lain pada masa akan datang. Beliau turut mengongsikan tentang betapa pentingnya dokumen perkahwinan yang sah dan teratur demi masa hadapan mereka dan keluarga. Beliau menyeru agar semua umat KBKI mengurus dokumen mereka masing-masing dengan sebaiknya mengikut peraturan dan undang-undang.

Setelah sesi ucapan, hadirin mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan Romo Lukas dan sesama umat. Majlis ringkas tersebut diakhiri dengan doa penutup oleh Romo Lukas.

Program lawatan di Keuskupan Sandakan ini akan berakhir di Paroki Tawau dan Romo Lukas dijangka berangkat kembali ke Keuskupan Larantuka di Provinsi Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia selepas 5 September 2022.