Oleh Anathasia Thomas
Sandakan: Satu program ziarah ke Bukit Maria di kawasan Katedral St. Mary telah disertai oleh umat dari kapela St. Petrus, Sg. Manila pada 16 September 2022. Seramai lebih kurang 80 orang umat telah mengikuti pendakian ini yang terdiri daripada pelbagai golongon umur. Pendakian ini turut dibantu oleh para sukarelawan iaitu daripada komuniti Mount Marian Volunteers (MMV). Program yang julung kali diadakan ini mampu memupuk semangat dalam pelayanan bagi umat St. Petrus.
Perjalanan daripada kapela St. Petrus bermula pada jam 7.30 pagi. Para umat bertolak dengan menaiki bas yang disediakan dan juga dengan membawa pengangkutan sendiri. Umat tiba di perkarangan Katedral St. Mary pada jam 8.30 pagi. Aktiviti dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi kapela St. Petrus iaitu saudara Linus Sondungan. Seterusnya, taklimat ringkas diberikan oleh saudara Edward Masigi yang merupakan pengerusi MMV Katedral mengenai garis panduan dan operasi standard (SOP) semasa berada di kawasan hutan. Fr. David telah memberikan ucapan selamat datang terutama mereka yang pertama kali ke Bukit Maria. Beliau juga memberi peringatan bahawa pendakian ini bukan sekadar mengisi masa untuk berjalan-jalan tetapi ia merupakan perjalanan ziarah rohani. Bukit Maria adalah tempat bagi umat untuk bersembahyang dan mengalami sendiri pengalaman iman dan rohani yang dilakukan semasa mendaki. Selesai ucapan, Fr. David memimpin doa bagi memberkati perjalanan pendakian.
Aktiviti pendakian ini telah dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama memulakan perjalanan doa rosari pada jam 9.10 pagi dengan mengambil peristiwa sedih yang seterusnya disusuli dengan kumpulan kedua dan ketiga. Setiap kumpulan dipimpin oleh para sukarelawan bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar. Sr. Regina juga turut menyertai para umat dalam pendakian tersebut. Umat telah menyediakan lilin dan meletakkannya di beberapa tempat khas semasa pendakian secara bergilir.
Pada jam 10.50 pagi, para umat telah selesai berdoa rosari di semua perhentian dan berkumpul di kapela Bukit Marian. Mereka kemudian mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan sebelum meneruskan perjalanan untuk turun bukit.
Para umat seterusnya menikmati makanan yang disediakan sebelum berangkat pulang. Pengerusi kapela St. Petrus mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dengan pendakian Bukit Maria ini. Setelah selesai menjamu selera, para umat mengambil peluang untuk membeli barangan kudus di Kedai Buku Marian. Aktiviti pendakian ini diharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Kerjasama dan semangat pelayanan daripada para umat diharap dapat dipupuk melalui program ziarah ini.