Tema:    “Membina Masa Depan bersama dengan Para Migran dan Pengungsi”

 

SANDAKAN: Pandemik Covid-19 telah menyebabkan Hari Minggu Migran tidak dapat dirayakan seperti tahun-tahun sebelumnya oleh semua paroki di Keuskupan Sandakan. Pada tahun ini, Paroki Katedral St. Mary, Sandakan tidak mensia-siakan Fasa Endemik dan telah mengambil peluang untuk menjalankan semula program Perayaan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia ke-108.

Program pertama yang telah dijalankan ialah Sesi Renungan bagi Perutusan Bapa Suci Fransiskus. Sesi ini telah berlangsung pada 23 September 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan. Penceramah jemputan adalah Rev. Fr. Raymond Lee Seng Huat, Pembantu Paderi Paroki. Sesi itu berjalan selama dua jam iaitu pada jam 8:00 hingga 10:00 malam. Lebih kurang 60 umat daripada pelbagai komuniti datang ke sesi ini.

Sdra. Fabian Koret, Pengerusi Komiti Pastoral Gereja St. Mark, yang juga salah seorang ahli Tim Penganjur telah mewakili Sdra. Franco Amigo, Pengerusi Tim Penganjur untuk mengalu-alukan semua yang hadir pada malam itu. Beliau juga secara ringkas mengatakan bahawa Tim Penganjur mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan penglibatan mereka. “Semoga dengan bimbingan Tuhan, kita dapat menghayati sesi ini nanti dan mendapat manfaat daripadanya untuk melayani Dia dengan lebih sungguh terutamanya dari segi pelayanan pastoral kepada migran dan perantau di paroki kita”, katanya.

Sebelum sesi utama dijalankan, Sdri. Shirley Joseph, Setiausaha Komisi Pelayanan Pastoral bagi Migran dan Perantau Keuskupan Sandakan telah memberi pengenalan ringkas mengenai pelayanan pastoral kepada migran.

Seterusnya, Fr. Raymond menyampaikan sesi utama dengan menayangkan empat video yang diselang-selikan dengan perkongsian beliau, berkaitan setiap video tersebut. Para peserta juga telah diberikan salinan teks penuh Perutusan Bapa Suci Fransiskus Sempena Hari Migran dan Pengungsi Sedunia 2022. Kemudian, mereka dibahagikan kepada enam kumpulan kecil untuk sesi perkongsian kumpulan. Mereka telah berkongsi mengenai pengalaman hidup mereka masing-masing dalam hal memberi sumbangan terhadap pembangunan keluarga, pekerjaan dan di dalam lingkungan komuniti gereja, sama ada dengan komuniti migran atau tempatan.

Selepas selesai sesi perkongsian kumpulan kecil tersebut, Fr. Raymond menyampaikan kesimpulan dan rumusan sesi renungan pada malam itu. Berikut adalah kesimpulan tersebut:
1. Berdasarkan kepada tema hari migran pada tahun ini, para migran tidak seharusnya bersedih dan berputus asa kerana semua bertanggungjawab untuk membina masa depan yang ceria.
2. Migran bukanlah beban kepada masyarakat setempat, tetapi penduduk tempatan dan migran saling melengkapi.
3. Kita semua merupakan migran dari perspektif kerohanian. Kita semua hanyalah perantau di dunia yang bergerak ke destinasi yang telah dijanjikan oleh Kristus.
4. Migran akan membawa manfaat dan impak positif kepada pertumbuhan sosial dan ekonomi masyarakat kita.
5. Sebagai perantau, kita mungkin kehilangan kewarganegaraan asal, tetapi budaya kita kekal kerana budaya merupakan identiti kita sendiri.

Sesi renungan tersebut diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr. Raymond, dan sesi bergambar bersama.

     

Pada 25 September 2022 pula, program kedua dijalankan bermula dengan Misa kudus di Gereja St. Mark, Sandakan pada jam 9:00 pagi dan selebrannya ialah Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan.


Ramai umat berpakaian tradisi masing-masing semasa menghadiri misa kudus tersebut. Koir telah menyanyikan lagu-lagu daripada pelbagai komuniti dan bahasa, begitu juga doa permohonan umat bagi memperlihatkan bahawa umat-umat di Paroki Sandakan terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum yang datang daripada luar Daerah Sandakan, Negeri Sabah dan Negara Malaysia. Mereka adalah migran dalaman dan antarabangsa.

Bapa Uskup ketika menyampaikan homilinya berkata, “Adakah kekayaan merupakan satu tiket ke neraka? Siapakah yang dekat dengan kita? Adakah para migran atau orang tempatan? Atau adakah kita membandingkan diri kita dengan orang lain, yang lebih susah daripada kita? Kita harus melihat perumpamaan antara orang miskin dan kaya yang Yesus katakan dalam pembacaan pertama tadi, yang sememangnya ditujukan kepada kita semua. Saya sangat tertarik dengan Perutusan Bapa Suci Fransiskus sempena Hari Migran dan Pengungsi Sedunia ke-108 yang bertemakan, ‘Membina Masa Depan bersama Migran dan Pengungsi.’ Ini bererti bahawa setiap kita harus bersatu dalam gereja Kristus, membangun masa depan bersama dengan migran atau orang tempatan. Mesej ini ditujukan kepada kita semua.”

Bapa Uskup juga mengingatkan bahawa semua harus prihatin kepada sesama insan yang dalam kesusahan tanpa mengira status kewarganegaraan, agama dan bangsa. Beliau juga menyatakan tentang realiti kehidupan di mana ada juga terjadi hal menjatuhkan sesama di kalangan sendiri, sama ada dalam komuniti migran atau tempatan. Maka dengan itu, Bapa Uskup menyeru kepada semua umat agar menyahut cabaran Bapa Suci untuk saling mengiktiraf dan membangun bersama, membina Kerajaan Allah dalam komuniti. Beliau turut mengajak semua untuk menggunakan bakat masing-masing demi membangun masa depan bersama. “Marilah kita memohon kekuatan daripada Roh Kudus agar kita dapat melaksanakan ini. Jika kita bersandar dengan kekuatan sendiri, kita tidak mampu melakukannya, tetapi dengan bantuan kuasa Ilahi sendiri, kita dapat melaksanakannya dan mewujudkan Kerajaan Allah di tengah-tengah kita,” katanya mengakhiri homili beliau.


Selepas selesai misa kudus, semua umat dijemput untuk bersama-sama menyambut perayaan itu dengan acara di Dewan Serbaguna Gereja St. Mark pula. Acara tersebut telah dimulai dengan ‘Tarian Sambut Tamu’ oleh Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) bagi menyambut ketibaan Rev. Fr. Raymond sebagai tetamu kehormat. Bapa Uskup Julius pula hanya dapat menyertai acara di dewan selepas selesai merayakan satu lagi Misa Kudus di Kapela St. Petrus, Sungai Manila.

Semasa sesi-sesi ucapan, Sdra. Fabian Koret sekali lagi telah mewakili Sdra. Franco selaku Pengerusi Tim Penganjur. Beliau mengalu-alukan kehadiran semua umat dari pelbagai etnik dan berterima kasih atas sokongan dan kehadiran mereka. Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan atas kerjasama dan usaha gigih Tim Penganjur dalam menjayakan program sempena Hari Migran 2022 ini. Sdra. Fabian turut meluahkan rasa gembira kerana beliau bersama dengan ahli-ahli Tim Kesukarelawan Lelaki Katolik Gereja St. Mark (KLK) telah mengangkut dan menghantar beberapa meja dari SM Konven St. Cecilia, Sandakan ke empat buah pusat pembelajaran komuniti migran di Sandakan pada hari sebelumnya (24 September).

Kemudian, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Sdra. Freddy a/k Graman juga mengalu-alukan semua yang hadir termasuk para jemputan khas ketika. Sdra. Freddy meluahkan rasa bersyukur kepada Tuhan kerana setelah dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, akhirnya pada tahun ini, perayaan tersebut dijalankan semula seperti biasa, bersama-sama dengan komuniti migran dan tempatan yang berbagai suku kaum serta berlainan agama. Beliau juga sempat menyampaikan sedikit perkongsian peribadinya sebagai migran dalaman yang berpindah dari negeri asal beliau di Sarawak ke Negeri Sabah kerana pekerjaan.

Selepas itu, Fr. Raymond pula telah membacakan ucapan dan pesanan daripada Rev. Fr. David A. Garaman, Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan yang tidak dapat turut serta dalam perayaan tersebut kerana ada komitmen pelayanan pastoral lain. Fr. David berkata dalam teks ucapan penuh, “Saudara dan saudari dalam Kristus, salam damai kepada anda semua. Syukur dan puji Tuhan kerana tahun ini kita dapat merayakan Perayaan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia yang ke-108. Sememangnya gereja di seluruh dunia sering mengambil serius akan isu-isu yang berkaitan dengan migran dan pengungsi. Bahkan, Bapa Suci kita sendiri pada setiap tahun, akan memberikan mesej penting untuk kita renungi dan praktikkan di gereja tempatan. Seringkali kita diseru untuk membuka ruang bagi menerima saudara saudari kita yang merantau masuk ke dalam sesebuah negara dan menerima mereka sebagai sebahagian daripada komuniti kita. Tahun ini, Bapa Suci mendorong kita untuk membina masa depan bersama sebagai satu komuniti tanpa membezakan asal usul. Semoga pesan Bapa Suci ini akan benar-benar menjadi realiti di paroki kita. Dengan itu, marilah kita bersama-sama mengambil sikap rasa tanggungjawab untuk membina kesatuan di antara semua umat yang berbagai budaya dan bangsa agar visi diosis kita iaitu, kita menjadi satu komuniti berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan kasih akan menjadi satu realiti kerana rasa tanggungjawab dan keterlibatan daripada semua. Sebelum mengakhiri ucapan singkat ini, di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada tim penganjur perayaan atas segala usaha dalam merancang dan mengatur program khusus untuk perayaan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada para penaja yang telah menaja keperluan-keperluan semasa program ini berlangsung. Terima kasih dan selamat menyambut Hari Migran dan Pengungsi Sedunia kepada kita semua. Tuhan memberkati anda.”

Sebaik sahaja semua ucapan disampaikan, acara pentas telah dimulakan. Para hadirin dan tetamu telah dihiburkan dengan persembahan pertama iaitu berbentuk lakonan pentas musikal daripada Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) yang amat menepati tema perayaan kali ini, bertajuk, “Migran Punya Harapan.”

Sdri. Reginia Jane Hugo (tengah) yang telah memberi perkongsiannya, juga bertugas sebagai pengacara majlis.

Kemudian, dua perkongsian peribadi disampaikan oleh Sdri. Reginia Jane Hugo daripada Komuniti Migran Filipino dan Sdra. Arnoldus Rema daripada Komuniti Migran Indonesia. Kedua-duanya telah menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman hidup masing-masing yang mempunyai suka dan duka. Namun, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada masyarakat tempatan kerana kewujudan mereka diterima dan dapat hidup bersama dengan baik sebagai satu komuniti.

Para hadirin terus dihiburkan lagi dengan dua persembahan berbentuk nyanyian daripada Komuniti Cina dan Filipino sebelum mendengar sesi pengenalan ringkas yang telah disampaikan oleh Sdri. Shirley Joseph mengenai pelayanan pastoral bagi migran dan perantau di peringkat paroki dan keuskupan.

Apabila Bapa Uskup Julius tiba di dewan, makan tengah hari bersama dimulakan. Semua hadirin berpeluang menikmati banyak jenis hidangan tradisi yang dimasak sendiri atau dibawa oleh para umat dan komuniti untuk dikongsikan secara potluck. Selain itu, masa tersebut diluangkan bersama dengan beramah-mesra dan saling bertanya khabar serta berkenal-kenalan dengan sesama kerana selama dua tahun perayaan ini tidak dapat diadakan secara bersemuka.

    

Sesi peragaan pakaian tradisi kanak-kanak daripada komuniti migran Indonesia juga diadakan. Kemudian, ada yang berhibur dengan aktiviti tari-menari beramai-ramai seperti Tarian Sumazau dan tarian dari Komuniti Indonesia (Ja’i).

Tim penganjur juga mengajak semua hadirin di penghujung program untuk menyanyi beramai-ramai, Lagu: “We are the World” bagi menghayati lagi makna perayaan tersebut.

Kira-kira jam 3 petang, perayaan ini ditutup dengan doa yang telah dipimpin oleh Bapa Uskup Julius. Tim penganjur berharap agar perayaan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menyumbang lebih banyak manfaat kepada kehidupan komuniti gereja serta menaikkan semangat pelayanan pastoral, khususnya kepada migran dan perantau demi mewujudkan gereja sinodal iaitu berjalan bersama, sehati dan seperasaan.

Tim Penganjur mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih
dan berharap agar dapat berjumpa lagi pada Hari Migran 2023!
Jumpa anda di sana!