Nama: Maria Ana
Asal: Flores Timur, Indonesia
Tempat Lahir: Kalimantan Barat Indonesia
Bangsa: Timor

Hari Migran bagi saya ialah hari di mana saya merasa diperhatikan sebagai seorang migran. Hari di mana identiti saya diketahui oleh ramai orang kerana hanya pada hari tersebut saya dapat berjumpa dengan umat-umat di Paroki Katedral St. Mary, Sandakan yang terdiri daripada berbagai suku kaum dan komuniti.

Saya ingin mengongsikan pengalaman saya sebagai seorang migran selama berada di Sandakan, khasnya di Gereja St. Mark. Pada mulanya, saya sangat segan untuk turut mengambil bahagian dalam pelayanan di gereja. Ini disebabkan saya merupakan seorang yang sukar untuk bergaul atau menyesuaikan diri dengan tempat dan situasi yang baru. Tetapi, keinginan untuk melayani bersama di gereja sangat kuat. Saya juga telah mulai dikenali oleh beberapa orang yang berada dalam pelayanan gereja. Mereka datang kepada saya dengan tangan terbuka dan mengajak saya untuk menyertai dalam aktiviti pelayanan mereka. Kini, saya sudah mampu menyesuaikan diri dengan situasi baru di perantauan. Terima kasih.

Nama: Michael Phoon
Asal: Kuala Lumpur, Malaysia
Bangsa: Cina

Syukur dan puji Tuhan kerana diberi peluang untuk merayakan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia kali ini bersama-sama dengan para umat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan.

Semasa Perayaan Ekaristi, ketika menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa yang berlainan, saya dapat merasakan kesatuan yang telah dibina oleh umat-umat di Paroki Sandakan yang mempunyai kepelbagaian budaya.

Manakala dalam majlis perayaan selepas misa, bahagian yang paling menyentuh saya adalah persembahan lakonan oleh para pelajar dari Pusat Pembelajaran Komuniti sebagai wakil daripada komuniti migran Indonesia. Apabila salah seorang pelakon mengatakan bahawa adakah kita sanggup melakukan apa yang pekerja Timor lakukan untuk mencari rezeki? Siapakah kita tanpa mereka? Hal ini sangat menandakan kesepakatan yang diperlukan oleh kita sebagai umat Katolik dan saya amat berharap antara kita akan lebih menyayangi sesama dan saling menghormati. Tuhan berkati.

Nama: Oliver Madani
Tempat lahir: Sandakan, Sabah

Bangsa: Kadazan

Ini merupakan kali pertama saya menyertai aktiviti sempena Hari Migran dan Pengungsi Sedunia, apa lagi sebagai salah satu ahli komiti Tim Penganjur. Acara tersebut yang telah berlangsung pada 23 & 25/09/2022 di Gereja St. Mark, Sandakan. Apa yang saya kagumi adalah sikap kerjasama yang tinggi di kalangan para ahli komiti untuk menjayakan program tersebut. Pada mulanya, agak merisaukan untuk melakukan terutama bila komiti ini tidak mempunyai dana atau modal, apatah lagi memikirkan masa agak singkat untuk menjayakan program ini. Sesuatu yang dilihat ‘manis’ apabila semua ahli yang hadir pada mesyuarat pertama bersetuju untuk membuat pungutan sumbangan sebanyak RM10 seorang sebagai permulaan untuk mencari dana bagi menampung penganjuran program tersebut. Syukur puji Tuhan, selepas program ini diwar-warkan kepada umat lain, kami mulai menerima sumbangan yang memberangsangkan. Sungguhpun ramai ahli komiti dan juga umat lain yang tidak saya kenali selama ini, namun atas dasar cintakasih, saling hormat menghormati serta kerjasama yang tinggi, tidak ada yang mustahil. Adalah menjadi harapan saya agar di masa akan datang, aktiviti sebegini diteruskan demi mengeratkan hubungan antara sesama umat yang berlainan etnik. Tuhan memberkati kita semua.

Nama: Freddy Anak Graman
Asal: Sarikei, Sarawak
Bangsa: Iban

Saya juga merupakan seorang migran. Saya berasal dari Sarawak, telah ditempatkan ke Negeri Sabah lebih 22 tahun yang lalu kerana pekerjaan tanpa sebarang ahli keluarga dan kenalan di sini. Saya mengalami situasi yang sama seperti anda, di mana pada permulaannya, saya mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dan hidup di negeri orang. Saya mengambil masa untuk dapat mempelajari cara, budaya dan bahasa orang lain. Semuanya adalah berbeza daripada tempat asal saya.

Tetapi, ada satu perkara yang ingin saya kongsikan di sini. Sebagai seorang migran di tempat yang baru, walau di mana juga kita berada, janganlah sekali-kali kita lupa akan Tuhan, kerana Dialah yang membimbing dan menuntun kita ke suatu tempat, yang mana memberikan kita kehidupan yang lebih baik. Saya percaya bahawa para migran bermigrasi merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk masa depan yang lebih baik berbanding di tempat asal. Marilah kita terus teguh dalam iman walau di mana kita berada. Kita mencari Kerajaan Allah di tempat kita berada sekarang kerana tujuan hidup kita adalah menuju kehidupan kekal di tempat Allah berada dan bukannya kehidupan sementara di dunia. Marilah bersama-sama membina kehidupan lebih baik bersama keluarga, anak-anak dan cucu-cicit, bukan setakat di dunia tetapi juga di akhirat nanti.

 

Nama: Franco Amigo, Jr.
Tempat lahir: Tawau, Sabah
Bangsa: Visaya Warai Filipino

Salam damai Kristus. Saya Franco Amigo Jr. berumur 49 tahun, dilahirkan di Tawau, Sabah, berketurunan Visaya Warai Filipino. Saya ingin mengongsikan sedikit pengalaman dan perasaan saya sebagai Pengerusi Tim Penganjur Perayaan Hari Migran & Pengungsi Sedunia pada tahun ini.

Saya sangat-sangat bersyukur dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ahli-ahli tim pelaksana yang mewakili beberapa komuniti ataupun etnik yang ada di Paroki Sandakan, seperti KBKI (Komuniti Indonesia), KCC (Komuniti Kadazan), CCC (Komuniti Cina), FPC (Komuniti Filipino) dan Komuniti Sarawak. Walaupun dalam masa yang sangat singkat dan hanya dapat mengadakan beberapa mesyuarat persiapan dalam masa 3 minggu sahaja, semua telah memberi komitmen tinggi, sehinggakan sesi renungan yang telah disampaikan oleh Fr. Raymond Lee Seng Huat pada 23hb September 2022 dan Perayaan Misa Kudus seterusnya Majlis Perayaan pada 25hb September 2022 telah berjalan dengan lancar dan meriah.

Semua ahli jawatankuasa bukan sahaja bertungkus-lumus berusaha dan mendedikasi masa mereka, tetapi juga sudi menyumbang wang ringgit untuk menjayakan program perayaan tersebut. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada para dermawan lain sehingga akhirnya kos penuh penganjuran dapat ditampung. Tidak lupa kepada semua umat yang telah menyediakan potluck makanan dan minuman untuk dikongsikan kepada semua yang hadir semasa perayaan ini. Tuhan memberkati kemurahan hati kalian.

Sekian perkongsian saya, semoga kita dapat berjumpa lagi di perayaan hari migran pada tahun hadapan.

 

Baca lagi: https://www.dioceseofsandakan.org/2022/10/perayaan-hari-migran-dan-pengungsi-sedunia-2022-peringkat-paroki-katedral-st-mary-sandakan/