oleh Rogena Roger Sining

SANDAKAN: “Rekoleksi bukan sahaja untuk mendengar input tetapi untuk merenung kembali peristiwa yang berlaku pada masa lalu dan apa yang boleh dilakukan agar pelayanan sebagai koir dapat menyentuh hati semua orang, terutama dalam menyanyikan lagu-lagu karoling.” Demikian pembuka kata Rev. Fr. David Garaman, Paderi Paroki semasa Rekoleksi Para Karolers Paroki Katedral St. Mary, Sandakan pada 2hb Disember 2022 bertempat di dewan parokinya.

Tahun ini Paroki Sandakan telah membenarkan aktiviti berkaroling secara bersemuka diadakan, di mana pada dua tahun sebelumnya, aktiviti ini hanya dapat dilakukan secara maya. Walaupun kumpulan koir yang dapat keluar untuk menyanyikan lagu-lagu khabar gembira kelahiran Yesus Kristus dalam bilangan yang kecil, namun itu tidak melemahkan semangat mereka untuk keluar menjangkau ke rumah-rumah para keluarga yang ingin dilawati.

Semasa sesi perkongsian Fr. David, beliau telah mengongsikan tentang situasi gereja yang seperti “negeri dialahkan garuda”, di mana keadaan gereja semasa Pandemik Covid-19 adalah sunyi sepi, seolah-olah tidak berpenghuni. Namun begitu, dengan adanya rangkaian dan capaian internet, gereja tidak ‘senyap’ kerana banyak program dan aktiviti gereja termasuk berkaroling dapat dijalankan dengan jayanya, secara maya.

“Situasi gereja sangat berbeza selepas pandemik, di mana semua umat masih dalam keadaan amat berjaga-jaga. Maka, bilangan kehadiran ke Misa Kudus berkurangan disebabkan ramai yang masih takut dengan panyakit membunuh ini. Melalui mata gereja, mereka dapat dilihat bahawa mereka memerlukan dorongan, khabar gembira, kata-kata semangat dan kekuatan yang datang dari komuniti itu sendiri. Apabila keluar berkaroling, waktu tersebut ialah peluang besar untuk menjangkau kembali para umat yang memerlukan pertolongan tersebut”, katanya, dan menambah, “Kamu harus bersyukur kerana diberkati, kerana melalui kamu Sabda Tuhan dapat diwartakan.”

Rev. Fr. David turut mengingatkan para ahli koir bahawa mereka bukan sahaja petugas dalam liturgi gereja, tetapi mereka memikul tugasan penting iaitu mewartakan khabar gembira kepada yang berada ‘di luar gereja’ melalui karoling. Beliau menegaskan bahawa ahli koir haruslah tidak menganggap bahawa karoling hanya melengkapkan apa yang gereja mahukan, tetapi seharusnya dijalani atas kemahuan sendiri untuk bertanggungjawab dalam mewartakan Khabar Gembira melalui lagu-lagu yang akan dinyanyikan nanti. Beliau turut mencabar mereka untuk membuat umat berasa terharu semasa mendengar nyanyian lagu-lagu karoling. “Bernyanyilah sepenuh hati seperti kamu berdoa, kerana lagu yang kamu nyanyikan itu merupakan satu bentuk doa. Pemilihan lagu juga sangat penting semasa lawatan kerana lirik lagu boleh membuat umat sedar bahawa pengharapan dan kegembiraan itu sentiasa ada, dan bahawa Tuhan Yesus masih setia kepada mereka.”

Sesi rekoleksi diteruskan dengan perkongsian kumpulan tentang mesej yang akan dibawa semasa keluar berkaroling.

Seterusnya, pada 3hb Disember 2022, Upacara Pengutusan Para Ahli Karolers telah disempurnakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil, Pembantu Paderi Paroki, bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan.