SANDAKAN: Kini para migran dan perantau mempunyai saluran dan rujukan secara langsung di peringkat keuskupan kerana Komisi Pelayanan Pastoral bagi Migran dan Perantau Keuskupan Sandakan (KPMK) akhirnya telah menetapkan barisan ahli jawatankuasa pertamanya pada malam Rabu, 14 Disember 2022 melalui satu mesyuarat secara maya menggunakan Aplikasi Zoom.
Sdra. Kletus Muyuk, sebagai Pengerusi KPMK lantikan Rt. Rev. Julius Dusin Gitom selaku Uskup Sandakan telah mempengerusikan mesyuarat tersebut, dibantu oleh Sdri. Shirley Joseph sebagai Setiausaha KPMK yang juga telah dilantik oleh Uskup. Turut hadir ialah Pembimbing Rohani KPMK, Rev. Fr. Phillip Muji dan para perwakilan rasmi dari paroki masing-masing iaitu, seorang dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, seorang dari Paroki Holy Trinity, Tawau, seorang dari Paroki St. Martin, Telupid dan tiga dari Paroki Our Lady of Fatima, Beluran. Misi Paitan belum ada perwakilan buat masa ini dan beberapa perwakilan lagi telah memohon maaf kerana mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Ada juga kejadian di luar jangkaan di mana beberapa perwakilan di saat-saat akhir tidak dapat menyertai kerana talian internet di kawasan mereka sangat lemah. Namun begitu, mesyuarat tetap dijalankan kerana keahlian dalam KPMK adalah berbentuk tetap.
Kira-kira jam 7.30 malam, Sdra. Kletus telah memulakan mesyuarat tersebut dan Fr. Phillip memimpin doa pembukaan.
Semasa sesi ucapan alu-aluan, Sdra. Kletus mengalu-alukan kedatangan semua yang hadir dan penyertaan dalam tim ini. Beliau menyatakan betapa pentingnya pelayanan ini kerana ramai migran dan perantau daripada pelbagai agama dan bangsa berada di kawasan Keuskupan Sandakan. Mereka memerlukan perhatian dan pelayanan pastoral khusus dari pihak gereja. “Bapa Suci menyeru kita. Kita dipanggil untuk melayani sesama. Maka, dengan memberi respon kepada panggilan tersebut, marilah kita melaksanakan tugas dalam pelayanan ini walaupun agak mencabar dan tidak mudah. Bersatu hatilah dan punyai semangat pelayanan yang sentiasa membara,” katanya. Beliau turut mengongsikan pengalaman beliau selama bertahun-tahun melayani para migran dan perantau, yang mana beliau menyedari bahawa agak sedikit bilangan umat Katolik yang menyahut panggilan untuk menerajui bidang pelayanan ini. Beliau amat berharap agar semua ahli komisi giat bekerjasama dan berusaha demi memantapkan lagi pelayanan ini selari dengan ajaran sosial gereja Katolik, di samping perlahan-lahan menambah bilangan ahli dalam tim pelayanan masing-masing.
Kemudian, Fr. Phillip pula menekankan lagi intipati ucapan Tuan Pengerusi tersebut iaitu saling bekerjasama dan semangat berpasukan. “Saya dapat melihat dengan jelas semasa Pandemik Covid-19, bencana alam dan sebagainya, kamu telah menunjukkan hal tersebut. Kita ada pergi turun padang untuk memberi pelbagai bentuk bantuan yang mampu pihak gereja beri dan salurkan kepada yang paling memerlukan. Walaupun pelayanan migran telah diasingkan daripada Caritas, kita masih boleh memohon dan menerima dana daripada mereka pada bila-bila masa diperlukan melalui permohonan dari paroki kita masing-masing. Inilah tugas kita. Melihat keperluan dan membantu para migran dan perantau. Kita akan menjalankan progam-program dan bermesyuarat untuk berkongsi input, membincangkan pandangan dan cadangan untuk mencari jalan penyelesaian akan isu-isu berkaitan,” kata Fr. Phillip.
Selepas itu, sesi memperkenalkan diri secara ringkas bagi semua ahli yang hadir telah dijalankan. Kebanyakan perwakilan yang hadir mengatakan bahawa mereka masih baru dalam pelayanan ini dan perlu lebih banyak belajar serta bimbingan.
Selesai sesi tersebut, satu sesi penerangan ringkas tentang sejarah penubuhan KPMK di Keuskupan Sandakan telah disampaikan oleh Sdra. Kletus. Penerangan beliau bermula dengan pengenalan mengenai pembangunan insan yang integral sejak tahun 2010, di mana isu-isu tentang migran dan perantau berada di bawah pelayanan ini. Pada 1 Mac 2011, Bapa Uskup secara rasminya telah menyatakan hasrat beliau dalam satu surat kepada Sr. Maria Dipal, RGS untuk membentuk sebuah komisi pembangunan insan di Keuskupan Sandakan di bawah tanggungjawabnya. Sr. Maria bersama beberapa ahli tim pembentukan mengambil masa hampir tiga tahun dengan giatnya berusaha memperkenalkan pelayanan ini dan membentuk komiti di semua paroki, sehinggalah terbentuk secara rasmi barisan AJK pertama Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan (KPIK) pada 18 Januari 2014. Pada ketika itu, harapan dan visi KPIK ialah, melalui Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP), setiap paroki akan dapat menyediakan struktur dan platform bagi gereja lokal untuk melihat lebih jauh ke dalam pelayanan pastoral bagi para migran dan perantau.
Pada tahun 2020, Caritas Malaysia telah ditubuhkan dan Keuskupan Sandakan pun mengambil keputusan menggantikan KPIK dengan Caritas Diosis Sandakan pada tahun yang sama.
Setelah itu pula, Bapa Uskup membuat keputusan untuk memisahkan pelayanan migran daripada Caritas selepas perbincangan bersama di mesyuarat Tim Penggerak Pelayanan Migran Sabah pada 18-19 April 2022. “Bapa Uskup telah memutuskan bahawa sudah tiba masanya dan amat perlunya sebuah komisi khusus untuk pelayanan pastoral terhadap migran dan perantau diwujudkan di Keuskupan Sandakan. Maka, pemisahan ini telah diumumkan secara rasmi oleh Fr. Phillip semasa Mesyuarat Caritas Diosis Sandakan pada 21 April 2022. Saya telah dilantik sebagai Pengerusi, Sdri. Shirley sebagai Setiausaha dan Fr. Phillip pula sebagai Pembimbing Rohani bagi KPMK. Selepas itu, Bapa Uskup telah mengeluarkan satu surat untuk memohon agar semua paroki menyenaraikan tiga nama perwakilan paroki yang terdiri daripada Pengerusi Komiti Pastoral Indonesia Paroki, Pengerusi Komiti Pastoral Filipino Paroki dan Pemegang Portfolio Pelayanan Migran dan Perantau di Majlis Pastoral Paroki untuk melayani dalam komisi baharu ini. Namun, sesebuah komisi hanya akan dapat menjalankan fungsi dan peranannya dengan baik dan lancar sekiranya komisi tersebut dibentuk dengan barisan ahli jawatankuasa yang lengkap, teratur, serta komited. Oleh yang demikian, inilah tujuan pertemuan dan mesyuarat kita pada malam ini,” kata Sdra. Kletus.
Kemudian, Sdri. Shirley pula meneruskan penerangan ringkas mengenai ‘Draf Buku Panduan KPMK’. Draf tersebut telah terlebih dahulu dikongsikan kepada semua perwakilan pada hari sebelumnya. Sdri. Shirley mencadangkan agar satu sesi belajar bersama berkenaan buku panduan itu diadakan apabila ada mesyuarat secara bersemuka di masa akan datang. Draf tersebut akan diteliti lagi oleh Bapa Uskup dan para paderi semasa mesyuarat mereka dalam bulan Januari 2023. Selepas itu, barulah draf tersebut diperhalusi lagi oleh KPMK sebelum ditandatangani oleh Bapa Uskup Julius sebagai kelulusan.
Bagi tujuan sesi pemilihan pula, Sdra. Kletus telah memberi penegasan tentang tanggungjawab, tugas serta peranan yang harus dipikul. Beliau juga menerangkan tentang kriteria yang harus dimiliki. Namun, dengan mengambil kira bilangan ahli yang hadir adalah sedikit, maka sesi pemilihan bagi jawatan Timbalan Pengerusi dan Pembantu Setiausaha tidak dapat dijalankan pada malam itu. Oleh yang demikian, persetujuan bersama telah dicapai bahawa perkara ini akan dibawa ke mesyuarat seterusnya dan barisan ahli jawatankuasa setakat ini adalah seperti berikut:
AJK KOMISI PELAYANAN PASTORAL BAGI MIGRAN DAN PERANTAU KEUSKUPAN SANDAKAN (KPMK) SESI 14/12/2022 – 13/12/2025
PEMBIMBING ROHANI:
Rev. Fr. Phillip A. Muji
(sehingga 31 Disember 2022)
Rev. Fr. Simon J. Kontou
(Pelantikan efektif 1 Januari 2023)
PENGERUSI:
Sdra. Kletus Muyuk
(Dilantik oleh Uskup Sandakan)
SETIAUSAHA:
Sdri. Shirley Joseph
(Dilantik oleh Uskup Sandakan)
AHLI-AHLI KOMITI:
(seperti yang telah disenaraikan oleh para paderi paroki)
Sdra. Franco Amigo, Jr.
Sdra. Vinsen Doren
(Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Sdra. Clarence Chin
Sdra. Hermanus Kelen
Sdri. Belen Nokia
(Paroki Holy Trinity, Tawau)
Sdra. Petrus Dalu
Sdra. Teodulfo Rosalia, Jr.
(Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Sdra. Felix Juni
Sdra. Martinus Hera
Sdra. Eufronio Aguinaldo
(Paroki St. Martin, Telupid)
Sdra. Sarius Barujuki
Sdra. William Gabriel
Sdri. Cristina Heresilles
(Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Mesyuarat ini juga telah membincangkan Takwim KPMK Tahun 2023 serta semua perwakilan diingatkan mendaftar segera untuk Konferensi Amos-5 yang akan diadakan pada 2-4 Februari 2023 di Keuskupan Keningau.
Sebelum mesyuarat ditangguhkan, Fr. Phillip sekali lagi diberi ruang untuk menyampaikan ucapan dan nasihat beliau. Beliau telah mengambil kesempatan tersebut untuk mengumumkan perpindahannya kembali ke keuskupan asalnya iaitu Keningau, efektif 1 Februari 2023 serta mengumumkan juga pengganti beliau sebagai Pembimbing Rohani KPMK baharu, iaitu Fr. Simon Kontou, efektif 1 Januari 2023. Beliau menyatakan adalah perkara biasa dalam pelayanan paderi tentang perpindahan. Fr. Phillip mempunyai perasaan sedih atas perpindahan tersebut kerana sudah melayani di Keuskupan Sandakan lebih daripada 10 tahun. Tetapi beliau juga berasa gembira kerana telah berjalan bersama serta berterima kasih kepada para ahli tim sepelayanan selama ini iaitu dalam pelayanan pembangunan insan, Caritas dan migran.
Sebagai kata-kata penutup, Sdra. Kletus pula mengingatkan semua agar sentiasa memberi kerjasama tidak berbelah bahagi kepada Pembimbing Rohani baharu nanti dan mengucapkan yang terbaik kepada Fr. Phillip dalam pelayanan beliau yang seterusnya, walau di mana berada.
KPMK bercadang untuk menjalankan mesyuarat seterusnya selepas Konferensi Amos-5, secara bersemuka bersama dengan Fr. Simon, sekaligus menjalani Upacara Pengutusan. Harapan tim ialah agar kesemua perwakilan paroki dapat menghadirkan diri pada mesyuarat-mesyuarat akan datang supaya mudah membuat keputusan-keputusan mengenai isu-isu yang ditimbul-bincangkan.
Selepas itu, Fr. Phillip telah memimpin doa penutup diikuti sesi bergambar bersama. Sesi pertemuan pada malam itu telah berakhir kira-kira jam 9.30 malam.