Oleh Clly Gulimit
TELUPID – Misa Kudus Kesyukuran sempena perayaan 2 dalam 1 iaitu Ulangtahun Pentahbisan Imamat Rev. Fr. Christopher Ireneus yang ke-6 dan Sambutan Hari Natal 2022 Peringkat Paroki St. Martin, Telupid telah berlangsung di Kapela St. Fidelis, Kg. Kiabau pada 30 Disember 2022 bersamaan hari Jumaat. Misa Kudus pada hari tersebut yang merupakan Pesta Keluarga Kudus Yesus, Maria dan Yusuf diselebrankan sendiri oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus bersama pembantu paderi iaitu Rev. Fr. Stephen Esguerra.
Paderi dalam homilinya berkata kehidupan Keluarga Kudus Yesus, Maria dan Yusuf adalah seperti keluarga biasa yang lain yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang turut berlaku dalam keluarga kita masing-masing. Tiada keluarga yang sempurna adalah suatu realiti dimana perbezaan pendapat dan perselisihan faham pasti berlaku. Namun, dengan menjadikan Kristus sebagai pusat kehidupan dan percaya bahawa keluarga kita disatukan oleh kasih karunia Allah, maka perkara-perkara kecil yang menjadi penghalang dalam kehidupan keluarga dapat dimurnikan oleh kasih Kristus.
Oleh itu, Pesta Keluarga Kudus ini harus dilihat sebagai pedoman menghadapi realiti hidup; menerima apa jua situasi yang berlaku dalam keluarga kita tetapi dalam masa yang sama tetap bersandar terhadap rencana Tuhan. Paderi turut berpesan kepada semua bahawa perayaan ini bukanlah untuk beliau semata-mata tetapi merupakan perayaan bersama yang memberikan kesempatan kepada semua untuk merenung serta menghidupi panggilan masing-masing.
Selepas Misa Kudus, acara diteruskan di dewan kapela dengan pelbagai pengisian yang menghiburkan. Selain acara makan bersama, semua tetamu yang hadir turut disajikan dengan persembahan-persembahan yang menarik daripada wakil keluarga, komuniti dan persembahan khas daripada wakil KKD St. Benedict, Sandakan. Selain itu, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas oleh sekumpulan Santa Claus disusuli dengan pengagihan hadiah kepada tetamu yang hadir terutamanya kanak-kanak. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah utama cabutan nama bertuah dan ditutup dengan doa.