Oleh Tim Multimedia dan Publisiti TBK2
Pada 10 Januari 2023 yang lalu, ahli Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (KBK) telah bertemu secara maya untuk membincangkan sambutan Temasya Belia Keuskupan (TBK) Sandakan siri yang kedua. Program TBK siri pertama telah diadakan pada 12 – 16 Ogos 2019 yang lalu dengan penyertaan mencecah 450 peserta daripada seluruh Keuskupan Sandakan.
Pertemuan yang diadakan secara maya ini telah membincangkan keperluan untuk mengadakan dan menganjurkan aktiviti serta progam di peringkat Keuskupan Sandakan, setelah hampir 2 tahun tiada sebarang aktiviti dapat dijalankan disebabkan pandemik COVID-19. Ketika dunia dalam fasa pandemik, pelbagai program telah diadakan secara maya, walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan belia yang merindukan suasana pengisian secara fizikal seperti berkumpul bersama. Dengan realiti ini, maka KBK mengambil inisiatif untuk bersama-sama menganjurkan Temasya Belia Keuskupan siri kedua, dan bersetuju untuk dilaksanakan pada 28 Ogos sehingga 1 September 2023 bertempat di St. Mary Katedral, Sandakan. Temasya yang akan diketuai oleh saudari Airene A. Gumanas pada kali ini mengambil tema daripada injil Lukas 1:39, “Maria Bangkit dan Bergegas Pergi”.
Pertemuan secara maya sekali lagi dijalankan pada 25 Januari 2023, dan ini merupakan pertemuan pertama selepas pembentukkan ahli jawatankuasa utama (Main Organizing Team – MOT. Pertemuan ini mengajak para MOT untuk melihat dan merenung rasional penganjuran TBK 2 berdasarkan realiti yang sedang dialami oleh para belia Katolik di mana sahaja, khususnya belia di Diosis Sandakan.
Realiti yang dikongsikan dan diketengahkan oleh para MOT TBK 2 merupakan isu-isu yang berlaku ditempat masing-masing. MOT bersetuju bahawa isu-isu ini perlu ditangani agar para belia tidak terus hanyut. Perkongsian realiti semasa ini juga secara langsung membuka minda para MOT bahawa ramai dalam kalangan rakan belia mempunyai keinginan untuk melayani tetapi tidak tahu cara dan dengan siapa untuk memulakan pelayanan. Antara lain, ada dalam kalangan mereka yang semakin selesa untuk tidak melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan. Keadaan ini mengundang pelbagai reaksi daripada semua MOT dan keperluan mendesak ini perlu diisi dengan program atau aktiviti yang sesuai dengan keadaan dan situasi semasa masa kini. Semoga para penganjur utama TBK 2 diberikan kebijaksanaan untuk melihat, menilai dan merancang program dan pengisian yang bersesuaian dengan keperluan semasa.