SOCCOM Komiti Katekatikal St. Martin, Telupid.

TELUPID –  Pada 28 Januari 2023 bersamaan hari Sabtu, Komiti Katekatikal Paroki St. Martin, Telupid telah menganjurkan rekoleksi singkat sempena Minggu Katekatikal yang bertemakan “Memperbaharui Gereja Dengan Iman Dalam Keluarga“. Seramai 139 orang peserta telah mengikuti rekoleksi ini. Para peserta yang hadir merupakan pembimbing lama dan baharu untuk kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD), pra-penguatan dan penguatan dari seluruh paroki. Selain pembimbing kelas katekatikal, terdapat juga ibu bapa yang mengambil peluang ini untuk menyertai rekoleksi ini.

Salah satu sesi semasa rekoleksi singkat disampaikan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus.

Cuaca yang tidak menentu tidak menjadi halangan kepada para peserta untuk menghadiri rekoleksi ini. Rekoleksi dimulakan dengan doa singkat yang dipimpin oleh salah seorang peserta dan diteruskan dengan lagu-lagu pujian serta perkongsian iman daripada salah seorang AJK Induk Katekatikal. Selepas itu, Rev. Fr. Christopher Ireneus, paderi paroki meneruskan sesi dengan memberikan perkongsian yang sangat menarik.

Para peserta bergambar bersama paderi paroki selepas Misa Kudus

Perkongsian yang disampaikan oleh paderi telah menyegarkan semula pemahaman setiap peserta mengenai pelayanan seorang katekis pembimbing. Paderi mengatakan bahawa pembimbing mempunyai peranan yang besar untuk memperkenalkan Yesus kepada setiap calon dan menanamkan iman Katolik dalam diri mereka. Seorang pembimbing harus menjadi teladan yang baik kepada pelajar dan juga umat setempat. Selain itu, pembimbing juga harus berjalan bersama dengan pelajar yang dibimbing. Meskipun pelajar yang dibimbing tersebut telah menerima sakramen, pembimbing harus sentiasa berdoa dan menggalakkan mereka untuk terus ke hadir gereja serta melibatkan diri dalam pelayanan di gereja.

Paderi juga telah mengulas sedikit tentang “Mengapa sedikit yang “TINGGAL” di gereja“. Paderi menegaskan bahawa Ibu bapa mempunyai peranan yang besar sebagai katekis pertama kepada anak-anak mereka yang menjadi asas dalam pelayanan katekesis. Ibu bapa harus merenung semula janji mereka semasa menerima Sakramen Perkahwinan. Pandangan sebahagian ibu bapa bahawa tugas mendidik anak-anak mereka dalam iman adalah tugas pembimbing semata-mata harus diubah. Para pembimbing hanyalah pembantu kepada para ibu bapa untuk membolehkan anak-anak menerima sakramen dalam gereja.

Rekoleksi singkat ini diakhiri dengan berkat pengutusan kepada semua katekis pembimbing dan ibu bapa dalam perayaan Misa Kudus.