SOCCOM
TELUPID – Memasuki suasana pertobatan dan mengamalkan tiga perkara utama yang disarankan oleh pihak gereja iaitu berpuasa dan berpantang, beramal serta berdoa merupakan suatu peluang dan kesempatan untuk kita lebih mendalami kehidupan kita terutama sekali dalam musim prapaskah ini. Perkara ini merupakan inti yang disampaikan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus semasa Misa Kudus Rabu Abu pada 22 Februari 2023 yang lalu. Kesempatan ini merupakan suatu rahmat bagi semua. Meskipun tiga perkara ini boleh dilakukan sepanjang tahun, namun dalam musim prapaskah adalah kesempatan yang membawa kita ke dalam ruang dan peluang untuk lebih mendalami dan melihat perjalanan hidup rohani kita.
“Ramai orang mengatakan musim puasa itu hanya tertumpu kepada berpantang dan mengurangkan makan dan minum untuk tujuan-tujuan lain. Tetapi kita perlu mengerti dan sedar bahawa melalui pantang dan puasa kita itu, kita lebih mendekatkan diri kita kepada Tuhan dan orang lain. Hal ini merupakan suatu perjalanan iman yang lebih mendalami perjalanan hidup rohani kita serta merenung kembali apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan terutama sekali hubungan dengan Tuhan melalui doa.”
“Kita sedar dan tahu tentang relasi kita dengan Tuhan, bagaimana kita sering mahu berkomunikasi dengan Tuhan. Adakah ini berlaku? Maka dalam tempoh prapaskah ini, mengajak kita untuk menilai kembali perkara-perkara itu.” Demikian merupakan kata-kata yang disampaikan oleh paderi semasa homilinya.
Satu perkataan yang dikongsikan oleh paderi kepada umat iaitu ‘A.C.T.S’ yang membawa erti tindakan bermaksud apa yang boleh kita lakukan sepanjang tempoh musim puasa ini. (i) Adore – memuji Tuhan. (ii) Contrite/Confession – perkara yang membawa kita kepada penilaian dan pertobatan peribadi. (iii) Thanksgiving – bersyukur dengan apa yang kita perolehi atau miliki. (iv) Supplication – terus menerus membuat permohonan kepada Tuhan.