Oleh : Komiti Soccom Santo Martin Telupid

Seawal jam 6.30 pagi pada 19 Februari 2023, Tim Pendaftaran dan Urusetia telah bersedia menerima kedatangan para peserta sama ada di sekitar paroki ataupun dari luar stasi untuk bersama-sama dalam Perhimpunan Pastoral Paroki (PPP) Santo Martin Telupid Ke Arah Konvensyen Pastoral Malaysia 2026: Sukacita Injil. Objektif utama PPP ialah sebagai satu ruang bagi umat di paroki Santo Martin Telupid berdiskusi dan merenung fokus utama dalam Malaysian Pastoral Convention (MPC) 2026 bagi tahun ini. Selain itu, hasil renungan akan di bawa dalam perbincangan para ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP) agar dapat merancang program paroki sesuai dan selaras dengan Pelan Pastoral Keuskupan.

Seramai 118 orang peserta dari 5 buah zon yang terdapat di Paroki Santo Martin, Telupid terdiri daripada Paderi Paroki, Rev. Fr Christopher Ireneus, ahli MPP, barisan pengerusi komiti, pengerusi zon dan KUK, setiausaha Zon dan KUK, para katekis, pemimpin Ibadat Sabda, pengerusi KKD dan umat awam yang turut serta dalam PPP ini. Sesi dimulakan dengan taklimat tentang Malaysian Pastoral Convention (MPC) 2026 daripada Pengerusi MPP, Albert Andau Paulus Andau seterusnya Pengenalan Dokumen Sukacita Injil oleh paderi paroki, Rev. Fr Christopher Ireneus. Sesi perkongsian yang seterusnya diberikan oleh para ahli MPP dan disusuli dengan perbincangan di dalam kumpulan. Terdapat 22 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 5-6 ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur dan juga pelayanan.

Selesai perkongsian bab kelima, para peserta berehat untuk makan tengahari dan meneruskan perbincangan serta berkongsi dalam kumpulan tentang soalan-soalan perkongsian yang diberikan. Pembentangan dimulakan pada jam 2 petang dengan 4 kumpulan mengongsikan hasil perkongsian mereka bagi setiap bab yang diundi secara rawak dan 2 kumpulan terakhir diberikan kebebasan untuk memilih bab yang ingin dikongsikan kepada semua. Secara tidak langsung, sesi perkongsian hasil dari setiap kumpulan memberikan peranan kepada setiap ahli dan juga mencungkil kepimpinan yang terpendam. Debaran untuk mengongsikan hasil juga merupakan salah satu maklum balas yang diterima setelah sekian lama tidak ada pengisian seperti ini.

Selesai sesi perkongsian dari setiap kumpulan, sesi diteruskan dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh paderi paroki bersama dengan ahli MPP. Lazimnya, sesi perkongsian akan berlalu dengan pantas kerana para peserta akan memberikan maklum balas tidak mempunyai pertanyaan atau perkongsian untuk diberikan. Situasi pada sesi Perhimpunan Pastoral Paroki 2023 ini sedikit berbeza kerana sesi soal jawab mendapat perhatian dan penyertaan penuh. Pertanyaan, perkongsian mahupun cadangan dalam kalangan peserta sungguh menarik untuk didengar, dikupas dan juga direnung selaras dengan objektif pelaksanaan PPP ini.

Paderi paroki, Fr. Christopher dalam rumusannya, menekankan bahawa, sesi yang telah dilalui sepanjang hari ini merupakan langkah pertama dan proses ini merupakan sebuah proses yang berterusan. Sepanjang tempoh ini, akan banyak situasi yang tidak akan diduga berlaku. Keyakinan akan berkat dan bimbingan daripada Roh Kudus merupakan salah satu kunci utama untuk terus dan berusaha memahami panggilan pelayanan. Ketekunan, kesabaran, ketidakputusasaan dalam menghadapi dugaan dan cabaran akan membantu mematangkan pemahaman dalam  iman  sesuai dengan keperluan peribadi masing-masing.

Sesi PPP 2023 diakhiri dengan doa, disusuli dengan sesi bergambar dan bergotong-royong membersihkan dan menyusun kerusi di dalam gereja.