Lahad Datu: Gereja St. Dominik, Lahad Datu telah menjadi destinasi pertama bagi program ‘turun padang’ pada 17-18hb Mac 2023. Program ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat missionari kepada pemimpin-pemimpin Gereja agar dapat lebih memahami perjalanan menuju Konvensyen Pastoral Malaysia (Malaysia Pastoral Convention) 2026. Dalam proses menuju MPC 2026 ini, setiap paroki akan memberi tumpuan kepada 4 perkara iaitu Gereja (Jun 2022-Jun 2023), Ekologi (Jun 2023-Jun 2024), Keluarga (Jun 2024-Jun 2025) dan Social (Jun 2025- Jun 2026). Tahun ini, fokus utama ialah Gereja.

Dalam program tersebut, pemimpin-pemimpin gereja yang terdiri daripada ahli – ahli MPP, ketua – ketua KKD, dan Komiti Pelayanan serta umat setempat telah hadir. Mereka telah dibahagikan kepada 12 kumpulan dimana setiap satu kumpulan telah diberikan sebatang lilin sebagai simbolik cahaya Kristus dan Roh Kudus.

Fasilitator program ini, puan Anna Teresa telah memulakan aktiviti pertama iaitu ‘Expectation Check’ dimana para pemimpin gereja di bantu untuk mengetahui fokus utama mereka secara peribadi dalam program ini. Beliau memberi pemahaman bahawa sikap ego itu perlu di buang agar misi untuk menjadi gereja sinodal dan bersatu, dapat dicapai.

Program hari kedua telah dimulakan dengan aktiviti “reality check”. Aktiviti ini bertujuan agar pengetahuan dan panggilan sebagai gereja dapat disegarkan kembali. Dalam pengisian aktiviti ini, Rev. Fr. Stanley telah mengongsikan tentang realiti gereja masa kini yang semakin “sakit” dan perlu ada kesedaran serta tindakan. Beliau turut menyentuh tentang panggilan dan bagaimana setiap peribadi menyahut panggilan tersebut adalah berbeza – beza. Apa yang penting adalah mereka diingatkan semula tentang siapakah mereka dan penggilan sebagai Gereja dalam misi penyelamatan dunia.

Dalam aktiviti “Weather Check”, Puan Anna Teresa telah memberi pendedahan serta pemahaman tentang realiti gereja lokal pada masa kini. Puan Anna juga menambah bahawa setiap permasalahan itu dapat diatasi sekiranya semua umat bersatu untuk menjadi gereja yang lebih sinodal. Diharapkan melalui program kesedaran ini semangat missionari mereka dapat dihidupkan semula.

‘Spiritual Conversation’ telah diperkenalkan dalam program ini. Ia merupakan satu kaedah mendengar yang lebih sinodal yang membawa kepada peralihan dari “saya” kepada “kita.” Proses ini membenarkan mereka berkongsi lebih terbuka tanpa di hakimi dan sentiasa mendengar ‘Apakah yang Roh Kudus ingin katakan kepada kita?’

Sewaktu sesi “Spiritual Conversation” dijalankan, rata-rata mereka mengongsikan perasaan kecewa tentang apa yang terjadi pada gereja namun cuba mencari jalan untuk memulihkannya.

Selepas perkongsian Puan Anna, para pemimpin gereja telah dimantapkan lagi dengan aktiviti seterusnya oleh Rev. Fr David Garaman iaitu “I am a Mission on this Earth.” Dalam sesi ini beliau membawa para pemimpin untuk mendalami lagi tentang misi gereja. Beliau mengingatkan tentang peranan dan fungsi umat untuk menjadi sebuah gereja lokal iaitu melalui tindakan. Beliau seterusnya mengongsikan tentang isi kandungan yang ada dalam Vatikan Konsili ke-2 agar para pemimpin lebih terbuka minda untuk menjalankan misi gereja.

Setelah para pemimpin gereja disedarkan dari “tidur” dan semangat kembali segar, Puan Anna telah menerangkan tentang perjalanan menuju MPC 2026 dan cara untuk melaksanakannya. Pada awalnya, kebanyakan mereka kurang memahami perjalanan program ini namun dengan bantuan daripada Tim Fokus Diosis sebagai fasilitator program ini, setiap persoalan mereka akhirnya terjawab. Program ini di akhiri dengan penuh sukacita dan semangat untuk memulakan misi mereka untuk menjadi gereja yang lebih sinodal dan ‘baharu.’