oleh Clly Gulimit

TELUPID – Pada 1 April 2023 yang lalu, Komiti Katekis dengan kerjasama Komiti Liturgi paroki St. Martin, Telupid telah menganjurkan kursus singkat untuk para Pemimpin Ibadat Sabda dan Pelayan Komuni Tak Lazim bagi fasa yang kedua. Kursus ini juga dibuka kepada umat awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelayanan sebagai pemimpin ibadat sabda dan pelayan komuni. Seramai 94 orang telah mendaftarkan diri untuk menyertai kursus singkat ini.

Fr. Christopher Ireneus menyampaikan sesi semasa kursus

Sesi sepanjang kursus singkat ini disampaikan oleh paderi paroki sendiri iaitu Rev. Fr. Christopher Ireneus. Pada awal sesi, paderi sekali lagi memberikan penerangan mengenai tugas dan peranan pelayan komuni tak lazim kerana masih ramai yang keliru dengan pelayanan sebagai pelayan komuni tak lazim. Sebagai seorang pelayan komuni tak lazim, tanggungjawab yang perlu digalas bukan setakat membantu paderi memberikan komuni semasa misa kudus sahaja tetapi juga perlu bersedia memberikan komuni kudus kepada orang sakit selain memimpin Ibadat Sabda jika dilantik dan pelbagai upacara mengikut keperluan pastoral di Paroki St. Martin, Telupid. Dalam sesi itu juga, paderi telah menyentuh mengenai syarat-syarat dan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pelayan komuni tak lazim serta berkongsi tentang tatacara yang perlu dipatuhi semasa memberikan komuni kudus.

Para peserta bergambar bersama paderi paroki setelah selesai kursus

Bagi sesi yang kedua pula, fokus adalah tentang tatacara dalam menjalankan Ibadat Tanpa Paderi. Penjelasan yang diberikan dalam bentuk lisan dan praktikal memudahkan para pemimpin ibadat terutamanya yang masih baharu untuk lebih memahami perjalanan Ibadat Sabda. Kursus yang dijalankan selama setengah hari ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan sesi bergambar bersama semua peserta kursus. Sebelum mengakhiri sesi, paderi mengajak semua yang hadir untuk sama- sama merenung realiti yang berlaku di paroki iaitu hanya ada seorang sahaja paderi. Justeru, terdapat keperluan untuk mewujudkan kumpulan pemimpin ibadat dan pelayan komuni yang mantap, berpengetahuan serta sentiasa bersedia untuk membantu paderi dalam pelayanan pastoral. Oleh demikian, kursus fasa yang ketiga akan diadakan setelah nama-nama yang dihantar kepada pihak diosis sebagai pemimpin ibadat dan pelayan komuni tak lazim diberikan pelantikan.