DISEDIAKAN OLEH: LEAZRINNA A. ADARIS

 

SANDAKAN: Seminar Hidup Baru Dalam Roh telah diadakan di Dewan Katedral St. Mary pada 12 hingga 14 Mei 2023. Tim Pelayanan Karismatik Katolik Bahasa Malaysia Paroki Sandakan selaku penganjur dengan kerjasama CHARIS Keuskupan Sandakan telah menampilkan kelainan pada seminar tahun ini di mana tim penganjur telah melaksanakan program 2 dalam 1 iaitu, Kemuncak Kunjungan Muhibbah CHARIS Keuskupan dan Seminar Hidup Baru dalam Roh.

Program didahului dengan pendaftaran peserta pada jam 2.00 petang, seterusnya ziarah ke Bukit Maria yang disertai oleh para peserta seramai 114 orang termasuk 3 orang sukarelawan daripada Tim Sukarelawan Bukit Maria sebagai pengiring. Selepas itu, perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Simon Kontou dan dibantu oleh Penasihat Rohani CHARIS Keuskupan Sandakan, Rev. Fr. Arthur John.

Semua peserta seminar, perwakilan-perwakilan, religius sister, pengerusi MPP dan umat awam beralih ke dewan selepas selesai Misa Kudus untuk acara perasmian kemuncak lawatan Muhibbah tersebut, diikuti makan malam bersama.

Acara dimulakan dengan perarakan masuk oleh Uskup Sandakan, Datuk Julius Dusin Gitom, Fr. Simon, Fr. Arthur, dan Pengerusi CHARIS Keuskupan Sandakan, Sdra. Adaris Moses Sintan, Religius Sister dan Perwakilan CHARIS Keuskupan sambil diiringi oleh penari rebana daripada belia-belia Kelompok Doa Bahasa Malaysia dengan berlatar belakang lagu pujian yang dipimpin oleh pemuzik serta ahli koir daripada ahli CHARIS gabungan 3 bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Bahasa Cina.

Bapa Uskup dalam ucapan alu-aluannya mengingatkan bahawa fungsi utama CHARIS adalah untuk membantu gereja, menyatukan semua umat tidak mengira bangsa dan budaya kepada kemuncak perayaan iaitu perayaan Ekaristi.

Fr. Arthur pula membawa para perwakilan mengingat semula 3 tanggungjawab CHARIS yang diminta oleh Sri Paus Fransiskus iaitu, mengongsikan baptisan dalam Roh Kudus kepada semua orang dalam Gereja, melayani kesatuan Tubuh Kristus yang adalah Gereja, dan melayani orang miskin dan yang memerlukan, tidak kira dari aspek material, jasmani mahupun rohani.

Majlis diserikan dengan mengalungkan linangkit bercorakan kebudayaan Kadazan, Dusun, Murut kepada para jemputan iaitu Bapa Uskup Datuk Julius, para paderi, perwakilan Charis keuskupan, pengerusi MPP iaitu saudara Freddy Graman serta beberapa ahli kelompok doa yang paling lama, iaitu saudara Matheus Sodomon, saudari Samina Gakin, saudari Silvia Guasa dan saudari Bibiana Sambag yang tidak dapat lagi melayani kerana faktor usia. Acara ini diiringi dengan audio paluan gong, untuk mengingati perayaan kaamatan yang lazimnya disambut oleh umat yang berbilang bangsa pada setiap bulan Mei.

Terdahulu dalam perayaan Ekaristi, melalui ceramah bertajuk Ekaristi, Fr. Simon mengingatkan peserta seminar tentang 3 perkara yang harus dihadirkan semasa perayaan Ekaristi iaitu, Kehadiran Kristus yang sungguh-sungguh mengubah Roti menjadi Tubuh dan DarahNya, Yesus sebagai Korban Kudus yang dipersembahkan dan Kesyukuran iaitu Yesus wafat, bangkit dan menyertai manusia sampai akhir zaman.

Seminar Hidup Baru dalam Roh tahun ini menampilkan 9 tema iaitu Ekaristi, “Ketuhanan Yesus” yang disampaikan oleh Fr. Simon, “Penyelamatan dan Karunia-Karunia Roh Kudus” oleh Fr. Arthur, “Cinta Kasih Allah” oleh Sdra. Fredolin Karim (Pengerusi Karismatik Paroki Lahad Datu), “Hidup Baru Dalam Roh” oleh saudari Leazrinna A. Adaris, “Bonda Maria dan Gereja” oleh Saudari Martina Duhong (Pengerusi Kelompok Doa Bahasa Malaysia Katedral St. Mary, Sandakan) dan “Luka-Luka Batin” serta “Curahan Roh Kudus” oleh Saudara Adaris M. Sintan.

Penganjuran seminar tahun ini sungguh istimewa kerana di penghujung seminar para wanita yang bergelar ibu diraikan beramai-ramai sempena Hari Ibu dengan acara pemotongan kek.

Adalah menjadi harapan gereja supaya seminar ini dapat membantu para peserta untuk merenung dan merasai kehidupan bersama Kristus. Meskipun realiti kehidupan seorang kristiani yang penuh dengan cabaran, dengan harapan dan dorongan serta kesedaran akan pimpinan roh kudus dalam hidup peserta, mereka dikuatkan melalui pengalaman iman yang mereka perolehi dalam Seminar Hidup Baru dalam Roh.