Oleh: Delsie Ivy Didacius (SOCCOM)
TELUPID – Pada 26 April 2023, Kapela St. Fidelis Kiabau telah merayakan Hari Ulang Tahun Ke-62 dan Perayaan Hari Paskah. Perayaan telah diselebrankan oleh Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom dan turut hadir ialah paderi paroki Rev. Fr. Christopher Ireneus, paderi paroki OLOF Beluran Rev. Fr. Stephen Esguerra dan Rev. Fr. Aloysius Fidelis serta Sr. Clarice George dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Bagi penduduk Kg. Kiabau, sejarah perkembangan agama Katolik di kampung ini sememangnya menarik jika diamati sepenuhnya. Dari bermulanya pelayanan oleh seorang Pegawai Pertanian, kini St. Fidelis telah menjangkau 62 tahun lamanya. Umat semakin bertumbuh matang dan menjadi lebih bertanggungjawab di dalam pelayanan gereja. Umat sentiasa menyedari akan panggilan ini untuk sentiasa bersaksi dan aktif dalam penyebaran khabar gembira.
Perayaan dimulakan dengan Misa Kudus pada pukul 10 pagi. Dalam homili Bapa Uskup, beliau menjelaskan kisah hidup Santo Fidelis dan peranannya dalam gereja. Seperti nama Santo Fidelis yang bererti ‘setia’, umat diajak juga untuk setia melayani.
Setelah Misa Kudus selesai, para religius dan umat beredar ke Dewan Bishop Datuk Julius Dusin Gitom untuk makan tengahari sambil dihiburkan dengan beberapa persembahan dan cabutan tiket bertuah. Antara persembahan yang telah disediakan ialah persembahan koir daripada Keluarga Besar Indonesia (KBI) dan Kerasulan Wanita Katolik (KWK), persembahan tarian daripada Belia St. Fidelis Kiabau dan Pertemuan Minggu Gembira (PMG), serta persembahan khas daripada keluarga Rev. Fr. Aloysius Fidelis iaitu Sinakagon Abba-Nina.
Kapela St. Fidelis Kiabau semakin berkembang dalam pembangunan rohani dan fizikalnya. Keluarga Katolik Dasar (KKD) menjadi tempat untuk mengongsikan nilai-nilai iman Katolik kepada umat setempat dan membantu anggota keluarga menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain. Selain itu, komuniti migran juga mendapat tempat di dalam komuniti gereja. Infrastruktur kapela juga semakin membangun.
Perayaan menyambut ulang tahun ke-62 amat bermakna untuk direnungi sebagai salah satu tanda jelas akan penyertaan Tuhan kepada umatNya. Visi dan Misi Keuskupan Sandakan juga mengajak umatNya untuk berpusat pada Kristus dan melayani sesama dengan cinta kasih. Kasih setia Tuhan sejak awal mula terhadap umat St. Fidelis Kiabau telah disaksikan dan wajarlah bagi umatNya untuk bersyukur dan bergembira dalam menyambut Perayaan Hari Ulang Tahun Ke-62.