oleh: Katekatikal Paroki Telupid

Telupid – Pada 6 Mei 2023 bersamaan hari Sabtu, Program Jelajah Perhimpunan Katekatikal Sabah Ke-2 (PKS-2) Peringkat Paroki St. Martin, Telupid yang bertemakan “Katekis: Berjalan Bersama Dalam Iman, Harapan Dan Kasih” telah dilaksanakan di bawah pengendalian Sr. Martina James serta ditemani oleh Cikgu Nora William. Seramai 95 peserta yang terdiri daripada katekis pembimbing lama dan baru telah menyertai program ini. Sasaran utama program ini sebenarnya adalah dalam kalangan katekis pembimbing lama dan baru serta umat awam yang berminat. Program ini dilaksanakan sebagai persediaan awal untuk mengikuti Program Perhimpunan Katekatikal Sabah Kedua (PKS-2) yang akan diadakan di Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu pada 15 – 17 September 2023.

Peserta berkumpul mengikut kumpulan masing-masing untuk berkongsi pandangan tentang persoalan yang diutarakan oleh Sr, Martina James.

Berikut adalah objektif utama Program Perhimpunan Katekatikal Sabah Kedua (PKS-2) Peringkat Paroki St. Martin, Telupid:

  1. Berhimpun bersama sebagai sebuah keluarga katekis pembimbing untuk bersyukur dalam semangat Injil dan penghayatan iman yang benar.
  2. Membaharui dan menghargai panggilan serta peranan katekis.
  3. Mengobarkan semangat berjalan bersama dalam pelayanan untuk bersaksi bagi kerajaan Allah di Sabah.

Sr. Martina James dan Cikgu Nora William memantau perjalanan bengkel dan sesi perbincangan setiap kumpulan.

Program Jelajah dimulai dengan sesi suai kenal para peserta dengan Sr. Martina James dan Cikgu Nora William. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri daripada zon yang berbeza. Bengkel Sesi 1 mengikut kumpulan membincangkan cabaran dan kebimbangan yang dihadapi semasa pendemik, cara – cara meningkatkan cinta kasih dalam pelayanan dan sebab – sebab masih bertahan dalam pelayanan sehingga kini. Majoriti kumpulan sependapat bahawa cabaran utama pelayanan semasa pandemik adalah kesukaran untuk mengikuti Misa Kudus secara online kerana sering kali mengalami masalah gangguan atas talian. Antara cabaran dan kebimbangan lain termasuk masalah kekurangan peranti, kebimbangan dijangkiti virus Covid-19, tidak dapat melawat keluarga yang sakit, tidak dapat memberi penghormatan terhadap ahli keluarga yang meninggal disebabkan virus Covid-19 dan sesi pembelajaran IKD, PMG, Pra-penguatan serta sakramen penguatan tidak dapat dilaksanakan.

Sesi pembentangan hasil perbincangan dari setiap wakil kumpulan.

Majoriti setiap kumpulan juga berpendapat bahawa sebab utama mereka masih bertahan dalam pelayanan sehingga kini kerana mereka sedar akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka, sentiasa berdoa dan percaya bahawa Tuhan sentiasa membantu dan menyertai, menghadapi semua cabaran dengan tabah tanpa mengeluh, sentiasa bersikap terbuka dan menerima setiap teguran disamping kerjasama dan sokongan semua pihak. Mengikuti rekoleksi, bertukar-tukar pandangan dengan paroki lain dan menganjurkan pelbagai program berbentuk kerohanian merupakan langkah-langkah untuk meningkatkan lagi cinta kasih dalam pelayanan.

Bengkel kumpulan sesi 2 meminta setiap kumpulan mengulas 2 tayangan video berkaitan perkembangan gereja katolik di Sabah. Setiap kumpulan memberikan reaksi yang hampir sama tentang apa yang mereka rasa setelah melihat tayangan video tersebut. Mereka sangat menghargai pengorbanan dan keberanian para misionari yang sanggup berkorban nyawa demi mengembangkan iman katolik di Sabah walaupun pada masa itu kemudahan asas amat terhad disamping masalah budaya dan bahasa yang berbeza serta penolakan oleh golongan tertentu termasuk kerajaan pada masa itu.

Setiap ahli kumpulan juga berharap agar gereja katolik di Sabah khususnya di Paroki St Martin, Telupid terus berkembang pesat. Mereka juga berharap lebih ramai belia yang terpanggil untuk menjadi paderi agar setiap kapela sekurang – kurangnya mempunyai seorang paderi. Terdapat juga kumpulan yang mencadangkan agar seminar kepaderian sebaik diusahakan dibuat di Sabah agar memudahkan para belia untuk mengikuti seminar untuk menjadi paderi.

Sr, Martina James sedang memberi ulasan hasil pembentangan setiap kumpulan.

Program Jelajah PKS-2 Peringkat Paroki St Martin, Telupid diakhiri dengan ulasan hasil perbincangan setiap kumpulan oleh Sr. Martina James dan meminta semua peserta terus melayani dengan penuh cinta kasih dan tabah. Beliau juga meminta para peserta mengongsikan maklumat yang diperolehi di kapela masing – masing dan meminta para peserta yang berminat untuk mengikuti Program Perhimpunan Katekatikal Sabah Ke-2 (PKS-2) yang dijadualkan akan diadakan di Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu pada 15 – 17 September 2023 membuat persediaan dan persiapan yang rapi.