Selepas Paroki St. Dominic, Lahad Datu pada 17hb-18hb Mac 2023, program ‘turun padang’ Konvensyen Pastoral Malaysia 2026 telah diteruskan di Our Lady of Fatima, Beluran pada 14 – 15 April 2023 dan Paroki Holy Trinity, Tawau pada 23 – 24 April 2023 yang lalu.
Program ‘turun padang’ ini adalah bertujuan untuk mengongsikan tentang Konvensyen Pastoral Malaysia 2026 termasuklah perkara – perkara yang perlu dilakukan secara sinodal seiring dengan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan menuju pertemuan yang akan berlangsung pada September 2026 di Pusat MAJODI, Keuskupan Melaka – Johor. Program ini telah disampaikan oleh ahli – ahli Tim Fokus Keuskupan Sandakan yang terdiri daripada Rev. Fr. David Garaman, Rev. Fr. Stanley Matakim, Sr. Martina James, FSIC dan Pn. Anna Teresa Peter Amandus.
Di Paroki Beluran, program ini telah dihadiri seramai 31 pemimpin-pemimpin gereja yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Pastoral Paroki, ketua-ketua KKD, Komiti Pelayanan serta umat setempat.
Dalam aktiviti pertama iaitu ‘Expectation Check’, fasilitator, Pn. Anna telah membawa para pemimpin gereja untuk ‘membuka kasut’ mereka dengan membuang ego masing-masing dan berfikiran terbuka untuk mengetahui fokus utama mereka secara peribadi dalam program ini. Beliau juga telah menerangkan tentang simbolik lilin sebagai kehadiran Yesus Kristus yang akan menyertai di sepanjang program dan doa Adsumus Sancte Spiritu yang bermaksud ‘Kita hadir dengan Roh Kudus’
Kemudian, aktiviti “reality check” telah dikongsikan oleh Sr. Martina di mana beliau telah menjelaskan tentang sejarah gereja Katolik dan mengaitkannya dengan peranan setiap peribadi pemimpin yang hadir pada program tersebut dalam pelayanan gereja.
Sejurus itu, aktiviti “Weather Check” pula, Pn. Anna telah memberikan pencerahan tentang kebaikan dan cabaran realiti dunia masa kini. Kemodenan memberikan kebaikan dari segi banyak hal namun, sekiranya tidak berhati – hati, pasti iman akan mudah tergoncang dan terpesong daripada kebenaran.
‘Spiritual Conversation’ telah diperkenalkan dalam program ini sebagai satu kaedah mendengar yang lebih bersifat sinodal di mana semangat kekitaan dapat diterapkan dalam diri setiap pemimpin. Proses ini membenarkan mereka berkongsi secara lebih terbuka tanpa dihakimi dan sentiasa mendengar suara Roh Kudus berbicara kepada mereka secara peribadi. Aktiviti ini diadakan setiap kali selesai aktiviti perkongsian dari Tim Fokus.
Sr. Martina juga telah mengendalikan aktiviti “I am a Mission on this Earth”. Beliau menerangkan tentang peranan dan fungsi umat untuk menjadi sebuah gereja lokal dan perkongsian beberapa isi kandungan dalam Konsili Vatikan II. Seterusnya, Pn. Anna menjelaskan tentang program susulan perjalanan MPC 2026 dan proses pelaksanaan Perhimpunan Pastoral Paroki.
Sedikit berbeza dengan program ‘turun padang’ Paroki Tawau di mana program tersebut bermula dengan Misa Kudus pada Hari Ahad sebagai misa pembukaan program. Kehadiran peserta adalah lebih kurang 100 orang, terdiri daripada kalangan pemimpin gereja dan umat setempat.
Komiti Pembaharuan Karismatik Katolik Paroki Tawau turut membantu dalam program ini dengan mengendalikan sesi pujian dan penyembahan sebagai penyuntik semangat menjalani program.
Ahli Focus Team Keuskupan Sandakan yang mengendalikan program turun padang di Tawau ialah Pn. Anna untuk aktiviti ‘expectation check’ dan ‘weather check’, Fr. Stanley untuk aktiviti ‘reality check’, dan Fr. David pula untuk aktiviti ‘I am a Mission on this Earth’.
Para pemimpin gereja berpartisipasi aktif mendalami proses ini. Semangat yang ditonjolkan dalam “Spiritual Conversation” menampakkan bahawa mereka ingin membawa suatu perubahan dalam proses gereja sinodal. Bukti semangat mereka ditunjukkan melalui perkongsian kumpulan besar.
Program ‘turun padang’ bagi kedua-dua paroki tersebut, diakhiri dengan tarian komuniti diiringi dengan lagu “Hineh Ma Tov” yang membawa maksud “Betapa baik dan menyenangkannya apabila saudara-saudara diam bersama” Mazmur 133.1.
Program ‘Turun Padang’ MPC 2026 yang seterusnya bakal dijalankan di Paitan, Telupid, dan Sandakan dalam bulan Mei dan Jun 2023.