Artikel disediakan oleh,
Soccom Katekatikal
Telupid – Sempena Perayaan Hari Raya dan Tubuh dan Darah Kristus pada 11 Jun 2023 yang lalu, seramai 139 orang calon telah menerima Sakramen Ekaristi yang disempurnakan oleh paderi paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus. Sehari sebelum upacara, pembimbing, ibu bapa dan calon hadir untuk menyertai rekoleksi singkat. Dalam sesi rekoleksi, paderi paroki menekankan tentang peranan ibu bapa yang sangat penting dalam memastikan perkembangan iman anak-anak serta mengajak para calon untuk memahami dengan lebih mendalam tentang sakramen yang bakal diterima. Para ibu bapa dan calon juga mengadakan sesi perkongsian dalam kumpulan untuk membincangkan soalan-soalan berkaitan sakramen Ekaristi. Selesai rekoleksi, para calon membuat persiapan peribadi seterusnya menerima sakramen pengakuan dosa.
Pada 12 Jun 2023 (Ahad), semasa perayaan Misa Kudus Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus, Fr. Christopher dalam homilinya memberikan beberapa soalan renungan kepada para ibu bapa seperti adakah ibu bapa pernah bertanya kepada anak mengenai perkembangan pelajaran mereka dalam aspek kerohanian? Pernahkah ibu bapa berdoa bersama anak-anak ataupun melihat anak mereka berdoa? Adakah ibu bapa pernah menjelaskan kepada anak-anak mengenai sakramen-sakramen dalam Gereja Katolik dan apakah keperluan untuk menerima sakramen-sakramen tersebut? Sekiranya ibu bapa kurang memainkan peranan dalam membimbing dan mengambil tahu akan perkembangan iman anak-anak serta tidak menunjukkan teladan yang baik dalam hal-hal kerohanian, tidak mustahil suatu hari nanti anak- anak akan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Anak-anak merupakan generasi pelapis dalam pelayanan gereja, dalam tempoh beberapa tahun akan datang tiada lagi yang datang beribadat jika iman mereka beransur-ansur hilang.
“Hari ini anak-anak akan menerima tubuh dan darah Kristus. Mereka telah disatukan dengan kita semua dalam perjamuan suci. Anak-anak ini mungkin masih kurang pemahaman tentang sakramen ini, namun dalam memastikan pertumbuhan iman mereka, kita perlu terus “Berjalan Bersama” dengan mereka sehingga mereka diyakinkan dengan pengalaman peribadi yang akan menemukan mereka dengan Yesus Kristus.” Demikianlah kata-kata akhir daripada Fr. Christopher sebelum mula masuk dalam Upacara Penerimaan Komuni Kudus Pertama.