Artikel oleh: Javy Jimmy (SOCCOM Telupid)

Telupid – Pada 4 Jun 2023 yang lalu, seluruh umat Paroki St. Martin, Telupid melibatkan lima buah zon iaitu Zon St. Padre Pio (tuan rumah), Zon St. Roderick, Zon St. Susanna, Zon St. Nicholas dan Zon St. Thomas berkumpul bersama dalam perayaan Pesta Kaamatan peringkat paroki. Pesta Kaamatan kali ini mengambil tema ‘POPOSINDAB SUNDUVAN SINODAL MAJA’ KOUBASANAN’ (Memperkayakan Semangat Sinodal Melalui Kebudayaan) disambut meriah dengan kehadiran umat yang sangat ramai dari seluruh paroki terutama sekali dalam perayaan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom (Uskup Keuskupan Sandakan) bersama dengan paderi paroki iaitu Rev. Fr. Christopher Ireneus.

Yang Mulia Bapa Uskup dalam homilinya menyatakan bahawa perayaan Pesta Kaamatan ini memberikan peringatan kepada kita untuk bersyukur kerana dapat hidup berkomuniti dan berjalan bersama di dunia ini. Hari Raya Tritunggal Maha Kudus yang dirayakan pada hari yang sama juga mengingatkan kita bahawa Allah itu penuh dengan kasih. Melalui hubungan kita dengan Allah, kita dapat mengenal Dia dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang diberikan kepada kita. Bapa Uskup turut meletakkan harapan agar seluruh umat dapat bersatu padu dalam hidup berkomuniti serta bersinodaliti untuk melakukan misi-Nya melalui perayaan Pesta Kaamatan ini.

Selesai Misa Kudus, Pengerusi Perayaan iaitu En. Primus Udin mengambil peluang untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan sambutan Pesta Kaamatan ini. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, perayaan ini dapat diteruskan berkat kerjasama semua AJK dan sokongan daripada paderi paroki serta pihak MPP. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan dan material bagi menjayakan sambutan ini. Beliau berharap agar kerjasama seumpama ini akan lebih mendorong lebih ramai umat untuk menyahut misi Diosis iaitu memupuk penyertaan aktif dalam gereja dengan Ekaristi sebagai sumber dan kemuncak kehidupan kristiani dengan semangat sinodaliti bersesuaian dengan tema Pesta Kaamatan pada tahun ini.

Seterusnya, Rev. Fr. Christopher Ireneus selaku paderi paroki turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perayaan ini. Memetik ucapan beliau, meraikan suatu budaya itu dapat dilihat sebagai sebahagian daripada identiti kita. Pesta Kaamatan dirayakan oleh masyarakat KDM sama seperti bangsa lain yang turut mempunyai perayaan mereka sendiri dalam menyatakan rasa kesyukuran mereka. Perayaan ini yang kita rayakan bersama adalah kerana kita mempunyai identiti. Identiti yang dimaksudkan disini adalah kita sebagai anak-anak Allah dan kita berani merayakan perayaan kesyukuran ini kerana kita adalah pengikut Kristus sebagai kesinambungan dengan Perayaan Minggu ini iaitu Tritunggal Mahakudus.

Selain itu, paderi turut menekankan bahawa melalui identiti ini maka kita akan lebih memahami dengan lebih mendalam lagi tentang tema perayaan Pesta Kaamatan iaitu ‘Memperkaya Semangat Sinodal Melalui Kebudayaan’. Kita mengambil bahagian dalam perayaan-perayaan gereja dan menjadikan SINOD ini sebagai sesuatu identiti kita dimana kita berjalan bersama, berpartisipasi, mempunyai persekutuan dalam gereja serta saling mendengar satu sama lain. Semoga melalui perayaan Pesta Kaamatan ini, kita sebagai umat Katolik dapat berjalan bersama-sama sambil membangkitkan semangat sinodaliti melalui kebudayaan yang kita rayakan.

Pada akhir sesi ucapan, Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari kaamatan kepada semua yang hadir. Bapa Uskup menyatakan bahawa tema yang telah dipilih bukan sahaja menjadi inspirasi tetapi juga dilihat sebagai satu semangat berjalan bersama, bersatu, berpartisipasi dalam merealisasikan Visi dan Misi Keuskupan. Tema ini menjadi pilihan kerana kita percaya bahawa kita perlu berjalan bersama untuk menjayakan suatu misi. Perayaan kebudayaan seumpama ini dapat memupuk kesepaduan yang sangat penting dalam membangunkan Gereja.

Perayaan Kamataan diteruskan lagi dengan acara makan bersama di perkarangan gereja. Setiap zon masing-masing membawa pelbagai jenis lauk-pauk untuk dikongsikan bersama dengan semua umat yang hadir pada hari tersebut. Selain itu, perayaan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pentas dan beberapa acara sukaneka serta cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama seperti peti sejuk beku, mesin rumput dan penyembur elektrik. Semoga perayaan seumpama ini dapat diteruskan agar semangat sinodal dalam kalangan umat separoki sentiasa bersemarak.