Tawau: Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Paroki Holy Trinity, Tawau telah diberi kepercayaan untuk mengelolakan Perhimpunan Agung Ke-11 dan sambutan Ulang Tahun Ke-15, Komisi Kerasulan Wanita Katolik Diosis Sandakan (CWAC) bagi tahun 2023. Acara ini telah dilangsungkan di Gereja Holy Trinity, Tawau selama dua hari iaitu pada 2hb Jun 2023 untuk perhimpunan dan 3hb Jun 2023 untuk ulang tahun, bertempat di Borneo Royale Hotel, Tawau.

Perhimpunan ini telah dihadiri oleh seramai 125 delegasi dari 6 buah paroki dalam Diosis Sandakan iaitu: –

  • Holy Trinity, Tawau – 41 orang peserta
  • Katedral St. Mary, Sandakan – 32 orang peserta
  • St. Dominic, Lahad Datu – 20 orang peserta
  • St. Martin, Telupid – 14 orang peserta
  • Our Lady of Fatima, Beluran – 12 orang peserta
  • Misi Paitan – 6 orang peserta

Kedua-dua program ini turut dihadiri oleh Pembimbing Rohani CWAC iaitu Rev. Fr. Christopher Ireneus, Ahli Kehormat CWAC iaitu Sr. Regina Kimung, fsic dan Sr. Julita Joseph, fsic dari Paroki Tawau. Antara objektif utama program 2 dalam 1 ini ialah;-

  1. Menyatukan kesemua ahli Kerasulan Wanita dari Diosis Sandakan agar hubungan menjadi lebih erat.
  2. Memberi peluang kepada semua ahli untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dengan ahli-ahli yang lain.
  3. Menyemarakkan lagi semangat para ahli dalam pelayanan.
  4. Menghargai setiap ahli dalam pelayanan mereka.

Program pada 2hb Jun bermula dengan Misa Kudus Pembukaan pada jam 4 petang yang diselebrankan oleh Fr. Christopher dan dibantu oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol, Pembantu Paderi Paroki Tawau, diikuti  dengan makan malam bersama. Kemudian, perhimpunan agung tersebut dilangsungkan dari jam 7.30 malam sehingga jam 10 malam. Antara perkara yang telah diulas oleh Fr. Christopher semasa perhimpunan adalah berkaitan cara pelaporan, minit mesyuarat, keahilan dan jawatan dalam CWAC serta hal pencarian dana.

Pada 3hb Jun pula, perhimpunan hari kedua dimulakan dengan Misa Kudus pada pukul 7.00 pagi yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David Garaman, Paderi Paroki Tawau dibantu oleh Fr. Christopher dan Fr. Dafrinn. Para peserta Jelajah Perhimpunan Katekatikal Sabah ke-2 yang sedang menjalani program mereka pada hari yang sama, hadir merayakan misa kudus ini. Setelah itu, sesi bergambar bersama semua delegasi dan 3 orang paderi dijalankan di hadapan Gereja Holy Trinity, Tawau.

Program perhimpunan disambung dengan satu sesi bertajuk, “Sukacita Injil” yang disampaikan oleh Fr. Christopher bermula pada pukul 9.30 pagi sehingga pukul 11.30 pagi. “Kita semua dipanggil kepada tugas perutusan baru (bergerak keluar); SEE, JUDGE, ACT dan Sukacita Injil ini adalah bagi semua orang”, kata Fr. Christopher. Beliau turut menerangkan bahawa Sukacita Injil juga melatih anggotanya untuk menjadi pewarta Injil dan meninggalkan sikap puas hati. Terdapat 5 bab Sukacita Injil yang telah dikongsikan oleh beliau, di mana setiap bab diakhiri dengan 5 soalan renungan untuk sesi refleksi para ahli mengikut kumpulan paroki mereka masing-masing.

Kemudian, selepas selesai perhimpunan tersebut, program sambutan ulang tahun ke-15 pula dijalankan. Fr. David, Fr. Dafrinn dan juga Timbalan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki iaitu Encik Clarence Chin turut hadir bagi memeriahkan majlis kesyukuran tersebut. Sambutan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Penyelaras KWK, Paroki Tawau iaitu Pn. Ernie Stephanie Edward, diikuti oleh Ketua Penyelaras CWAC, Pn. Cecelia De Souza dan diberkati pula oleh Fr. Christopher.

Acara pemotongan kek ulang tahun CWAC bersama semua penyelaras KWK Paroki.

Pelbagai acara lain diadakan termasuk penghargaan kepada Pn. Elsie Quintin Romacho yang telah mencipta logo KWK yang digunakan sehingga hari ini. Selain cenderahati diberikan kepada tetamu kehormat, cabutan bertuah juga dijalankan dengan selingan persembahan dari keenam-enam paroki. Pemotongan kek sempena ulang tahun kelahiran Fr. Christopher dan Pn. Cecelia turut diselitkan. Sambutan ulang tahun ke-15 ini selesai pada pukul 3.30 petang dan diakhiri dengan doa penutup oleh Fr. Christopher.

Logo CWAC Ciptaan Pn. Elsie Quintin Romacho

Secara keseluruhan, kedua-dua program ini dapat dijalankan dengan jayanya dan seperti yang telah dirancang. Kesemua delegasi sangat gembira dan pihak tuan rumah mendapat maklumbalas yang baik daripada kebanyakan peserta yang hadir.