Sr. Noemi Mejia fsic

Telupid – Seramai 33 peserta dari 6 keuskupan di seluruh Malaysia, iaitu, Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Keuskupan Penang, Keuskupan Agung Kuching, Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau dan Keuskupan Sandakan telah menyertai program inisiatif Malaysian Catholic Youth Ministers’ Committee (MCYMC) kali ke-4. 5 daripada peserta merupakan ahli MCYMC manakala 28 dari rakan MCYMC. Program inisiatif ini telah dilaksanakan di Chapel St. Patrick, Kg. Entilibon di bawah Paroki St. Martin Telupid pada 28 Jun sehingga 2 Julai 2023.

Program inisiatif MCYMC ini merupakan satu program yang dilaksanakan di peringkat Keuskupan di seluruh Malaysia bagi persiapan menuju Perhimpunan Anak Muda Katolik Malaysia (MCYPA) pada tahun 2025 dan seterusnya program Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC) 2026.

Bagi program inisiatif kali ke-4 ini, Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan mengambil tema “Berjalan Bersama Dalam Kesatuan Dan Misi”. Objektif program Inisiatif ini adalah;

  1. Mendekati serta mengeratkan hubungan bersama belia katolik yang sukar diakses.
  2. Menyelami realiti para belia, mendengar dan belajar.
  3. Mengalami serta mengongsikan kasih Tuhan kepada sesama.

Dalam program inisiatif ini, ia dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu; outreach dan post-evaluation.

Program Inisiatif ini dimulakan dengan Misa Kudus bersama umat yang disempurnakan oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol yang juga merupakan Penasihat Rohani Belia Keuskupan Sandakan pada 28 Jun di Chapel St. Patrick, Kg. Entilibon. Rev. Fr. Dafrinn Diwol dalam kata-kata pembukaannya, mengucapkan selamat datang kepada semua peserta yang hadir menyertai program inisiatif ini.

Misa Kudus sempena pembukaan Program Inisiatif MCYMC.

Pada 29 dan 30 Jun, para peserta telah dihantar ke beberapa kampung yang terpilih bagi melaksanakan aktiviti “Kerja Amal dan juga Iman”. Antara kampung yang terpilih adalah;

  1. St. Patrick, Kg. Entilibon
  2. St. Mary, Kg. Sanan
  3. St. Petrus, Kg. Kironggu
  4. St. Bede, Kg. Bobotong

Dalam aktiviti ini, para peserta tinggal bersama dengan keluarga angkat dan melakukan aktiviti seperti gotong-royong, melawat dan mendoakan orang sakit serta berkongsi pengalaman iman bersama belia dan semua umat.

Para peserta melakukan kerja amal-“Mangasok” menyemai benih padi di Kg. Sanan.

Melawat orang sakit di Kg. Entilibon.

Sesi Peneguhan iman di Kg. Kironggu. “I am Catholic, I am alive”.

Rev. Fr. Dafrinn Diwol memberi pengurapan orang sakit kepada salah satu umat yang dilawati di kg. Bobotong.

Sekembalinya dari ‘outreach’, para peserta meneruskan program dalam ‘post-evaluation’ yang dikendalikan oleh tim MCYMC, iaitu Roney Alfred Eming dan juga Josephine Tan. Dalam aktiviti ini, para peserta MCYMC dibawa untuk melihat, merenung, menilai dan mengongsikan apa pengalaman mereka dan apa yang menyentuh hati mereka serta cabaran yang dihadapi sepanjang program ‘outreach’ dalam 3 bahagian, iaitu; bahagian 1-‘Joy moment’, ‘Junk moment’ dan ‘Jesus moment’. Manakala dalam bahagian ke-2, iaitu art/karya artistic, para peserta diminta untuk menyatakan hasil perkongsian mereka dengan tema “Berjalan bersama” dalam bentuk lakonan, nyanyian, lukisan dan tarian.

Kumpulan Kg. Kironggu ; lukisan “Gong” dipilih sebagai simbol “Berjalan bersama”. Kerjasama antara pemalu gong akan membawa keharmonian dalam rentak irama.

Kumpulan Kg. Sanan; mempersembahkan lagu ciptaan mereka dengan tajuk “Berjalan Bersama”

Kumpulan Kg. Entilibon mempersembahkan sebuah tarian yang memperlihatkan kepelbagaian suku kaum di Malaysia.

Kumpulan Kg. Bobotong mempersembahkan satu lakonan yang bertemakan “Berjalan Bersama”

Seusai sahaja bahagian-2, para peserta sekali lagi dibawa untuk merenung pengalaman mereka dan mendengar apa yang Tuhan ingin katakan. Setiap kumpulan juga diminta untuk menggubah satu doa berdasarkan Firman Tuhan yang menyentuh hati mereka, dan doa-doa ini telah didoakan semasa pra-liturgi yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol dan Sr. Noemi Mejia.

Setiap kumpulan mendoakan doa-doa yang telah digubah semasa Pra-Liturgi.

Misa Kudus sempena penutupan program Inisiatif telah diadakan pada 1 Julai yang disempurnakan oleh  Rev. Fr. Christopher Ireneus, paderi Paroki St. Martin Telupid dan dibantu oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Dalam homilinya, Rev. Fr. Christopher mengingatkan para peserta MCYMC bahawa program ini sememangnya memberi banyak pengalaman baru namun, adakah ia memberi kesan atau perubahan kepada peribadi kita atau adakah program ini akan berlalu begitu sahaja apabila kita kembali ke tempat kita masing-masing. Program ini seharusnya membawa kematian kepada kita agar kita dapat bangkit kembali sebagai satu peribadi yang baru.

Rata-rata para peserta menyatakan rasa gembira mereka dengan pengalaman baru ini. Mereka juga menyatakan rasa diberkati dengan sokongan dan keterlibatan penuh Rev. Fr, Dafrinn sepanjang program ini.

Misa Kudus bersama Rev. Fr. Christopher sempena penutupan program

 

Perkongsian peribadi dari peserta

Syukur dan puji Tuhan sebab saya berpeluang mengikuti program ini. secara peribadi program ini sangat memberi kesan kepada saya terutama sekali apabila kami melawat orang sakit. Salah seorang yang telah kami lawati adalah seorang bapa yang tidak mampu berjalan tetapi diabaikan oleh isteri dan anak-anaknya. Walaupun bapa ini bukan dari kalangan umat Katolik, namun bagi saya dia masih berharga di mata Tuhan. Tindakan kawan-kawan yang lain serta umat di sekitar untuk menghulurkan bantuan membawa saya melihat keperibadian Yesus di setiap orang. Di sini, saya belajar bahawa pelayanan dan cinta kasih Yesus itu tidak terhad kepada orang-orang tertentu saja namun ia adalah untuk semua makhluk yang hidup. – Vyell- Kerasulan Belia Paroki St. Martin Telupid.

 

Saya bersyukur kepada Tuhan sebab sepanjang penyertaan saya dalam program ini, berkat Tuhan telah memperlihatkan kepada saya betapa besarnya cintakasih-Nya. Kerjasama, kesatuan dan keterbukaan antara kami yang datang dari latar belakang yang berbeza membuatkan kami dapat mengongsikan Kasih Tuhan kepada belia dan umat di luar bandar yang jauh daripada kemudahan perhubungan. Pengalaman ini memberikan kekuatan kepada saya secara peribadi untuk terus teguh dalam pelayanan untuk terus berkongsi kasih dan imej Tuhan Yesus kepada yang haus akan kehadirannya. Kehadiran Tuhan melalui keperibadian saya yang diutus untuk melayani  sesama membuatkan hubungan dengan Tuhan Yesus akan terus diteguhkan. – Nuels- Kerasulan Belia St. Martin Telupid.