Patrick Michael & Clarence Chin (KMPP)
Gambar oleh Carlos George
Tawau – Sambutan Hari Migran dan Perantau Sedunia yang ke-109 Peringkat Paroki Holy Trinity Tawau telah berlangsung pada 24 Sept 2023 dengan tema “Bebas untuk memilih sama ada berhijrah atau menetap”. Perayaan dimulakan dengan upacara Misa Kudus dalam gereja pada jam 10 pagi kemudian diikuti dengan perarakan menuju ke Dewan Gereja Holy Trinity Tawau.
Dalam ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Komiti Migran dan Perantau Paroki (KMPP) saudara Clarence Chin, beliau mengajak semua umat katolik paroki untuk mempraktikkan 4 pesan utama Paus Fransiskus mengenai Hari Migran & Perantau Sedunia iaitu Mengalu-alukan, Melindungi, Mempromosi dan Mengintegrasikan para migran dan perantau yang ada bersama kita. Kemudian wakil daripada Konsulat Republik Indonesia iaitu Bapak Wiryawan Pra Utomo menasihati para migran terutama rakyat Indonesia yang bekerja khususnya di daerah ini agar terus mengikuti dan menghormati undang-undang negara ini. Manakala dalam ucapan perasmian Paderi Paroki Fr. David A Garaman beliau menekankan betapa pentingnya semua umat yang berbilang kaum dan budaya untuk terus bersatu dan berjalan bersama tanpa mengira asal, bangsa atau status sebagai satu gereja sinodal.
Antara acara yang disusun pada hari tersebut adalah pemotongan kek, pemberian cenderahati kepada wakil konsulat, tayangan slideshow aktiviti KMPP, makan bersama dan hiburan dengan 5 persembahan tarian yang menarik iaitu Sinden Windah daripada Community Learning Centre (CLC) Holy Trinity, sumazau daripada Tinimungan Umat Kadazandusun (TUKAD), Alitaptap daripada Filipino Pastoral Community (FPC), Teti Hedun daripada Komuniti Pastoral Indonesia (KPI) dan Pica Meleda daripada CLC Tunas Perwira. Acara diakhiri dengan doa penutup daripada Fr. David dan gotong-royong membersihkan dan mengemas dewan.