oleh Agnes Thomas

Sandakan – KAPELA ST PETRUS,SUNGAI MANILA telah menerima kunjungan daripada rombongan PUSPANITA NEGERI SABAH dalam lawatan mereka ke Sandakan pada 17 November 2023. Dalam lawatan ini, pihak PUSPANITA telah memberi sumbangan kerusi sebanyak 50 buah kepada Kapela St. Petrus untuk kegunaan umat di Kapela tersebut dan sekaligus membuat lawatan di kawasan itu.

Majlis Penyerahan Sumbangan ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Dr. Nuinda Haji Alias, Pengerusi Puspanita Cawangan Sabah. Majlis penyerahan diadakan di dataran Kapela St. Petrus yang telah disediakan daripada kerjasama gotong-royong oleh Komiti Pastoral dan Komiti Timoris Kapela St Petrus serta daripada sumbangan ehsan Majlis Perbandaran Sandakan untuk meminjamkan segala keperluan kerusi VIP dan bunga untuk hiasan tapak majlis.

 

Turut hadir bersama ialah Profesor Dr. Khadizah Osman, Pengerusi JKK Kebajikan PUSPANITA Cawangan SABAH, disertai Puan Pyliss Tamin, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sandakan, Tuan Henry Idol Pengerusi Majlis Perbandaran Sandakan, rombongan daripada PUSPANITA CAWANGAN SABAH dan PUSPANITA CAWANGAN Keningau, Encik Freddy Graman, Pengerusi Majlis Pastoral Katedral St Mary, Sandakan, Encik Linus Sondungan, Pengerusi Pastoral Kapela St. Petrus, Sungai Manila dan umat Kapela St Petrus. Ucapan alu-aluan daripada Encik Freddy Graman mengatakan bahawa sumbangan yang diberikan kepada Kapela St. Petrus ini amatlah disyukuri kerana sumbangan ini sangat membantu untuk keselesaan umat ketika beribadah dan berharap agar lawatan pertama kali rombongan PUSPANITA ke Kapela St. Petrus bukanlah untuk kali terakhir. Upacara diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan minum petang bersama rombongan dan umat Kapela St Petrus.