Disediakan oleh Clly Gulimit
TELUPID – Pada 3 Disember 2023 yang lalu, satu sesi rekoleksi dan pengutusan kumpulan karoling krismas dan lawatan keluarga musim Adven telah diadakan di Gereja Santo Martin, Telupid. Meskipun dalam keadaan hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu, keadaan tersebut tidak menjadi penghalang kepada umat untuk hadir ke sesi rekoleksi. Seramai 284 orang telah hadir untuk menerima pengutusan sebelum memulakan lawatan keluarga musim Adven bagi menceritakan kisah kelahiran Yesus Kristus serta menyampaikan khabar gembira kepada keluarga keluarga yang dilawati.
Sesi rekoleksi disampaikan oleh paderi paroki sendiri iaitu Rev. Fr. Christopher Ireneus. Sebelum memulakan sesi, paderi bertanya kepada semua yang hadir tentang apa yang mereka fahami mengenai Adven. “Adven adalah penantian kedatangan Juruselamat dan masa untuk kita berjaga jaga.” Begitulah jawapan yang dikongsikan oleh salah seorang peserta rekoleksi dari KUK St. Joseph, Lumou.
Kemudian, paderi menerangkan tentang lingkaran lilin Adven yang telah menjadi sebahagian daripada tradisi Gereja Katolik untuk mengisi masa penantian akan kedatangan Tuhan pada hari Natal. Lingkaran lilin Adven yang terdiri daripada sebuah lingkaran dengan 4 batang lilin berwarna ungu dan merah jambu juga melambangkan Tuhan yang abadi tanpa awal dan akhir serta melambangkan satu pusingan kehidupan. Setiap lilin juga membawa maksud yang berbeza iaitu (1) pengharapan, (2) perdamaian (3 merah jambu) sukacita dan (4) cinta kasih.
Dalam sesi tersebut juga, paderi telah menjelaskan tatacara yang akan digunakan oleh semua kumpulan karoling untuk lawatan keluarga musim Adven. Melalui penyeragaman tatacara di seluruh paroki, perjalanan kumpulan karoling menjadi lebih
jelas dan teratur.
Selain mendengar sesi, semua peserta rekoleksi turut menjalani aktiviti berkumpulan. Semua peserta dibahagikan mengikut zon masing masing iaitu Zon Santo Padre Pio, Zon Santo Nicholas, Zon Santa Susanna, Zon Santo Thomas serta Zon Santo Roderick dan setiap kumpulan perlu menghasilkan sebuah lingkaran Adven menggunakan bahan bahan yang disediakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Rekoleksi diakhiri dengan pengutusan kepada semua ahli karoling sebelum kembali ke tempat masing masing. Sebagai rekod, sebanyak 19 kumpulan karoling telah mendaftar dan akan memulakan lawatan mereka bermula 5 – 23 Disember 2023.