Artikel oleh : SOCCOM Perayaan.
Gambar oleh : SOCCOM Kateketikal dan Paroki.

 

TELUPID – “Jangan bertangguh!”. Demikian intipati daripada homili Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom sempena sambutan perayaan berkembar Hari Paroki Santo Martin, Telupid yang Ke-57 dan Ulang Tahun Diosis Ke-16 yang diadakan pada 12 November 2023 yang lepas. Sikap tidak bertangguh inilah yang membawa kepada keberhasilan yang terbaik dalam suatu perkara yang dilakukan dan ianya perlu diterapkan dalam diri semua serta diaplikasikan dalam komuniti.

Misa Kudus sempena Hari Paroki St. Martin, Telupid yang diselebrankan oleh Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom bersama paderi paroki Rev. Fr. Christopher Ireneus dan Rev. Fr. Arthur John

Dalam perayaan yang bermakna untuk seluruh umat ini juga turut diadakan penerimaan Sakramen Penguatan kepada 107 orang calon dari seluruh paroki. Jumlah penerima Sakramen Penguatan yang begitu ramai ini bertepatan dengan mesej yang disampaikan oleh Bapa Uskup dalam homili beliau mengenai sikap tidak bertangguh. Komiti Kateketikal begitu komited dengan usaha mereka untuk membawa pembangunan iman yang berterusan di paroki ini. Justeru, semangat mereka dalam pelayanan membimbing setiap umat telah menunjukkan bahawa sikap tidak bertangguh mereka akhirnya membuahkan
hasil.

Paroki Santo Martin, Telupid, dibawah seliaan Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus dan barisan kepimpinan Majlis Pastoral Paroki telah menyusun pelbagai strategi untuk memastikan pembangunan yang berterusan dalam kalangan umat di paroki ini. Maka, dengan semangat sinodaliti yang diterapkan, barisan kepimpinan gereja bersetuju untuk membahagikan pelaksana program besar gereja kepada zon-zon yang ada di dalam paroki ini. Bagi perayaan berkembar pada tahun ini, Zon Santo Roderick telah diamanahkan untuk menjadi pelaksana.

Salah seorang penerima Sakramen Penguatan semasa perayaan Hari Paroki St. Martin, Telupid ke-57.

Persiapan rapi telah dibuat bermula dengan mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur yang diadakan di kapela St. Mary, Wonod dan diikuti beberapa siri mesyuarat susulan yang dilaksanakan dengan pelbagai kaedah seperti bersemuka dan dalam talian. Perancangan yang dibuat ternyata berjaya membentuk kesefahaman dalam kalangan ahli jawatankuasa penganjur di mana mereka saling membantu antara satu sama lain dan sentiasa berusaha untuk melengkapi dalam setiap tugasan yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka. Perkara ini adalah salah satu bukti yang nyata bahawa semangat sinodaliti itu wujud dan telah berjaya menyatupadukan umat di paroki ini.

Barisan AJK Penganjur

Sambutan pada tahun ini mengetengahkan tema yang diambil daripada Konvensyen Pastoral Malaysia iaitu “Merayakan. Mendengar. Berjalan.”. Tema yang dipetik daripada Yohanes 2:2-5 ini sangat bertepatan dengan saranan gereja pada masa kini iaitu ingin membawa semua umat untuk merayakan iman gereja bersama, mendengar bersama, dan paling penting, berjalan bersama. Pelaksanaan Novena dalam bentuk Misa Kudus, beberapa siri pertemuan, persiapan fizikal, persiapan liturgi, persembahan pentas dan pelbagai persiapan lain yang dilakukan bersama dengan penuh keikhlasan menunjukkan betapa umat juga turut menginginkan agar misi merayakan, mendengar, dan berjalan bersama ini dapat direalisasikan.

Sesungguhnya kehadiran Paderi Paroki dalam setiap perayaan Ekaristi selama sembilan hari berturut-turut tanpa henti sebagai persiapan rohani menyambut hari besar paroki ini telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam pembangunan iman umat di paroki ini. Hal ini dapat dilihat dengan kehadiran umat yang semakin bertambah pada setiap Misa
Kudus berkenaan. Rev. Fr. Christopher dalam homilinya semasa Novena hari kelapan menyarankan agar umat dapat menggunakan kebijaksanaan pada masa dan tempat yang sepatutnya. Maka dengan itu, semua umat dapat menyedari bahawa menjadi bijak bukan bermaksud memiliki ilmu pengetahuan semata-mata tetapi bagaimana ianya dapat memberi manfaat antara sesama melalui perkongsian dalam kalangan umat beriman. Hal ini dapat dilihat melalui penglibatan umat dalam segala persiapan perayaan di mana mereka semua menggunakan kebijaksanaan untuk mewujudkan satu komuniti yang saling bekerjasama dan bersatu padu.

Persembahan tarian daripada belia.

Bersamaan dengan sambutan Perayaan Hari Paroki pada tahun ini, program juga turut diserikan dengan pemberkatan bangunan Pusat Pastoral Paroki yang baharu. Pembinaan bangunan ini adalah tanda bahawa gereja berada pada landasan yang tepat berkenaan perihal pembangunan fizikal gereja. Paderi Paroki turut menekankan dalam ucapannya bahawa, dengan adanya bangunan Pusat Pastoral Paroki ini, maka urusan pembangunan gereja akan dapat dijalankan dengan terancang agar selari dengan perkembangan iman para umat di paroki ini.

Pembangunan gereja secara fizikal adalah suatu yang amat diperlukan dalam sesebuah paroki. Walau bagaimanapun, perkara ini haruslah juga seiring dengan perkembangan iman umat. Para umat adalah penerus masa depan gereja, merekalah yang akan menjadi peneraju kepada iman Yesus Kristus, bukan sahaja pada masa sekarang tetapi sampai selama-lamanya. Maka, semangat para umat dalam perayaan pada kali ini telah telah menunjukkan bahawa mereka juga semakin dapat mengaplikasikan konsep berjalan bersama yang bersesuaian dengan tema “Merayakan. Mendengar. Berjalan.”