Disediakan oleh: Veloriza Monggong
TELUPID – Pada 12 Januari 2024 yang lalu, Rev. Fr. Christopher Ireneus dan Seminarian Athanascylus Aginasious bersama-sama dengan Komuniti Umat Katolik (KUK) St. Maria Ratu Rosari, Ladang Mayvin menyambut perayaan 3 dalam 1 iaitu sambutan Krismas, ulangtahun pemberkatan kapela ke-4 tahun serta pemberkatan dewan mini kapela yang baharu. Sebelum memulakan misa kudus pada pukul 6:00 petang, paderi paroki terlebih dahulu memberikan sakramen pengakuan kepada umat yang hadir. Dalam misa kudus harian tersebut, paderi telah menyampaikan homili tentang Yesus yang menyembuhkan orang lumpuh (Mrk 2: 1-12).
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2024/02/Pemotongan-Kek-Kesyukuran-1024x569.jpg)
Pemotongan Kek Kesyukuran
Selesai misa kudus, semua umat berkumpul di dewan mini untuk upacara pemberkatan dewan mini yang baru saja dibina. Selesai sahaja upacara pemberkatan, umat disajikan dengan persembahan bunga api sebagai simbolik perasmian dewan mini yang baharu. En. Dixon Jimoni selaku pengurus ladang mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan acara pemberkatan dan perasmian tersebut.
![](https://www.dioceseofsandakan.org/wp-content/uploads/2024/02/Bergambar-beramai-ramai-selepas-Misa-Kudus-1024x472.jpg)
Sesi bergambar beramai-ramai selepas misa kudus.
Selesai ucapan, paderi, seminarian dan umat berkumpul untuk pemotongan kek kesyukuran dan diteruskan dengan acara makan bersama. Sepanjang majlis tersebut, turut diselitkan acara cabutan tiket nama bertuah dan penyampaian hadiah bagi acara sukaneka kanak-kanak yang telah dijalankan lebih awal iaitu pada 6 Januari 2024 selepas ibadat sabda.