Disediakan oleh: Raynold Thomas

Telupid – Pada 15 Februari 2024, seramai 58 orang peserta melibatkan 30 orang lelaki dan 28 orang wanita daripada pelbagai kategori pelayanan telah menyertai program Laudato Si’ – Sikap Peduli Terhadap Alam Ciptaan Tuhan peringkat Zon Santo Roderick, Paroki St. Martin, Telupid. Program ini diilhamkan semasa Study Day berkenaan dokumen Laudato Si’ yang dijalankan pada 18 November 2023 di peringkat paroki.

Pelbagai jenis pokok bunga ditanam di sekitar kapela bagi menceriakan suasana.

Pengerusi Program Laudato Si’, Puan Jovina Galambun menyatakan bahawa salah satu tujuan pelaksanaan program ini adalah sebagai sahutan terhadap seruan Paus Francis kepada semua umat Katolik mengenai pentingnya mencintai alam ciptaan Tuhan. Terdapat 5 buah kapela dalam zon Santo Roderick iaitu kapela St. John, Kg. Telupid, St. Mary, Kg. Wonod, St. Joseph, Kg. Lumou, St. John Fisher, Kg. Mangkadait dan St. Francis of Assisi, Kg. Miruru. Program Laudato Si’ peringkat zon ini dilaksanakan di kapela St. Francis of Assisi, sebuah kapela yang terletak jauh terpencil dalam jajaran pentadbiran paroki Telupid.

KWK turut memberikan sokongan dalam program Laudato Si’. 

Bagi pelaksanaan program di peringkat zon, terdapat 5 cadangan yang telah diutarakan dan salah satu yang dilaksanakan di St. Francis of Assisi adalah aktiviti menanam pokok untuk menggalakkan penghijauan. Program bermula pada pukul 8 pagi dengan taklimat ringkas mengenai Laudato Si’ kepada semua peserta. Pengerusi program mengingatkan semua betapa pentingnya bagi umat Katolik untuk turut sama melibatkan diri dalam menghargai setiap ciptaan Tuhan. Seterusnya, para peserta menanam pelbagai anak pokok bunga dan pokok-pokok lain di sekeliling kapela serta dewan umum kapela. Selain itu, para anak muda pula berinisiatif membantu mengutip sampah di sekitar kapela.

Penglibatan belia zon dalam aktiviti Laudato Si’.

Pengerusi Zon Santo Roderick, Puan Rosma Naim menyerahkan anak pokok bunga kepada Katekis Yalik Lobinus sebagai simbolik program.

Kehadiran umat daripada pelbagai kategori pelayanan.

Pemimpin Ibadat kapela, Yalik Lobinus berterima kasih atas kesempatan para Pemimpin Ibadat dan Pelayan Komuni, pengerusi Komuniti Umat Katolik, Kerasulan Wanita Katolik, Kerasulan Belia Katolik atas kebersamaan dalam program ini. Hal ini menunjukkan bahawa program ini berjalan dengan lancar dan berjaya memupuk semangat sinodaliti dalam kalangan umat zon. Program ini diakhiri dengan nyanyian lagu-lagu pujian seterusnya sesi salam damai diikuti acara makan bersama dan tamat sekitar pukul 12 tengah hari.