Artikel disediakan oleh: Fettwinda Sipaan dan Raynold Thomas
Gambar: Clly Gulimit
TELUPID – Seramai 180 orang peserta daripada pelbagai latar pelayanan dan peringkat umur hadir dalam Perhimpunan Pastoral Paroki 2 peringkat paroki St. Martin, Telupid pada 2 Mac 2024 yang memfokuskan tentang dokumen gereja iaitu Laudato Si’. Pendaftaran peserta bermula seawal pukul 7:30 pagi dan diteruskan dengan sesi Time of Life yang dikendalikan oleh para belia. Kemudian, saudari Fettwinda selaku pengerusi Komiti Keadilan kepada Ciptaan paroki merangkap urus setia program memberikan taklimat ringkas kepada semua peserta yang hadir.
Selepas itu, paderi paroki iaitu Fr. Christopher Ireneus meneruskan program dengan sesi Bicara Rohani. Dalam sesi ini, paderi memberikan dua contoh situasi berbicara yang berbeza dan diikuti dengan sesi perkongsian dalam kumpulan kecil. Apa yang dikongsikan dalam kalangan ahli kumpulan dalam tempoh 20 minit adalah sesi perkenalan, perkongsian tentang perkara mendamaikan dan menyukacitakan yang dialami dalam komuniti gereja, perkara mencabar dan mengecewakan yang dialami serta harapan masing-masing dalam pertemuan Perhimpunan Pastoral Paroki ini. Kemudian, semua peserta diajak untuk hening dan merenung kembali tentang apa yang telah dikongsikan dalam kumpulan masing-masing. “Adakah semua ahli kumpulan mempunyai peluang untuk berkongsi?”, “Adakah masa yang diberikan mencukupi untuk setiap ahli kumpulan memberikan perkongsian?”. Persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh paderi ini merupakan ajakan kepada semua peserta untuk menyedari akan pentingnya mendengar dan memberikan peluang kepada semua.
Kemudian, sesi perkongsian yang kedua diteruskan dengan soalan panduan: Apakah perkongsian yang memberi kesan dan menyentuh hati anda?, Jika ya atau tidak, kongsikan mengapa?, adakah perkongsian yang anda dengar menginspirasikan, menyukacitakan anda atau anda merasa tidak senang hati/ tidak suka/ sedih mendengarnya? Serta adakah perkongsian yang anda dengar membawa kepada keharmonian untuk berjalan bersama dalam komuniti gereja. Jika ya/tidak – mengapa?. Dalam sesi ini, suasana perkongsian dalam kumpulan menjadi semakin teratur. Proses perkongsian yang dilalui oleh para peserta merupakan ajakan kepada semua untuk melibatkan diri dengan aktif melalui mendengar antara satu sama lain dan seterusnya melakukan tindakan yang bersesuaian dengan keperluan.
Perhimpunan kali ini sedikit berbeza dari segi pelaksanaannya. Study Day mengenai dokumen Laudato Si’ ini telah diadakan pada 18 November 2023. Sebanyak 5 buah zon iaitu Zon St. Padre Pio, Zon St. Nicholas, Zon St. Susanna, Zon St. Roderick dan Zon St. Thomas telah mengadakan perbincangan untuk merancang aktiviti atau program di zon masing-masing. Kemudian, semua aktiviti yang dilaksanakan dibentangkan dan dikongsikan kepada semua peserta. Secara keseluruhannya, semua zon berjaya melaksanakan yang dirancang dan masih dalam proses untuk memastikan pembudayaan amalan-amalan Laudato Si’ ini berterusan. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk setiap zon melaksanakan penambahbaikan bagi mendapatkan hasil yang lebih memberi impak. Berdasarkan perkongsian daripada wakil zon, penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti yang dilaksanakan menimbulkan kesedaran kepada semua untuk melibatkan diri secara berterusan dalam Kempen Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-Anak Kita (tema kempen Komisi Keadilan Kepada Ciptaan 2020-2025).
Perhimpunan diakhiri dengan penyampaian Deklarasi Laudato Si’ oleh Saudara Albert Andau Paulus Andau, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki yang mengajak seluruh umat untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap dokumen Laudato Si’ dengan memahami konsep dan kandungan dokumen Laudato Si’, memastikan ekologi Paroki St. Martin Telupid dalam keadaan utuh dengan meningkatkan kualiti hidup dan hubungan sosial antara umat separoki, mengaplikasikan pertobatan ekologi dengan cara mengubah pola fikir serta pola bertindak sebagai penguni dunia, suka memandang keindahan dan melestarikan rumah bersama ini. Selepas deklarasi, beliau turut mengumumkan bahawa dalam semua perayaan ataupun aktiviti yang akan dilaksanakan kelak sama ada di peringkat paroki, zon mahupun KUK tidak lagi menggunakan bekas polisterin sebagai salah satu langkah meneruskan pembudayaan mengurangkan penggunaan peralatan sekali guna.
Sebelum bersurai, doa penutup dipimpin oleh Katekis Wilfred A. Pain. Perhimpunan Pastoral Paroki 2 – Laudato Si’ peringkat Paroki St. Martin Telupid selesai pada pukul 4:30 petang