Disediakan oleh: Clly Gulimit
TELUPID – Memberikan perkongsian ataupun menyampaikan renungan adalah perkara yang wajib ada dalam perjalanan liturgi ibadat sabda dan kemahiran ini harus dikuasai oleh setiap pemimpin ibadat. Justeru, bagi memantapkan lagi peranan pemimpin ibadat di seluruh paroki St. Martin, Telupid, Komiti Katekis telah menganjurkan Bengkel Memberikan Renungan pada 10 April 2024. Seramai 65 orang telah menyertai bengkel ini. Selain pemimpin ibadat, bengkel ini turut disertai oleh pelayan komuni dan juga umat awam yang berminat. Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan bimbingan kepada para pemimpin ibadat agar dapat membuat persediaan yang lebih baik dalam penyediaan renungan ataupun perkongsian untuk disampaikan kepada umat yang menghadiri ibadat sabda.
Bengkel ini dimulakan dengan sesi pertama yang disampaikan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus. Berpandukan kepada Seri Dokumen Gerejawi No.113 berkenaan dengan Pedoman Homili (Direttorio Omiletico), paderi menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa itu homili dan juga renungan/perkongsian. Menyediakan renungan bukanlah suatu perkara yang mudah, seorang pemimpin ibadat perlu melakukan banyak persiapan untuk melakukannya seperti membuat renungan peribadi, mengenal pasti tema renungan, melakukan rujukan tambahan melalui pelbagai sumber lain, menyusun draf renungan dan pelbagai lagi agar perkongsian yang disampaikan memberikan manfaat kepada umat. Selain itu, pemimpin ibadat juga perlu bijak dalam pemilihan kata-kata supaya tidak menyinggung mana-mana pihak semasa menyampaikan renungan.
Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil dan perlu menyelesaikan satu tugasan ringkas iaitu menyediakan renungan berpandukan pembacaan pada Hari Minggu Paskah ke-3. Selesai perbincangan, seorang wakil bagi setiap kumpulan perlu menyampaikan hasil renungan yang telah disediakan. Berdasarkan perkongsian yang disampaikan, banyak variasi yang dapat dilihat dari aspek penyediaan renungan dan juga cara penyampaian. Dalam masa yang sama, masih ada ruang untuk penambahbaikan seperti yang dikatakan oleh paderi semasa memberikan komen dan cadangan.
Selain daripada perkongsian cara menyediakan dan menyampaikan renungan, taklimat mengenai tatacara pengendalian komuni kudus turut disampaikan dalam sesi terakhir bengkel. Semasa sesi ini, bukan sahaja taklimat yang disampaikan tetapi sesi praktikal turut dijalankan bagi memastikan para peserta terutama sekali pelayan komuni lebih memahami dengan lebih jelas tentang pengendalian komuni kudus. Diharapkan agar melalui bengkel ini, para peserta khususnya pemimpin ibadat dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat seterusnya lebih yakin dan bersedia dalam penyediaan serta penyampaian renungan ataupun perkongsian. Di akhir bengkel, seramai empat orang lagi telah menerima pengutusan bagi membantu dalam pelayanan sebagai pemimpin ibadat sabda di tempat masing-masing.