Disediakan oleh: Delsie Ivy Didacius

TELUPID – Pada 12 April 2024 yang lalu, seramai 182 orang belia dan kanak-kanak berumur 10 hingga 25 tahun dari seluruh paroki St. Martin, Telupid telah menyertai Rekoleksi Pelayan Altar yang dianjurkan bersama oleh Komiti Liturgi dan Kerasulan Belia Paroki. Objektif rekoleksi ini dijalankan adalah untuk memberikan peneguhan iman dalam pelayanan sebagai pelayan altar. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta untuk mengenal lebih lagi tentang pelayanan dalam gereja terutama sekali sebagai pelayan altar.

Pendaftaran peserta

Rekoleksi dimulakan dengan pendaftaran seawal pukul 7:30 pagi dan disusuli dengan Pentakhtaan Alkitab. Selepas itu, sesi pertama bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Pelayan Altar” telah disampaikan oleh paderi paroki iaitu, Rev. Fr. Christopher Ireneus. Dalam sesinya, paderi mengingatkan para peserta bahawa sebagai pelayan altar harus menunjukkan kesungguhan dalam pelayanan. Kemudian para peserta diperkenalkan dengan peralatan-peralatan liturgi yang sering digunakan semasa perayaan liturgi gereja dalam sesi kedua yang turut disampaikan oleh paderi paroki. Melalui sesi ini, mereka dapat mengenal nama-nama peralatan liturgi tersebut serta melihat dengan lebih dekat lagi bagaimana rupa setiap peralatan liturgi yang ditunjukkan.

Fr. Christopher memperkenalkan peralatan liturgi

Selepas itu, rekoleksi diteruskan dengan sesi kesedaran panggilan kepaderian dan religius. Sesi ini disampaikan oleh paderi dan Sr. Clarice George dari Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC). Sr. Clarice telah memberikan perkongsian tentang peringkat-peringkat yang perlu dilalui dalam perjalanan menjadi seorang Sister. Selain itu, beliau turut berkongsi tentang aktiviti-aktiviti yang telah menjadi rutin harian bagi seorang Sister dalam FSIC.

Sesi kesedaran panggilan religius oleh Sr. Clarice George (FSIC)

Di samping itu, pihak penganjur juga telah mengambil pendekatan yang menarik dengan memasukkan slot “Pop-Up” iaitu sesi singkat yang hanya mengambil masa selama 15 minit. Sesi ini seakan-akan iklan yang bertujuan untuk mengingatkan para peserta akan info-info gereja dan juga isu yang berlaku di sekeliling seperti “Eco-Warrior”, “Belia Bersinodaliti”, “I am Catholic, Forever a Catholic” dan “Hapuskan Buli”.

Salah satu slot Pop Up bersama Saudari Nes Sandra

Sesi terakhir dalam program ini adalah aktiviti dalam kumpulan. Para peserta diagihkan kepada beberapa kumpulan dan mereka perlu membuat renungan peribadi tentang “Bagaimana saya hendak menjadi seorang Katolik yang berkualiti?”. Selepas itu, para peserta secara bergilir-gilir memberikan perkongsian mengenai apa yang telah mereka renungkan berdasarkan pertanyaan yang diberikan. Rekoleksi diakhiri dengan sesi bergambar dan gotong-royong sebelum kembali ke destinasi masing-masing.