Pada 20 Jun 2024, buat julung kalinya Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, Komisi Migran & Perantau dan Caritas Diosis Sandakan berganding bahu untuk menganjurkan satu webinar yang bertajuk ‘Gaya Hidup Sisa Sifar’. Objektif utama penganjuran ini adalah agar umat disedarkan dan diingatkan akan tanggungjawab mereka sebagai ‘penjaga bumi’ – Kitab Kejadian 1: 26 – 31 dan agar umat dapat mempraktikkan gaya hidup sisa sifar dalam kehidupan peribadi setiap hari.

Seramai 358 orang dari Diosis Sandakan dan luar Diosis Sandakan telah mendaftar bagi program ini. Walau bagaimanapun hanya 160 peserta yang telah mengikuti secara atas talian. Jumlah ini tidak termasuk para peserta yang telah berkumpul di chapel – chapel untuk mengikuti sesi ini. Atas usaha dan inisiatif Rev. Fr. Arthur John di Misi Paitan dan Saudari Irene Palisa di Nativity Chapel Kampung Pelantong, Beluran, peserta – peserta yang mempunyai masalah talian internet mendapat peluang untuk mengikuti webinar ini sehingga selesai.

Webinar ini telah dimulakan dengan doa pembukaan dan kata – kata aluan dari Fr. Stephen Esguerra, Penasihat Rohani bagi Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Diosis Sandakan. Dalam ucapannya, Fr. Stephen mengongsikan keprihatin Bapa Suci Fransiskus dalam Krisis Ekologi dan menyeru semua peserta untuk mengikuti webinar ini memberi perhatian sepenuhnya dan menimba ilmu sebanyak yang boleh agar dapat mewariskan bumi yang hijau dan sihat kepada generasi akan datang.

Sesi diteruskan dengan memperkenalkan dua penceramah jemputan yang disampaikan oleh Saudara Clarence Chin. Dua penceramah yang telah dijemput khas bagi webinar ini adalah Puan Ruth Yap, Pengasas bagi Zero Waste Sabah dan Sr. Calista Soliun FSIC, Penyelaras bagi Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Diosis Agung Kota Kinabalu.

Puan Ruth Yap yang mengusaha Zero Waste Sabah sepenuh masa telah mengongsikan realiti dan permasalahan sampah – sarap di seluruh dunia dan khasnya di Sabah. Permasalahan ini telah ‘menyakiti’ bukan sahaja alam sekitar dan haiwan (darat & laut) malah manusia itu sendiri. Manusia merupakan punca utama berlakunya hal ini. Antara penyebabnya adalah  kurang kesedaran, kurang peduli dan kurang ilmu tentang kesan sampah – sarap terutama plastik sekali guna kepada bumi. Penjagaan alam sekitar adalah tanggung semua pihak termasuklah pihak kerajaan dan syarikat – syarikat swasta. Namun paling penting itu adalah kesedaran secara peribadi untuk berubah dan memilih gaya hidup yang mesra alam. Selain itu Puan Ruth juga menyentuh tentang usaha – usaha badan antarabangsa dalam menangani isu ini dan bagaimana peserta boleh mengurangkan masalah ini dengan menggunakan konsep ‘Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot’ untuk dipraktikkan dalam kehidupan sehari – hari sehingga ia menjadi satu gaya hidup sisa sifar.

Sr. Calista Soliun, FSIC pula telah menjadikan ‘Segala sesuatu yang diciptakan oleh Dia dan untuk Dia’ yang dipetik dari Kolose 1:16 sebagai tema keseluruhan sesinya. Selain itu, Sr. Calista juga telah mengongsikan banyak informasi dari Ensiklik Laudato Si, Ajaran Sosial Gereja dan Katekismus Gereja Katolik. Ternyata sekali gereja kita sangat pedulikan alam sekitar. Malah setiap kali Misa Kudus, umat Katolik diingatkan akan ciptaan-Nya melalui Doa Aku Percaya. Maka dengan itu Sr. Calista mengingatkan kepada semua umat Katolik yang mengikuti webinar ini untuk menghidupi tanggungjawab dan komitmen mereka dalam menjaga alam sekitar yang ‘lahir dari dari iman Kristiani kita.’

SETIAP KEKEJAMAN TERHADAP MAKHLUK CIPTAAN TUHAN ADALAH “BERTENTANGAN DENGAN MARTABAT MANUSIA.’ (Laudato Si, 92; KGK, 2418)

Webinar ‘Gaya Hidup Sisa Sifar’ ini diakhiri dengan kata – kata penghargaan dan doa penutup oleh Rev. Fr. Simon Kontou, Penasihat Rohani bagi Komisi Migran & Perantau dan Caritas Diosis Sandakan.

Dalam ucapan penghargaannya, Fr. Simon berterima kasih kepada Puan Ruth Yap dan Sr. Calista Soliun, FSIC dan semua yang hadir dalam webinar Gaya Hidup Sisa Sifar yang sangat memberi manfaat kepada semua. Fr. Simon memberi peringatan kepada semua bahawa bumi boleh hidup tanpa manusia tetapi manusia tidak boleh hidup tanpa bumi. Maka dengan itu Fr. Simon mengalakkan semua 350 peserta yang mendaftar untuk webinar ini untuk memulakan gaya hidup tanpa sifar bersama keluarga kerana ini akan memberi impak yang baik kepada alam sekitar.

Tim Penganjur ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan banyak – banyak terima kasih kepada para paderi, para religius, dua penceramah jemputan dan semua umat yang telah mengikuti webinar ini. Semoga dengan ilmu dan kesedaran ini, semua yang hadir akan dapat mengubahan gaya hidup dan mempraktik konsep “Refuse, Reduce, Reuse, Recycle dan Rot” dalam kehidupan peribadi untuk kebaikan bumi dan seluruh ciptaan-Nya.