Disediakan oleh: Joannes Patrick Wasai

TONGOD – Hari Kebudayaan Paroki Santo Martin, Telupid disambut meriah pada 16 Jun 2024 bertempat di Kapela St. Patrick, Entilibon sebagai tuan rumah. Zon St. Thomas yang terdiri daripada 4 buah Komuniti Umat Katolik (KUK) iaitu KUK St. Patrick, Entilibon, KUK St. Petrus, Kironggu, KUK St. Mary, Sanan dan KUK St. Bede, Bobotong merupakan penganjur bersama bagi sambutan ini. Acara ini dimeriahkan dengan kehadiran ratusan umat dari seluruh paroki. Mengambil tema “Berjalan Bersama, Menghargai Ciptaan Tuhan dan Menghormati Budaya” ataupun dalam bahasa Labuk “Saasandad Mampanau, Mongorogo di Vinangun do Kinoroingan om Mamantang Do Koubasanan” mencerminkan kesatuan umat serta penghormatan terhadap alam dan warisan budaya.

Perayaan dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan dibantu oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus. Uskup Julius dalam homilinya menekankan akan pentingnya pewartaan Injil dalam menyebarkan Firman Tuhan. Beliau mengumpamakan pewarta Injil sebagai biji sesawi yang ditaburkan di atas tanah, yang tumbuh menjadi pohon besar dan memberikan manfaat kepada makhluk lain. Beliau juga mengajak semua umat agar menjadi pewarta Firman Tuhan yang setia, bermula dari diri sendiri, keluarga, komuniti, dan masyarakat.

Gambar bersama sebahagian umat yang hadir selepas Misa Kudus

Selepas Misa, acara Hari Kebudayaan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi penganjur iaitu En. Mutalip Apiang. Beliau dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kehadiran Bapa Uskup dan mengucapkan terima kasih kepada paderi paroki serta kepimpinan paroki kerana memberikan kepercayaan kepada Zon St. Thomas untuk menggalas pelayanan sebagai penganjur Hari Kebudayaan kali ini. Beliau juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa pelaksana serta umat yang telah memberikan kerjasama baik dalam menjayakan sambutan ini, termasuk sumbangan dari segi masa, tenaga, material, dan wang ringgit.

Persembahan Tarian Tradisi Suku Kaum Sukang oleh KBK St. Patrick, Entilibon

Kemudian, Fr. Christopher Ireneus mengalu-alukan kehadiran semua umat dan berterima kasih atas kehadiran Bapa Uskup serta seluruh umat yang dapat meluangkan masa bersama-sama dalam sambutan Hari Kebudayaan ini. Beliau telah mengulas secara ringkas mengenai tema perayaan yang disesuaikan dengan visi dan misi Keuskupan Sandakan, yang merujuk kepada pentingnya partisipasi dalam Ekaristi sebagai puncak kehidupan Kristian. Tema ini juga menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar sesuai dengan dokumen Laudato Si’ yang dikeluarkan oleh Paus Fransiskus, serta penghormatan terhadap budaya.

Lawatan ke Reruai Belia

Seterusnya, Uskup Julius mengucapkan tahniah kepada paderi paroki, pengerusi penganjur, ahli jawatankuasa serta seluruh warga Paroki St. Martin, Telupid kerana berjaya menganjurkan Hari Kebudayaan Paroki. Uskup Julius menekankan bahawa merayakan budaya adalah sesuatu yang wajar dan merupakan anugerah daripada Tuhan sendiri. Tema perayaan yang dipilih mengingatkan kita untuk hidup dalam suasana harmoni bersama alam ciptaan Tuhan serta bersyukur dan menjaga warisan budaya sebagai tanda iman dan penghargaan kepada Tuhan.

Acara Simbolik Perasmian Hari Kebudayaan – Mengetam Padi

Salah satu pengisian program iaitu cabutan tiket nama bertuah

Selesai acara di kapela, perayaan diteruskan di perkarangan kapela dengan upacara mengetam padi sebagai simbolik perasmian Hari Kebudayaan yang disempurnakan oleh Bapa Uskup sendiri diiringi paderi paroki, pengerusi MPP, pengerusi Zon St. Thomas dan pengerusi perayaan. Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai persembahan budaya diadakan seperti tarian Magalai dan paluan gong tradisi etnik Sukang oleh Kerasulan Belia Katolik (KBK) St. Patrick Entilibon, tarian Limbai-Limbai dan Sumazau oleh KBK St. Mary Sanan. Selain itu, terdapat juga tarian kreatif daripada komuniti Pelayanan Pastoral Indonesia Paroki serta tarian rampaian bertema “Berjalan Bersama” oleh KBK St. Joseph, Lumou. Acara cabutan tiket nama bertuah, sukan tradisi/rakyat seperti kupas pinang, kupas kulit padi, sumpit beras dan mipulos (gusti lengan) serta lawatan pondok tradisi turut menambah lagi kemeriahan sambutan. Penyediaan makanan secara potluck dengan pelbagai juadah tradisi dan moden oleh setiap zon memperlihatkan mesej berjalan bersama dan kesatuan umat yang dipraktikkan.

Sukan tradisi yang mendapat sambutan meriah

Salah satu pondok tradisi yang menyediakan pelbagai hidangan untuk umat yang hadir.

Sambutan Hari Kebudayaan yang telah menjadi acara tahunan yang dilaksanakan secara bergilir mengikut zon di Paroki Santo Martin,Te|upid ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara umat, tetapi juga mengingatkan kita akan pentingnya menghargai ciptaan Tuhan dan melestarikan warisan budaya. Diharapkan dengan semangat yang dibawa oleh tema “Berja|an Bersama, Menghargai Ciptaan Tuhan dan Menghormati Budaya,” acara ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memelihara alam dan budaya kita.