Disediakan oleh : Macshamus Bilcher (SOCCOM)

Pada 12 hingga 14 Julai yang lalu, penganjuran tahunan Seminar Hidup Baru Dalam Roh yang dianjurkan oleh CHARIS Katedral St. Mary, Sandakan telah diadakan dengan jayanya. Seramai lebih 200 peserta telah mendaftar dan menyertai seminar ini. Menerusi temu bual bersama Saudara Adaris Moses Sintan merangkap Pengerusi bagi Pelayanan CHARIS Katedral St. Mary, Sandakan, beliau telah mengongsikan tujuan program tahunan ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam tentang ekaristi dalam menuju hidup baru itu sendiri.

Sambungnya lagi, mereka dapat merasakan sesuatu perubahan atau diubah menjadi manusia baru setelah mereka mendengarkan ceramah yang disampaikan oleh semua panel yang dijemput. Hal ini adalah lebih efektif bagi mereka yang tidak mengetahui bahawa mereka telah mengalami tekanan dalam kehidupan dan tekanan itu telah menetap dalam diri mereka. Dalam topik pembebasan luka – luka batin, peserta diberi peluang untuk melepaskan dan memaafkan segala kesakitan yang mereka alami selama hidup mereka. Setelah penyembuhan dijalankan, mereka berasa lega dan beban yang mereka pikul turut menjadi ringan. Demikian perkongsian oleh Saudara Adaris yang telah ditemu bual selepas misa kudus dijalankan.

Temubual bersama Saudara Adaris Moses Sintan

Dalam temu bual yang sama, Saudara Sylvester Wong juga memberikan pengalaman sukacita atas kesempatan yang diberikan oleh Tuhan untuknya menyertai seminar ini. Sementara itu, Saudara Sylvester juga berharap agar program ini dapat membuka hati lebih ramai umat untuk menyertai supaya mereka dapat bertumbuh dalam iman dan berbuah dalam menghasilkan dan membawa lebih ramai orang mengenali Tuhan melalui pengkhabaran berita injil.

Gambar semasa perutusan para penetua dan ahli jawatankuasa CHARIS Katedral St Mary Sandakan

Dalam Misa Kudus yang dirayakan oleh Rev. Fr Raymond yang juga telah menyempurnakan upacara perutusan para penetua CHARIS Katedral St Mary, Sandakan. Seramai 14 orang bersama dengan 20 orang ahli jawatankuasa telah diutus dalam upacara perutusan ini.

Misa Kudus yang dirayakan oleh Rev. Fr Raymond Lee