Artikel Oleh: Farnandes Siprianus
Gambar oleh Soccom SDC
Lahad Datu: Lebih kurang 700 tiket makan malam percuma telah diberikan kepada para umat yang telah bersusah payah dalam memberi sumbangan untuk pembangunan Dewan Kateketikal di paroki ini sempena malam apresiasi pada 10hb Ogos 2024 yang lalu. Komiti Pembangunan dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan syukur diatas semua sumbangan sehingga projek yang dianggap mustahil ini telah berjaya dilaksanakan.
Acara pada malam apresiasi tersebut telah dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Komiti Pembangunan Saudara Josue Yusak Musa dan disusuli dengan ucapan daripada Paderi Paroki Rev Fr.Stanley dan Yang Mulia Bapa Uskup Julius Gitom, kemudian diteruskan dengan doa makan serta acara-acara pentas oleh komiti-komiti dan wakil dari luarstasi.
“Saya sangat bangga kerana dapat bersama-sama di malam apresiasi ini, sudah tentunya dewan baru ini menjadi nadi hidup Paroki ini sebab ianya adalah juga pusat pentadbiran dan juga menjadi pusat perkembangan rohani serta kegiatan-kegiatan rohani, sudah tentu ini adalah satu berkat dan rahmat bagi umat di Paroki St. Dominic Lahad Datu ini”. demikianlah petikan kata-kata Bapa Uskup Julius Gitom diawal ucapan beliau pada malam apresiasi tersebut. Dan beliau juga mengatakan bahawa komiti ini untuk meneruskan usaha mereka walaupun dana yang perlu dicari adalah jumlah yang banyak, dan setiap kali Bapa Uskup datang melawat di Paroki St. Dominic ini beliau selalu memberi nasihat agar Komiti dan umat-umat di paroki ini berusaha untuk mengumpul dana tersebut. “Dan ini mengingatkan saya tentang Injil beberapa minggu yang lalu, tentang memperbanyakkan roti. Dan itu terjadi di sebab oleh seorang anak yang kecil yang memberi Yesus 5 keping roti dan 2 ikan kering dan dengan itu Yesus menerima makanan itu dan memberkatinya, maka dengan itu setiap kejayaan itu bermula daripada setiap kamu. Yesus tidak menyuruh kita memberi makan 5000 orang itu tetapi 5 keping roti dan 2 ikan sahaja, dan bangunan sudah berdiri, tetapi tugas yang baru, baru bermula kita harus terus membawa 5 keping roti itu, sebab jika tidak terus dibawa maka tiada penjagaan, tiada perubahan, namun masih banyak lagi fasiliti yang perlu ditambah di dewan atau pun di dalam kelas. Jadi tidak perlu membawa banyak hanya teruskan membawa 5 roti seperti anak kecil itu, sebab itu juga menandakan persatuan kita, menandakan bahawa kita peduli” tambah beliau lagi.
Pada keesokan harinya, acara dimulakan dengan Misa Kudus sempena Hari Ulang tahun Paroki St. Dominic yang ke-72 tahun. Hari yang bersejarah ini telah dirayakan oleh Yang Mulia Uskup Julius Gitom bersama Rev Fr. Stanley W. Matakim. Perarakan bersama gegantung dari setiap KKD di Paroki St. Dominic menandakan bermulanya misa pada hari tersebut, dan diikuti para petugas Liturgi, Pelayan Komuni serta Fr.Stanley dan Bapa Uskup.
“ini adalah pesta kita yang ke-72 tahun. Kita harus bergembira dan bersyukur kerana kita telah ditemani oleh Tuhan di dalam perjalanan kita selama 72 tahun. Di dalam pembacaan kedua Santo Paulus mengatakan hasil daripada penerimaan Roh Kudus itu adalah cinta kasih jadi maka dengan itu bersatulah kamu dan hidupilah cinta kasih itu, hidup bila dalam kesatuan dalam Tuhan itu sebagai Gereja dan saya percaya itulah kita seterusnya sampai bukan sahaja 72 tahun akan datang lagi tetapi mungkin lebih daripada itu jika kita hidup dalam persatuan serta hidup dalam semangat cinta kasih Tuhan”. Begitu lah kata-kata Bapa Uskup di dalam homili beliau di dalam Misa kesyukuran tersebut. Beliau menambah perlu ada kesatuan antara semua umat di dalam komuniti-komuniti gereja dan barulah kejayaan dapat dicapai seperti pembangunan Dewan Ibadat & Katekatikal ini.
Majlis yang dirayakan ini adalah perayaan dua dalam satu iaitu Hari ulang tahun yang ke 72 tahun dan perasmian Dewan Ibadat dan Pusat Katekatikal yang baharu. Selesai Misa Kesyukuran, upacara diteruskan dengan perasmian Dewan dan Bangunan Katekatikal serta pemberkatan keseluruhan ruang bangunan oleh Bapa Uskup ditemani Fr. Stanley dan dibantu oleh Seminarian Ricky, Sister Younne serta Sister Jane.
Pembangunan dewan kateketikal ini sebenarnya telah dimulakan pada tahun 2019 sehingga 2024. Pelbagai usaha untuk mengumpul dana telah dijalankan dalam Paroki St. Dominic sama ada melalui KKD ataupun melalui program-program yang dianjurkan oleh komiti-komiti. Projek pembangunan ini sebenarnya telah diusahakan oleh Komiti Pembangunan yang dipengerusikan oleh Saudara Josue Yusak Musa dan Rev Fr. Simon Kontou sebagai Penasihat, dan setelah Fr. Simon berpindah ke Katedral St. Mary Sandakan pada awal tahun 2023, projek tersebut telah disambung oleh Rev Fr. Stanley Matakim sebagai penasihat komiti tersebut sehingga kini.
Untuk dana pembangunan ini juga tidak hanya bersumberkan daripada sumbangan para umat sahaja, namun bermula dari tahun 2012 lagi telah banyak program-program yang dianjurkan oleh pelbagai komiti di Paroki St. Dominic untuk mengumpul dana tersebut.
Bagi Paderi Paroki Rev Fr.Stanley Matakim pula mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih beliau dalam ucapannya. “Dengan rasa syukur dan penuh kegembiraan, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh umat Gereja St. Dominic atas perasmian bangunan Katekatikal dan dewan baru yang telah siap dibina. Bangunan ini merupakan simbol komitmen dan semangat perpaduan komiti kita dalam memperkukuhkan iman dan kasih sesama kita. Projek ini bukanlah satu tugas yang mudah dan ia memerlukan usaha dan dedikasi yang tinggi. Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga terutama sekali kepada Yang Mulia Bapa Uskup Julius Gitom yang telah mempercayakan kepada kita semua di atas pembinaan bangunan Katekatikal dan juga dewan baru ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Rev Fr. Simon Kontou yang telah memulakan projek ini, terima kasih diatas segala idea-idea yang bernas sehingga siap bangunan ini sepenuhnya” demikian la petikan ucapan Fr. Stanley. Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Komiti Pembangunan yang telah bekerja keras dan dedikasi dalam menyiapkan projek ini.
Majlis pada hari tersebut disusuli dengan persembahan pentas di dewan yang baru daripada para belia, KKD dan luarstasi. Juga pertandingan koir turut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Acara berakhir lebih kurang jam 4pm dengan penuh rasa syukur untuk semua umat.