Oleh: Delsie Ivy Didacius

Telupid, 10 Ogos 2024 – Karnival Sukan Bola Sepak Lelaki 11 Sebelah Peringkat Paroki Telupid telah berlangsung dengan meriah di Padang Kg. Kiabau, Telupid. Acara ini dianjurkan oleh Komiti Sukan, Sosial dan Ziarah bersama Komiti Kristian Dasar (KKD) dengan kerjasama Komiti Zon Santa Susanna.

Pemain yang hadir mewakili zon masing-masing

Menjelang tiga minggu sebelum perlawanan, penduduk Kg. Kiabau telah bekerjasama dengan penuh semangat dalam melakukan persiapan untuk karnival ini. Persiapan termasuk menyediakan borang penyertaan, mengatur padang, dan mendirikan khemah bagi memastikan kelancaran acara. Usaha ini membuktikan komitmen dan semangat gotong-royong yang tinggi dalam kalangan umat.

Sukan yang berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 4 petang ini menyaksikan penyertaan luas dari umat berumur 12 tahun ke atas yang tinggal di dalam dan luar stasi Paroki Santo Martin Telupid. Sebanyak 5 pasukan yang mewakili zon masing-masing mengambil bahagian dalam perlawanan ini dengan matlamat untuk mempereratkan lagi hubungan kekitaan di kalangan umat serta memupuk semangat perpaduan selaras dengan misi Keuskupan Sandakan.

Perlawanan ini unik kerana ia menyaksikan penyertaan tiga generasi dalam satu pasukan, di mana datuk, bapa, dan cucu bermain bersama. Hal ini kerana, setiap kumpulan perlu diwakili oleh pemain mengikut kategori umur yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Pengalaman ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan keluarga tetapi juga memperlihatkan perpaduan antara generasi.

Doa pembukaan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus

Doa pembukaan sebelum perlawanan

Perlawanan bola sepak dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh paderi paroki sendiri, iaitu Rev. Fr. Christopher Ireneus seterusnya sesi bergambar dan gimik pembukaan. Dengan penyertaan yang memberangsangkan dan kerjasama erat daripada pelbagai pihak, karnival ini bukan sahaja menjadi platform sukan tetapi juga satu langkah ke arah memperkasakan semangat sinodaliti dalam kalangan umat. Tambahan pula, dalam semangat kebersamaan, 10% daripada hasil jualan oleh para penjual di karnival ini telah disumbangkan ke Paroki Santo Martin. Langkah ini membantu menyokong pelbagai aktiviti paroki dan memperkuatkan ikatan di antara umat.

Keputusan keseluruhan bagi sukan bola sepak ini adalah Zon Santa Susanna sebagai johan (5 mata), Zon Santo Roderick sebagai naib johan (4 mata), Zon Santo Thomas di tempat yang ketiga (4 mata), dan Zon Padre Pio dan Zon Santo Nicholas berkongsi di tempat yang keempat (3 mata). Markah ini akan dikumpul untuk menentukan johan keseluruhan karnival sukan setelah semua acara sukan selesai dipertandingkan. 

Kemeriahan karnival sukan bola sepak lelaki ini lebih terasa apabila diakhiri dengan Misa Kudus Senja pada petang 10 Ogos 2024 yang dirayakan oleh paderi paroki. Selepas itu, umat bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan.

Karnival Sukan Bola Sepak ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat dalam aspek kesukanan dan sosial, tetapi juga sebagai salah satu cara menyahut seruan Gereja untuk memahami dan menghayati Dokumen Gereja Amoris Laetitia (Sukacita Kasih). Melalui aktiviti yang melibatkan pelbagai generasi dalam suasana persaudaraan, umat diberi peluang untuk mengaplikasikan ajaran-ajaran yang terkandung dalam Amoris Laetitia, khususnya dalam aspek memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan membina komuniti yang penuh kasih sayang dan keterbukaan. Inisiatif seperti ini membawa umat Paroki Telupid untuk ‘berjalan bersama’ sebagai satu gereja, menjadikan kasih sebagai teras dalam setiap tindakan dan keputusan mereka.