Artikel disediakan oleh: Angela Jika
TELUPID – Gereja St. Martin, Telupid mengambil pendekatan proaktif dalam meluaskan pelayanan pastoral melalui perkhidmatan pejabat bergerak. Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara paderi paroki, staf pejabat paroki dan komiti kateketikal. Tujuan utama pejabat bergerak ini adalah untuk menjangkau umat di stesen luar, memberikan kemudahan untuk urusan gereja tanpa memerlukan mereka melakukan perjalanan jauh ke pejabat paroki.
Pejabat bergerak ini dilaksanakan di tiga buah lokasi selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 13 sehingga 15 Ogos 2024 bermula di KUK St. Benedict, Tongod, KUK St. Micheal, Genting Estate dan KUK St. Patrick, Entilibon. Setiap hari, perkhidmatan pejabat bergerak ini bermula pada jam 9 pagi dan diakhiri dengan perayaan Misa Kudus pada sebelah petang. Perayaan Ekaristi ini bukan sahaja menjadi penguat rohani umat tetapi juga satu simbol kebersamaan dalam komuniti paroki.
Pejabat bergerak ini merupakan salah satu usaha Gereja St. Martin, Telupid dalam memastikan umat yang berada di stesen luar tidak terpinggir daripada perhatian pastoral dan dapat mengakses perkhidmatan gereja dengan lebih mudah. Usaha ini juga mencerminkan komitmen gereja dalam menjangkau dan melayani setiap umat Tuhan tanpa mengira lokasi mereka. Melalui inisiatif ini, diharapkan umat akan semakin dekat dengan gereja dan mampu menjalankan urusan mereka dengan lebih efektif dan teratur.