Oleh: Chelssy Ivy Flex

TELUPID – Persiapan Rohani Sabah Youth Day (SYD) Ke-6 Peringkat Paroki St. Martin, Telupid telah berlangsung dengan jayanya di Gereja St. Martin, Telupid. Program ini melalui tiga fasa persiapan, iaitu Fasa Pertama pada 28 Julai 2024, Fasa Kedua pada 11 Ogos 2024, dan Fasa Ketiga pada 25 Ogos 2024. Program ini dianjurkan oleh Tim Pelaksana SYD6 Paroki St. Martin, Telupid dengan tujuan membantu peserta mempersiapkan diri secara holistik menjelang SYD6.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu peserta mengenali diri mereka secara lebih mendalam dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual, dan sosial. Selain itu, peserta juga diberi peluang untuk mendalami Ajaran Sosial Gereja sambil memupuk persahabatan dengan belia dari seluruh paroki. Persiapan rohani ini merupakan komponen penting dalam persiapan peserta SYD6 dari Paroki St. Martin, Telupid, di samping membantu mereka memahami objektif keseluruhan SYD6.

Pada Fasa 1 Persiapan Rohani, tema yang dipilih adalah “Aku dan Diriku”. Dalam fasa ini, peserta dibawa untuk merenung diri melalui doa dan renungan. Salah satu aktiviti penting ialah Expectation Check, di mana peserta diminta menulis jangkaan mereka sebelum dan selepas mengikuti SYD6. Terdapat juga sesi Examen, yang memberi peluang kepada peserta untuk merenungkan perjalanan hidup mereka melalui Doa Examen.

Fasa 2 bertemakan “Aku dan Orang Lain”. Pada fasa ini, peserta diajak merenung hubungan mereka dengan orang lain, termasuk keluarga dan rakan-rakan. Antara pengisian program ialah aktiviti Team Building, di mana peserta dipecahkan kepada kumpulan mengikut warna belon masing-masing dan pelbagai permainan diadakan untuk mengeratkan hubungan sesama mereka. Sesi perkongsian juga diadakan dalam kumpulan kecil bagi membolehkan peserta berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.

Pada Fasa 3, tema yang dipilih ialah “Aku dan Tuhan”. Fasa ini amat menyentuh hati para peserta, kerana pengisian program memberi tumpuan kepada hubungan peribadi mereka dengan Tuhan. Fokus ini membawa peserta untuk merenung dan mendalami persoalan- persoalan penting yang dibincangkan semasa sesi penyampaian. Salah satu sesi turut menekankan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan peserta, memberi mereka ruang untuk memahami dan merawat kesejahteraan rohani dan emosi mereka.

Sepanjang ketiga-tiga fasa persiapan rohani ini, para penceramah terdiri daripada Tim Pelaksana sendiri, yang memiliki kebijaksanaan dan pengalaman dalam kehidupan rohani. Program ini juga mengamalkan ajaran Laudato Si’ dengan meminta semua peserta, termasuk penganjur, untuk membawa bekas makanan dan gelas masing-masing, selaras dengan prinsip kelestarian alam sekitar.

Persiapan Rohani yang melibatkan peserta SYD6 dari kelima-lima zon di Paroki St. Martin Telupid ini berjaya mencapai objektifnya. Melalui program ini, peserta dapat merenung dan memperdalam hubungan mereka dengan diri sendiri, orang lain, dan lebih penting lagi, dengan Tuhan.