Oleh: Helena salati
Photo: Enesia / lena

Telupid: Kapela St.Joseph Lumou julung kalinya telah mengadakan seminar sehari suntuk pengayaan perkahwinan dan pembaharuan janji perkahwinan di kapela tersebut pada 16 September 2024.

Aktiviti ini merupakan salah satu misi Komisi Keluarga dalam memupuk hubungan yang lebih erat diantara suami-isteri selain memberi input yang mendalam tentang hidup berkeluarga berdasarkan kepada dokumen gereja Amoris Laetitia.

Aktiviti yang berlangsung selama sehari ini diisi dengan sesi ceramah, aktiviti menulis surat cinta dan perdamaian suami isteri. Aktiviti tersebut sedikit sebanyak telah memberi inspirasi kepada 18 pasangan untuk menyegarkan kembali kehidupan perkahwinan mereka.

“Kau diciptakan untuk ku, untuk membangun keluarga bahagia”, demikian tema lagu pengayaan perkahwinan yang dinyanyikan oleh para koir yang turut membantu menjayakan aktiviti tersebut.

Tidak akan ada jaminan pasangan itu akan berasa hal yang sama sepanjang hayat. Namun begitu jika pasangan dapat menampilkan dan mengongsikan perancangan kehidupan yang berkekalan, mereka akan dapat saling mengasihi dan hidup bersama sehingga maut memisahkan mereka dan menikmati nikmat kekayaan keintiman. Dalam perkahwinan juga sukacita dalam kasih itu harus di pupuk. Dengan demikian kegembiraan dalam perkahwinan dapat di alami walaupun dalam kesedihan. Suami isteri akan mengalami sukacita sejati setelah mereka berjuang bersama, melalui berbagai kesedihan dan penderitaan. Suami isteri harus berusaha untuk menguatkan hubungan kasih mereka dengan doa dan bimbingan roh kudus. Ianya antara inti ceramah Amoris Laetitia yang telah disampaikan oleh pengerusi pelayanan hidup keluarga sendiri Kepada pasangan yang terlibat.

Aktivti tersebut di akhiri dengan misa pembaharuan janji perkahwinan yang di selebran sendiri oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus dan dalam homili nya paderi menyatakan bahawa “Seperti gereja, rumah adalah tempat yang kudus dimana ada ruangan untuk berdoa bersama. Rumah juga seharusnya menjadi pusat pertumbuhan iman, kasih sayang dan cinta kepada keluarga. Suami dan isteri hendaklah menjadi teladan kepada para suami dan isteri yang lain melalui iman yang mendalam akan Tuhan”.

Kemudian majlis kesyukuran dijalankan secara sederhana tetapi meriah yang turut sama disertai oleh ahli keluarga pasangan dengan pelbagai pengisian seperti acara nyanyian karaoke, permainan suami-isteri dan acara tari-menari.

Semoga program tersebut dapat menyemarak dan menyegarkan kembali kasih-sayang dan cinta kepada para pasangan dan pembaharuan janji perkahwinan yang diucapkan akan terus mengingatkan para pasangan tentang komitmen mereka untuk terus berjalan bersama, mendukung satu sama lain dan bertumbuh dalam cinta dan kebahagian bersama.