Disediakan oleh: Stephanie, Joannes, Vellyroy & Clly

TELUPID – Karnival Sukan Keluarga Katolik Paroki St. Martin, Telupid yang julung kalinya diadakan pada tahun ini berlangsung dengan penuh kemeriahan. Karnival ini merupakan anjuran Komiti Sukan, Sosial, dan Ziarah dengan kerjasama Komuniti Kristian Dasar (KKD) Paroki dan Komiti Pelayanan Hidup Keluarga Paroki serta semua zon termasuk Zon St. Padre Pio, Zon St. Roderick, Zon St. Thomas, Zon St. Susanna, dan Zon St. Nicholas.

Penganjur sukan badminton iaitu Zon St. Roderick

Karnival yang berlangsung selama beberapa bulan ini menampilkan pelbagai jenis sukan yang menjadi medan persahabatan dan persaingan sihat antara komuniti gereja. Antara sukan yang dijalankan termasuklah badminton pada 28 September di Dewan Baru Kg. Wonod, Telupid, diikuti dengan bola sepak wanita pada 5 Oktober di Padang IPASS, Sapi Plantation Estate, sepak takraw pada 12 Oktober di Kg. Entilibon Asal, Tongod, dan Larian Amoris Laetitia pada 31 Oktober di St. Martin, Telupid. Sebelum itu, bola tampar dan bola sepak lelaki yang diadakan lebih awal pada bulan Ogos telah membuka tirai karnival dengan sambutan yang luar biasa. Sokongan paderi yang sentiasa hadir di setiap lokasi pertandingan memberikan dorongan moral yang amat dihargai oleh umat, sekali gus mengukuhkan lagi semangat komuniti dalam menyokong antara satu sama lain.

Suasana semasa pertandingan badminton

Karnival ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan, malah membawa misi yang lebih mendalam, iaitu menyemarakkan mesej dokumen gereja Amoris Laetitia, yang mengangkat kepentingan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan umat. Objektif utama karnival ini adalah untuk menggalakkan penglibatan komuniti gereja dalam aktiviti yang membina hubungan erat melalui kolaborasi dan semangat berpasukan. Di samping itu, karnival ini bertujuan mengukuhkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti yang menyeronokkan, di mana keluarga dapat berkongsi pengalaman bersama-sama. Acara ini juga mempromosikan gaya hidup sihat, di samping menanamkan semangat kesukanan, kerjasama, dan persaingan yang sihat dalam kalangan umat. Suasana yang ceria ini turut menyediakan platform interaksi positif yang mencerminkan keharmonian antara generasi.

Perlawanan bola sepak wanita

Penyertaan umat dari pelbagai lapisan umur di seluruh paroki telah menyerikan lagi karnival ini. Bukan sahaja sebagai peserta, tetapi sokongan meriah dari penyokong yang hadir memberikan dorongan yang luar biasa, mencipta ikatan yang lebih kukuh antara komuniti. Sorakan penuh semangat dan ketawa riang menggambarkan kegembiraan yang lahir daripada semangat kesukanan dan kebersamaan yang terjalin.

Kehadiran umat dan peserta semasa pertandingan bola sepak wanita

Karnival ini juga tidak mungkin berjaya tanpa komitmen dan pengorbanan umat yang telah menyumbangkan tenaga, masa, dan wang ringgit bagi menjayakannya. Ramai yang berusaha keras di belakang tabir, membantu dari segi persiapan logistik, menyumbangkan peralatan sukan, dan tidak kurang juga yang menyumbang dari segi kewangan untuk memastikan kelancaran setiap acara. Semangat dan rasa tanggungjawab bersama ini mencerminkan kekuatan dan kebersamaan umat Paroki St. Martin, menjadikan karnival ini lebih bermakna dan istimewa.

Perlawanan sepak takraw kategori belia lelaki

Kehadiran umat dan peserta semasa pertandingan sepak takraw

Reaksi positif yang diterima daripada umat jelas menunjukkan impak positif karnival ini, dengan harapan agar karnival sukan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai acara tahunan. Karnival Sukan Keluarga Katolik Paroki St. Martin, Telupid telah membuktikan bahawa aktiviti sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi juga merupakan platform penting untuk memupuk hubungan kekeluargaan, memantapkan semangat komuniti, dan menghidupkan nilai-nilai persahabatan serta pengorbanan yang sejati.

Peserta berlumba menamatkan larian Amoris Laetitia

Para pemenang larian Amoris Laetitia bagi semua kategori