Berita disediakan oleh : Chelssy Ivy Flex dan McGrabb Nicholson Nicholas

KENINGAU, 16 September 2024 – Sabah Youth Day (SYD) ialah sebuah program belia katolik yang diadakan empat tahun sekali dan bagi SYD6 ini, Katedral St. Francis Xavier, Keningau telah dipilih sebagai tuan rumah dengan tema “Maria bangkit dan bergegas pergi” (Lukas 1:39). SYD6 telah berlangsung selama lima hari iaitu pada 16 September hingga 20 September 2024. Program ini disertai oleh belia dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau,Keuskupan Sandakan termasuk belia dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei. Antara matlamat utama dalam program ini adalah agar para Orang Muda Katolik (OMK) terpanggil untuk mensyukuri dan menyedari akan pentingnya menghargai dan menerima diri sebagai ciptaan Tuhan yang terindah melalui doa, renungan dan juga persahabatan sepanjang berlangsungnya SYD6.

Kehangatan dan bahang SYD6 ini juga turut dirasai oleh Kontinjen Santo Martin Telupid. Pada 24 Januari 2024, tim pelaksana di peringkat paroki St. Martin Telupid telah ditubuhkan yang mana tim ini bertanggungjawab dalam mengurus serta menjadi penghubung di antara pihak penganjur dan peserta dari Kontinjen Santo Martin Telupid. Seramai 119 peserta telah mendaftar sebagai dibawah Kontinjen Santo Martin Telupid.

PERSIAPAN ROHANI FASA 1

Pencarian dana telah dilakukan oleh para peserta di zon masing-masing untuk menampung kos persiapan ke SYD6. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah melalui aktiviti jualan setiap hari Ahad selepas misa kudus atau ibadat. Pencarian dana ini secara langsung telah mengetengahkan bakat para belia dalam mencari kewangan serta penglibatan dan sokongan daripada ibu bapa juga telah membantu dan berjalan bersama dalam pencarian dana ini.

PERSIAPAN ROHANI FASA 2

Persiapan Rohani diperingkat paroki Santo Martin Telupid telah dijalankan secara berperingkat kepada 4 fasa iaitu 3 fasa secara bersemuka dan fasa keempat dijalankan secara dalam talian bagi para peserta yang tidak dapat hadir sepanjang persiapan secara fizikal dijalankan. Antara pengisian dalam ketiga-tiga fasa persiapan ini termasuklah sesi yang berkaitan dengan tema SYD6, perkongsian peribadi, team building dan sesi pujian penyembahan.

PERSIAPAN ROHANI FASA 3

PERSIAPAN ROHANI DALAM TALIAN

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba, pada 16 September 2024, Kontinjen Paroki Santo Martin, memulakan perjalanan menuju ke Kampung Patikang Ulu Keningau pada pukul 8:30 pagi dengan menaiki 3 buah bas express. Sebanyak 3 orang ketua dan 6 orang petugas telah dilantik dalam kalangan peserta untuk mengetuai dan memimpin doa rosari sepanjang perjalanan menuju ke Keningau.

MISA PENGUTUSAN KONTIJEN SYD ST MARTIN TELUPID

Setibanya di Kampung Patikang Ulu pada pukul 3:25 petang, Kontinjen Santo Martin Telupid disambut meriah oleh para petugas. Para petugas telah menyampaikan taklimat ringkas, pembahagian kit dan diikuti dengan pengagihan keluarga angkat kepada para peserta. Pada malam itu, Zon Keluarga Nazareth Kampung Patikang Ulu (KN8) telah mengadakan “Welcoming Night” kepada semua peserta SYD6 yang terdiri dari Paroki Santo Martin Telupid, Paroki Santo Agustine Kinarut dan Paroki Santo Patrick Membakut dengan makan bersama dengan pihak penganjur dan keluarga angkat masing-masing.

Pengisian sepanjang SYD6 berlangsung sungguh menarik dan mempunyai tarikan yang tersendiri sesuai dengan keperluan peribadi setiap peserta. Setiap hari para peserta berpeluang menghadiri dan merayakan misa kudus. Antara pengisian pada SYD6 kali ini ialah Interactive Workshop, Jalan Salib, Ajaran Sosial Gereja, Gratitude Journal, Mission Walk, Sejarah Gereja Borneo, Magnificat Fiesta serta berpeluang untuk menerima sakramen pengakuan juga mendapatkan khidmat Care Giver sepanjang SYD6 berlangsung. Pengisian program SYD6 memberi ruang kepada para peserta untuk meneroka keindahan sejarah dan kekayaan dalam gereja katolik. Sesi Spiritual Conversation dalam kalangan peserta juga memberikan ruang dan peluang kepada para peserta berkongsi dan saling meneguhkan antara satu sama lain.

Misa penutup merupakan kemuncak kepada SYD6 ini dan Keuskupan Sandakan merupakan petugas liturgi bagi misa penutup ini. Kontinjen Santo Martin Telupid telah melayani sebagai koir dan pemazmur. Sokongan daripada paderi paroki dan umat sepanjang persiapan, membuahkan sukacita apabila para peserta memberikan komitmen sepanjang misa penutupan berlangsung. Semoga semua pengalaman yang dilalui dan ditempuhi dari mula sehingga selesai memberikan pengalaman manis dan indah dalam kehidupan rohani masing-masing.

Kehangatan SYD6 tidak malap begitu sahaja. Frasa “gamon” tular dalam kalangan para belia yang bererti “tidak/belum move on” sebaik sahaja kembali dari SYD6 Keningau. Sukacita yang dirasakan diteruskan dengan Thanksgiving SYD6 yang telah dijalankan pada 29 September 2024. Antara pengisian yang dijalankan semasa Thanksgiving SYD6 ialah, Time Of Life (TOL), menonton video ASK yang telah dilakonkan oleh para peserta SYD 6 sendiri, Capsule Letter, Games, sesi perkongsian dan sesi bergambar bagi semua yang telah hadir. Melalui Thanksgiving SYD6 ini, diharapkan agar semua peserta dapat meneruskan pelayanan di tempat masing-masing kelak.

SYD6 pada tahun ini memberikan kesan yang sangat mendalam dalam kalangan para belia selepas 8 tahun semasa SYD4, SYD secara fizikal diadakan. Berikutan dengan situasi pandemik, keterujaan dan semangat yang ditunjukkan oleh para belia sangat luar biasa. Melalui pengalaman yang cukup indah ini, semoga para belia pada zaman ini cekal dalam perjalanan iaman sendiri dengan melihat bagaimana kasih Tuhan itu bekerja disetiap peribadi masing.masing. Jangan berharap bahwa misi itu mudah dan menyenangkan (CV178) tetapi jadilah seperti Maria bangkit dan bergegas pergi (Lukas 1:39) dengan yakin bahawa Tuhan sentiasa menyertai penjalananmu.